Yahanana Events

Ini Iklan YAHANANA EVENTS - Sila ke bawah lagi untuk entri terbaru!!


Adakah anda sedang mencari pengacara yang boleh berselawat dan berqasidah
untuk majlis korporat atau persendirian seperti walimatul urus, cukur jambul,
perasmian atau pelancaran produk?

Atau anda sedang mencari Pengurus Acara Islamik untuk membantu anda
mengadakan acara sambutan hari kebesaran Islam seperti Sambutan Maulidurrasul, al-Maulid dsb?

Yahanana Events sedia berkhidmat dengan menyediakan pengacara, sistem PA,
kumpulan nasyid, marhaban, qasidah, penceramah, kompang dan
lain-lain yang anda mahukan.

Hubungi Che Mid di hmj_66@yahoo.com atau 013-3672459
dan layari facebook.com/Yahanana Events untuk info menarik!!

Wednesday, 8 June 2016

Pusingan ke 7 RM10 jeee - Bingkisan Ramadhan Sik Kedah - Bahagian ke 2

Assalamualaikum wbt sahabat-sahabat semua. Kita sambung kisah Bingkisan Ramadhan Sik, Kedah.

Setelah selesai membayar barangan sumbangan di kedai Kak Long, kami terus ke Seri Ternas Lake Resort, Tasik Beris, Sik. Menghala ke pedalaman lagi. Che Mid pernah sampai di Tasik Beris sebelum ni. Terkejut dan sedih betul bila tengok air tasik hampir kering sepenuhnya.. masyaallah.


Ini adalah gambar dari fb Seri Ternas. Air tasik yang cantik. 


Ini adalah keadaan Tasik Beris sekarang. Walaupun hujan sudah mula membasahi bumi Sik, tapi belum mampu memenuhi tasik ini seperti sedia kala. Memang 'speechless' bila tengok macam ni..

Ini bilik mak-mak dara... berebut pilih katil he he. Sesekali tinggal family perangai macam budak-budak he he. Muka penat dah memandu 10 jam, rasa nak baring je ye..

Berkenalan dengan Cikgu Basirun, pemilik Seri Ternas Lake & Resort seolah-olah dah kenal lama, walaupun tak pernah berjumpa pun sebelum ini. Dan kami datang bukan sahaja nak menginap tapi meminta tolong mengurus majlis kami.

" Puan Hamidah, esok kita adakan majlis penyampaian sumbangan tu di sini, (dewan). Saya akan jemput dalam 30 orang ajk masjid dan JKKK kampung termasuk Ketua Kampung dan Imam Masjid untuk baca doa. Rela pun saya akan panggil untuk jaga jalan besar esok. Semua KOS SAYA TANGGUNG, Puan Hamidah tak usah bimbang".

"Sekarang ni barang-barang sumbangan ada di rumah saya. Saya tak mau bubuh luar, sat gi kucing kacau ka.. hujan ka.. hilang kaaa. Kebetulan ada kumpulan dari Majlis Belia Pulau Pinang ada buat kem di sini. Depa akan tulong bungkuskan barang-barang tu sebagai slot Khidmat Masyarakat depa. Lepaih tu depa buleh tulong angkat dan susun siap-siap di dewan. Saya dah bicang dengan pegawai depa dan depa setuju. Puan Hamidah tak usah dok risau.. saya aturkan semua. Ini semua kerja Allah. Allah temukan kita semua di tempat ini untuk kita bantu orang susah. Allah dah susun cantik dah "

Allahuakbar.. Nikmat apa lagi yang kita mahukan. Kami tak terkata apa bila Cikgu Basirun terangkan satu persatu. Rancangan kami untuk buat sendiri pembungkusan dan kemudian serah sendiri kepada penerima satu persatu, tanpa ucapan, tanpa kain rentang.. nampaknya tak menjadi. Allah nak jadikan majlis kami majlis besar (buat kami). Subhanallah.



Tapi ada sesuatu yang Che Mid nak tanya sendiri pada Cikgu Basirun sebagai oranga luar. " Cikgu, saya nak tanya sikit. Memang la saya ada baca di media tentang penoreh di Sik ni sedang susah. Tak cukup duit untuk beli beras. Tapi saya nak tanya betul-betul dengan cikgu ni. Betul ke mereka ni memang susah macam tu sekali".

Cikgu Basirun terus berubah wajah menjadi sayu. "Memanglah depa semua ni penoreh getah, time panas betul getah sikit ja. Harga turun. Bila musim hujan pulak memang tak boleh keluar menoreh langsung......". Cikgu Basirun kehilangan kata-kata. Tiba-tiba je dia senyap. Kerongkongnya bagai tersekat sesuatu yang mengekang suaranya keluar. Matanya memerah, airmatanya hampir-hampir menitis. Tahulah Che Mid.. memang teruk sangat keadaan orang-orang kampung di sana.

Selepas beberapa ketika Cikgu Basirun berkata, "Maaflah na.. saya tak boleh cakap. Sebak rasa hati saya. Tu lah.. ajk mesjid pun dok pikiaq macamana nak bantu depa semua. Tu bila saya bagi tau yang Puan Hamidah nak mai bagi sumbangan, kami semua terharu dan syukur sangat-sangat. Teruih kami pi tengok senarai nama asnaf yang ada." " Bila Puan Hamidah kata, puan bukan dari mana-mana NGO atau mana-mana parti politik, kami cukup suka. Kami pun tak kira parti. Sapa susah kami bantu".

Itulah dialog kami. Dialog yang membuat Che Mid dan kawan-kawan  terdiam. Dan dalam masa bersyukur kerana Allah gerakkan hati kami berada di sana menjadi sebahagian dari "kesusahan" mereka.


Tengah malam kami berbincang lagi. Ada RM3000 lebih lagi dalam poket kami. Kami cadang nak tolong bayarkan hutang orang-orang susah di kedai Kak Long tadi, tapi Kak Long kata di kedai mereka semua urusniaga secara tunai. Jadi kami tak boleh berbuat begitu.

Esok pagi-paginya Che Mid dapat idea. Terus bergegas ke bilik kawan-kawan. " Jom kita tambah lagi barangan nak. Kita beli lagi dalam RM2000 lagi, maknanya RM20 tambahan untuk 100 asnaf." Bila kawan-kawan setuju, Che Mid terus hubungi Kak Long dan Kak Long jawab walaupun baru pukul 7 pagi. Kami beritahu yang kami mahu beli sabun basuh 1 kg, sabun mandi 1 pek, ubat gigi dan serbuk kopi. Pukul 8.15 pagi kedai Kak Lomg buka, kami dah terpacak depan kedai.

Sebelum kami ke pekan, taklimat ringkas dibuat tentang cara pembungkusan dibuat kepada pegawai dan peserta Majlis Belia Pulau Pinang. Nor, Ruzzi dan adik-adik tinggal di sana untuk memantau keadaan, yang lain ikut Che Mid ke Pekan. 

Kami tunjuk contoh pembungkusan. 

Ini antara peserta yang membantu. 

Peserta kem mengangkut kotak-kotak minyak masak

Dan mengangkat masuk ke dewan

Sementara itu, di kedai Kak Long, kami bertungkus lumus menyiapkan pek-pek bernilai RM20 setiap satu sebanyak 100 pek. Staf kedai tu pun ikut berpeluh-peluh mengira, tag harga dan membungkus. Kemudian memasukkan dalam kereta kami pula.  Pelanggan pun semakin ramai. 

Ada masanya kiraan tak tepat he he. Ni macamana ubat gigi ni boleh terlebih pulak ni.. Gurau Zuraidah membuatkan Usop staf kedai tu tersipu. Al maklumlah.. benda nak cepat kan. Kami mesti balik semula ke Chalet  sebelum pukul 9 pagi. 



Ada satu perkara yang rasanya perlu diingatkan, sekiranya ada yang berhajat berbuat program sebegini. Perasaan asnaf atau peneriam yang rata-ratanya orang susah amatlah sensitif yang kadang-kadang melangkaui akal rasional. Jadi kita sebagai penganjur perlu bersedia dihadapan sedikit untuk mengelak kejadian seperti irihati atau perbalahan yang tidak perlu. 

Dan memang pun, perkara ini berlaku. Semasa kami sedang sibuk membungkus barangan di dalam kedai, ada seorang pakcik sedang menyapu sampah di tepi jalan dan boleh mengagak apa tujuan bungkusan-bungkusan tersebut. Pakcik tu bertanya kepada Zihan dan dijawab dengan baik. " Ini untuk penyampaian bantuan pakcik. " "Bila?". "Hari ini pakcik". " Awat, pakcik tak dipanggil". 

Bila Zihan beritahu Che Mid tentang pakcik tu, Che Mid terus ingatkan Zihan untuk memerhatikannya supaya tak hilang dari pandangan. Bila kami selesai urusan di kedai, Che Mid hulur sedikit duit dari sumbangan dan pesan pada Zihan untuk berikan pada pakcik tu. Sayang tak sempat ambil gambar kerana nak cepat. Tapi tentu boleh kita bayangkan betapa bersyukurnya pak cik tu dapat rezeki di pagi hari. 

Kami meneruskan perjalanan. Terserempak seorang lagi penyapu sampah sedang menyapu berhampiran simpang lampu isyarat. Kami berhenti, " Assalamualaikum pakcik.. dah minum pagi?". "Dah minum dah." Jawab pakcik tu agak terkejut disapa sebegitu. "Nah ambik ni, untuk makan tengahari nanti ya." Che Mid hulur sehelai wang kertas. Diambilnya dengan wajah terkejut dan bersyukur sangat. Kami memecut kereta meninggalkan pakcik tadi dengan airmata... Hai, tak tahu nak digambarkan perasaan kami. Suka terharu bercampur baur!

Inilah suasana yang kami lihat sebaik kami pulang dari kedai Kak Long. Kehadiran tetamu yang disayangi memenuhi ruang dewan. 



100 kampit beras, 100 botol minyak masak menanti tuan baru 


Bincang lagi saat-saat akhir dengan Cikgu Basirun. Kami tak mau tetamu minum pagi selepas majlis selesai seperti biasa dilakukan. Tapi tetamu dipersilakan untuk menikmati jamuan sebelum menerima sumbangan. Supaya mereka boleh terus pulang sebaik mengambil sumbangan masing-masing. Barang sumbangan pula, ambil pek yang ringan dahulu kemudian diakhiri dengan minyak dan beras. Kami dah sediakan petugas di setiap 'stesen' barangan untuk membantu para penerima. 

 
Ucapan ringkas Ketua Kampung, Puan Rosnah Abu Bakar. Menurut beliau kampung Ternas tidak pernah lagi menerima bantuan sedemikian rupa sebelum ini. 

Muka sememeh tak sempat bersiap molek-molek. Nak tukar tudung lawa sikit pun tak sempat. Tambah dengan sakit kepala sangat-sangat dari pagi, tapi tahankan je la. Ketua Kampung Ternas adalah seorang wanita tau!!



Diminta berucap juga, walaupun tiada dalam perancangan. Selain ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Cikgu Basirun, ajk masjid dan JKKK yang membantu menyediakan penerima,  Che Mid tegaskan bahawa kami bukan dari mana-mana organisasi. Cuma kawan-kawan setaman dan sahabat-sahabat berhati mulia yang digerakkan hati oleh Allah swt untuk datang membantu.

 "Saya percaya ada antara penerima yang hadir hari ini sentiasa menadah tangan selepas solat, Ya Allah, Kau bantulah aku, Kau lepaskan lah aku dari kesusahan ini.. Dan di pihak kami pula,  Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan sumbangan ini. Kau bukakanlah hati-hati mereka diluar sana untuk menyumbang dan membantu saudara-saudara kami di Sik. Dan hari ini Allah swt satukan doa-doa kita di sini, di majlis ini. Dan saya mohon tuan-tuan dan puan-puan untuk doakan terus istiqomah menghulur bantuan, kalau bukan di sini, di tempat lain pula."  




Bermesra dengan ibu-ibu dan nenek-nenek semasa minum pagi. 


Sempat posing-posing lagi tu he he

Apa yang membuatkan Che Mid rasa teruja dan gembira sangat kali ni ialah sebab adik beradik dan anak buah Che Mid ikut turun padang ke Sik. Mula-mula cuma Che Mid, Acik dan Nor sahaja yang ikut program ni tapi bila adik-adik yang lain tahu, ramai pulak nak ikut. 


Huda (anak buah) perasan nenek duduk mencangkung bawah pokok. 

Cepat-cepat Huda ambilkan kerusi. Memang seronok tengok adik-adik menyantuni tetamu, ambilkan air minum dan juadah dan beramah mesra tanpa disuruh. Masing-masing tau apa nak dibuat. 

Sibuk ajak nenek bertudung hitam tu bergambar.. malu-malu pulak. 

Ini dia rupa nenek comel

Selingan selawat diketuai oleh Farah

Memastikan setiap portion cukup. Kalau tak cukup ke atau ada tersilap bagi mesti bagi tau Che Mid tau, kita cari jalan lain macamana nak cover. 

Dan bermulalah nama penyumbang dipanggil satu persatu, dan sumbangan bertukar tangan. Geng kami pastikan setiap seorang mendapat setiap pek, tidak tercicir satu pun. 


Ada yang bersalam dan berpeluk sebagai tanda terima kasih, ada yang dibawa anak atau menakan untuk mengambil sumbangan. Ada yang sihat namun ramai yang warga emas. Ada juga yang sakit dan lemah tak berdaya. 

Kaum bapa dibelakang tu sedang menunggu giliran. Adik Lina bertudung hitam sedang sibuk memastikan penerima mendapat bungkusan yang betul dan cukup. Asek dapat gambar pandang tepi je dik.. sibuk bebeno ya. Well done dik. Suami adik Lina, Khairul, ada beritahu Che Mid seusai majlis. " Kak, saya tak pernah ikut program-program macam ni. Tapi betullah... nampak sangat Allah bantu kita. Kalau tidak, macamana lah kita nak angkat 100 kampit beras tu ke dewan, kalau takde budak-budak belia tu.."  Kannnn.... 

Bahagia rasa dihati melihat mereka pulang menjinjing sesuatu. Berbual dengan setiausaha Masjid yang memantau senarai penerima, lupa pulak tanya nama. Dia kata ada 69 penerima dari Kampung Ternas, yang selebihnya mereka pilih dari kampung-kampung berdekatan. Semua sekali 12 buah kampung. Dan tengok bungkusan tu, dia agak lebih dari RM50 dari yang Che Mid beritahu awal dulu. Memang pun. RM50 tu berdasarkan sasaran awal kita mendapat RM5000 sahaja tapi alhamdulillah, kami dapat lebih dari itu dan tentunya penerima juga dapat lebih. Terima kasih kepada semua penyumbang. 



Nana, adik Che Mid yang bongsu pun ikut ke hulu ke hilir menemani penerima. Ada yang letak motosikal mereka di celah-celah lorong chalet tu, Nana sanggup turun ke sana sambil mengelek anak keciknya yang "melekat" tak mau ikut orang. Proud of you dik!

Alhamdulillah. Terkilan sikit, Che Mid lupa nak beli kudapan untuk anak-anak ni. Kalau tak tentu mereka lagi happy kan.. 

Harap cukuplah beras tu menampung Ramadhan kali ini ya pakcik.. 

Makcik ini terpaksa dipapah tapi masih mahu bersalaman dengan kami. Jaga diri baik-baik ya makcik!

Alhamdulillah..  ada yang menjinjing, ada yang dok menyangkung menunggu menakan datang ambik. 

Hati-hati makcik..curam tepi tu.. 

Kedudukan Seri Ternas yang jauh ke tepi tasik, membuatkan penerima terpaksa menyusur tepi-tepi chalet tu. Maaflah kalau menyusahkan pakcik makcik ya..

Penerima terakhir - Pak Lang. Kami ajak bergambar , malu-malu pulak Pak Lang ni. Bila ditanya soalan, Pak Lang kata, " Telinga tak berapa nak dengaq" he he... apa pun terima kasih Pak Lang sudi mai.. Adam (berbaju kuning) dan Khairul (tinggi kat belakang) tukang angkat beras dan minyak. Good job ya!


My picture of the day - Farah yang ambil gambar ni. Dia kata pakcik-pakcik tu bergurau-gurau sambil start enjin motor. Pakcik naik motor baik-baik naaa... 

Gambar terakhir dengan Cikgu Basirun, Puan Ketua Kampung dan petugas Rela dengan Che Mid dan geng. Abah Che Mid yang pakai kopiah putih. Dia perati je Che Mid buat keje. I know deep in your heart Abah bangga dengan kami. Doakan kami murah rezeki dan tak lupa buat macam ni lagi ya Bah. 

Bersalaman, berpelukan dan berciuman sebelum berpisah. Tawa ada, airmata berbaur. Suka dan lega program selesai dengan baik. Amanah semua penyumbang telah dilaksanakan sebaik-baiknya. 

Terharu sungguh bila tengok gambar-gambar ni. Rasa penat memandu 10 jam, bertungkus lumus menyiapkan program hilang begitu saja. Mak (bertudung hitam) pun sama berpeluk dengan kami. 

Baki wang tunai sumbangan kami serahkan kepada Rumah Gemilang, Pertubuhan Asuhan dan Didikan Anak-anak Yatim Islam, Sik. 

Musim cuti sekolah, penghuni pulang ke rumah waris. Sunyi je kan. 

Kami mewakilkan Acik menyerahkan kepada AJK Rumah Gemilang, Cikgu Siti. 

Alhamdulillah wa syukurillah. Tamat misi Bingkisan Ramadhan Sik dengan kutipan berjumlah RM10,130.00. 

Belum sempat kami sampai ke Klang, dah ada sahabat penyumbang yang tanya, " Che Mid, lepas ni plan nak ke mana pulak?". Allahuakbar.. mulianya hati mereka ni..

Nanti-nanti dulu naaa... kami nak pi berehat dan cuci mata cuci minda sat. Assalamualaikum, Ma'asalamah wa ilalliqa'!!












8 comments:

  1. alhamdulillah cikmid usaha yang sngt baik
    semoga ALLAH gandakan lagi rezeki kalian semua dimasa akan dtg
    bukan senang nak turun kampong noo memandu berjam2
    hanya yg cekal hati ja yg sanggup

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Kami pun tak sangka boleh ke Sik, Kedah. Tp Allah permudahkan segalanya.

      Delete
  2. tahniah2x...semoga ada lagi selepas ini

    ReplyDelete
  3. salam Ramadhan akak..

    alhamdulillah... smoga ramai lg y tampil mbantu insan y memerlukan..

    ReplyDelete
  4. Salam Nuzul Quran Kak... alhamdulillah, seronok bila dpt menggembirakan hati insan2 yg memerlukan ni... syukur sangat...
    pernah ke Sikh masa zman study... :)

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah... SMoga makin bertambah rezeki buat penyumbang.

    ReplyDelete
  6. The Casino - Dr. Maryland
    The Casino 청주 출장마사지 at the Dr. Maryland has some of the 부천 출장안마 biggest slots in the state. For 전주 출장마사지 more information 통영 출장안마 on 거제 출장샵 the casino, visit www.casinodaddy.com

    ReplyDelete