Yahanana Events

Ini Iklan YAHANANA EVENTS - Sila ke bawah lagi untuk entri terbaru!!


Adakah anda sedang mencari pengacara yang boleh berselawat dan berqasidah
untuk majlis korporat atau persendirian seperti walimatul urus, cukur jambul,
perasmian atau pelancaran produk?

Atau anda sedang mencari Pengurus Acara Islamik untuk membantu anda
mengadakan acara sambutan hari kebesaran Islam seperti Sambutan Maulidurrasul, al-Maulid dsb?

Yahanana Events sedia berkhidmat dengan menyediakan pengacara, sistem PA,
kumpulan nasyid, marhaban, qasidah, penceramah, kompang dan
lain-lain yang anda mahukan.

Hubungi Che Mid di hmj_66@yahoo.com atau 013-3672459
dan layari facebook.com/Yahanana Events untuk info menarik!!

Friday 26 February 2016

Cemas!! Kuman Denggi Menyerang Otak

Assalamualaikum sahabat yang dikasihi..

Salah seorang adik ipar Che Mid bernama Cikgu Jamil.  Anak-anak buah panggil "Pak Ngah". Pak Ngah ni terkenal dengan sikap garang dan suka bersuara kuat. Anak-anak buah memang cukup kecut perut bila tengok muka atau dengar suara Pak Ngah. Kalau tengah nangis kena suruh diam dengan Pak Ngah, dan-dan tu diam. Kena panggil nama dengan Pak Ngah, jam-jam tu jugak patuh, segera pergi ke Pak Ngah. Kalau nak pergi rumah Pak Ngah, tanya dulu Pak Ngah ada ke tidak. Kalau ada, alamat 1001 alasan la tak nak ke sana.

Pak Ngah Min ni seorang yang sangat aktif. Selain aktif sebagai guru sekolah, Pak Ngah juga aktif di taman tempat tinggal kami, sebagai setiausaha KRT orang kuat surau. Politik pun aktif juga. Pak Ngah memang sentiasa sibuk dan meletakkan kerja kebajikan dan sosial di temapt no 1.

Akhir-akhir ni Pak Ngah selalu je sakit kepala. Tapi tak mau berubat... takde masa ataupun sibuk. Hal sakit-sakit ni hal kecik je. Biasalah, orang lelaki selalu macam tu kan. Tak suka pi klinik atau jumpa doktor. Pastu Pak Ngah demam panas beberapa hari. Dah tak larat sangat, barulah Pak Ngah pi klinik. Ambil ujian darah, doktor kata normal. Sakit kepala pun biasa je.

Hari Jumaat malam Sabtu, Pak Ngah sakit kepala sangat. Satu malam Pak Ngah anak beranak tak dapat tidur. Sakit kepala tu sampai tak boleh sentuh. Kejap baring kat bilik, kejap turun bawah ke ruang tamu. Tak senang duduk. Hari Sabtu petang berubat kampung. Ada kurang sikit. Hari Ahad malam Isnin, Pak Ngah dah lemah badan. Tak boleh bangun.. asal bangun je rasa melayang-layang dan jatuh balik. Percakapan semakin perlahan dan tak jelas. Tengah malam tu, keluarga Pak Ngah paksa Pak Ngah ke hospital. Anak-anak angkat Pak Ngah sebab Pak Ngah cakap dia ok .. tak apa-apa. (Degil betul orang lelaki ni kan..)

Sampai hospital Shah Alam, masuk ke wad kecemasan. Empat orang doktor pakar rawat Pak Ngah. Buat pemeriksaan CT Scan dan X ray malam tu juga.




Hari pertama di Wad 10A, pagi Isnin. Achik (isteri Pak Ngah) bagi tau kami yang Pak Ngah kena demam denggi. Jangkitan kuman dah sampai ke otak, buah pinggang dan hati. Memang tak sangka sebab sebelum tu dah check darah dan katanya Pak Ngah tak kena denggi.

Pak Ngah macam tak kenal orang. Bila orang salam dia akan renung dan ambil masa untuk cam. Mulutnya hampir tak berkata apa-apa. Diam je. Sesekali baru dengar Pak Ngah bercakap sepatah dua. Itu pun antara dengar dan tidak. Memang sedih betul tengok Pak Ngah macam tu.. betul-betul lain dari Pak Ngah yang kita kenal.



Waktu melawat tengahari Isnin - Ramai betul yang datang. Kebanyakannya adik beradik, jiran dan guru-guru sekolah. Achik asyik menangis. Che Mid yang tengok perangai Pak Ngah lain macam pun menitis air mata beberapa kali.

Pak Ngah tak boleh baca hp. Dia tak tau nak guna hp tu. Tapi dia suka buat main. Minta hp dan tekan-tekan. Lepas tu pandang je hp tu. Pandang kosong. Memang ramai yang menangis tengok keadaan Pak Ngah. Imam surau kami pun meleleh air mata. Dia pi dekat Pak Ngah dan ambik hp kat tangan Pak Ngah. " Cikgu.. dah lah.. jangan tengok henfon tu.. cikgu kena rehat..". Pak Ngah pandang pak Imam.. kosong..


Salah seorang kawan Pak Ngah (berbaju gelap) tengah membacakan doa untuk kesembuhan Pak Ngah. Khabarnya isterinya pun meninggal dunia akibat demam denggi juga. Ya Allah.. memang menakutkan.

Hari yang diselubungi kesedihan. Nana, adik kami yang bongsu memeluk Achik.. memujuk Achik dengan airmata.


Doktor pakar baru beritahu Achik. Pak Ngah akan dipindahkan ke Wad ICU. Achik asek menangis je. Bila Che Mid peluk tanya kenape, dia kata, " Achik takut.."

Seharian Achik tak makan. Dari semalam tak tidur. Bila suruh jamah makanan Achik tak mau. Akhirnya kami paksa Achik duduk di luar wad ICU dan mak nenek suap nasi dengan kuah kicap. Dapat 2-3 suap, Achik takmau dah.


Hari kedua - Keadaan Pak Ngah dalam ICU. Tengoklah matanya, cuba mengecam siapa yang dia salam. Farhan yang ambik gambar ni (curik-curik. Dalam ICU dilarang ambil foto. Tapi dah namanya fotografer..). Che Mid pesan pada Farhan bila tengok Pak Ngah nanti bacakan doa untuk dia. Farhan kata, " Tak habis Ayan baca doa, dah menitis air mata tengok Pak Ngah macam tu bu..". Biarlah Pak Ngah cepat baik. Biarlah dia marah-marah macam dulu. 

Kadang-kadang Pak Ngah akan main pintal tiub-tiub yang berselirat tu. Macam tekan-tekan hp pun ada gak. Bila Che Mid bagi tau dia.. sifulan sifulan kirim salam, dia pandang je.. menjawab tidak mengiakan pun tidak. Pak Ngah kena pakai lampin pakai buang dan kencing ikut tiub. 


Hari ketiga - Pak Ngah semakin pulih tapi masih di ICU. YB Dr Rani sedang melawat.


Sentiasa ramai yang datang melawat.

Tiga orang anak Pak Ngah dan Achik. Yang baju merah tu Haziq, sepupu.


Hari ke empat - Alhamdulillah. Progres positif yang menakjubkan. Pak Ngah telah dipindah semula ke wad biasa. Berkat doa dan solat hajat jiran-jiran, sahabat dan keluarga. Dalam gambar, Pengerusi KRT taman kami datang berziarah.


Ketua Kampung dan isteri pun datang juga. Kami sering berhubung dalam grup whatsapp KRT bagi mengetahui perkembangan Pak Ngah. Che Mid akan update dari semasa ke semasa.


Ammar (berpeluk tubuh) pun kena demam denggi juga. Terpaksa berulang ke klinik kesihatan untuk ambil darah. Lepas tu berkejar ke hospital tengok abah, terpaksa 'berlagak' sihat walaupun diri sendiri nampak lemah dan pucat.  Ashman al Hafiz (berjubah) yang belajar di KUIS, Gombak dan Adam (baju gelap) belajar di UMP Gambang memberi tumpuan 200 peratus jaga abah. Bergegas balik bila tahu abah sakit. Tak hadir kelas hampir seminggu, bertukar masa tidur sesama adik beradik dan ibu demi jaga kebajikan abah.

 Tak termasuk keluar beli diaper, beli bubur abah, teman ibu cari ketam untuk buat sup dan lain-lain. Anak-anak ini sangat patuh. Tiada istilah 'tuang' atau 'hilang' dari pandangan ibu atau 'banyak songeh'. Masyaallah tabarakallah. Anak-anak ini tak banyak cakap tapi sangat pandai bawa diri dan tahu apa yang perlu dibuat. 

Hari ke lima (semalam) - Pak Ngah dah dibenarkan pulang. Alhamdulillah. Lega dan syukur sangat-sangat. Allah beri ujian berat dan Allah juga yang mengangkat ujian itu cepat.

!!
Wad ICU kami tinggalkan dengan senyuman. Namun tentu ramai lagi yang meninggalkan ICU dengan tangisan kerana tubuh yang masuk akan keluar sebagai jenazah. Penangan si nyamuk!! Allahuakbar..Dia juga yang memberi sakit dan memberi kesembuhan. Wallahu'alam. 

Friday 19 February 2016

Anak Bertuah Sorang Ni..

Assalamualaikum sahabat semua..

Sebelum Che Mid sembang dengan entri seterusnya, nak juga share sikit tentang respon balas dari entri lepas berkenaan dengan ziarah ke rumah anak-anak yatim. Alhamdulillah, ada sahabat baru dan yang Che Mid tak kenal yang ingin ikut serta menyumbang di bulan akan datang. Ada juga yang minta Che Mid simpan nombor telefon siap-siap supaya dapat hubungi mereka terus di program berikutnya. Alhamdulillah. Semakin bersemangat ni.. untuk bulan April akan datang, kami rancang untuk menziarahi anak-anak gelandangan pula. Doakan ya..

Oraito.. hari ni nak borak pasal anak bujang Che Mid sorang ni. Faris Khalifah namanya. Umur 20 tahun..eh dah besar dah anak ibu ya. Ibu dan abah selalu kata, Faris ni jenis yang tak kisah. Makan tak kisah, janji ada makanan atas meja dia akan makan. Sempoi je dia.. tak manja dan tak kaki komplen. Di rumah Faris tak banyak cakap sangat. Cakap bila perlu je. Nak kata pendiam tak jugak, bila dengan kawan-kawan tu ramah sungguh. Setiap hari ada je kawan-kawan datang ke rumah. 

Dulu dalam entri lama, ibu pernah tulis yang cita-cita Faris besar nanti nak jadi tukang gunting rambut. Kawan-kawan blogger lama ibu mungkin ada yang ingat lagi. Tetapi selepas SPM kami suruh Faris belajar di ILP - Institut Latihan Perindustrian mengambil jurusan Computer Networking selepas gagal ke IPTA utama. Bila tinggal berjauhan pun, Faris tak hubungi ibu kecuali bila ada hal. Mujur le ada grup wasap keluarga, menyampuk juge le dia sekali sekala. Ada masanya ibu rindu sangat nak dengar suara Faris. Ibu teringin sangat nak berbual mesra dengan Faris. 

Gambar ini di hari terakhir Faris di ILP

Bersyukur Faris habiskan kursus ni walaupun cuma peringkat sijil je, Kalau nak sambung diploma pulak, kena belajar di tempat lain. 


 Bye-bye ILP Banting, Selangor.

Sedih gak katanya nak tinggalkan ILP.. eleh.. tau sedih gak ya.. he he

Bawa barang semua.. tak mau tinggal.. 


Ibu dan Deeja je yang datang ambil abang Aish di ILP. Untuk kali terakhir. 


Antara Banting - Klang bukanlah jauh sangat, jadi boleh kata setiap dua minggu sekali Faris akan balik rumah. Dan dah jadi kebiasaan, Faris akan berkumpul di Setia City Mall untuk menari. Ya, menari adalah minat Faris dari sekolah lagi. Kalau ibu, abang dan kakak lebih kepada nyanyian dan nasyid, Faris tetap minat sangat dengan menari. Pertandingan " dance music" secara solo atau berkumpulan selalu juga Faris sertai.Tapi biasalah dia tu, Faris sibuk dengan kawan-kawan dia je. Dengan ibu tak mahu cerita sangat. Lebih suka berbual dengan abang Ayan dan kakak Farah. 

Bila time cuti pulak, Faris akan berjaga hingga ke pagi dan kadang-kadang cuma tidur selepas Subuh. Dah petang baru bangun. Itu pun puas kejut, sebab Faris jenis susah bangun tidur. Lepas Asar, Faris akan keluar untuk aktiviti menarinya. Begitulah jadual Faris. Ada kalanya ibu rasa, walaupun Faris bercuti di rumah tapi rindu ibu pada Faris tak hilang dah nak balik ke hostel semula. 


Ini antara gambar terbaru Faris


Faris ada team sendiri. Kadang-kadang masuk pertandingan secara solo atau berkumpulan. Ibu pun tak tau apa nama competition tu. Tapi memang rajin berlatih di luar rumah atau di Setia City Mall. Ibu ingatkan, hobi ni cuma zaman sekolah je. Rupanya sampai sekarang.. dah masuk 20 tahun. 

Sekarang ni, Faris sedang menjalani latihan praktikal di kedai komputer di Giant Klang Sentral agak-agak 5 minit je naik kereta dari rumah kami. Dapat elaun RM500 sebulan dari majikan dan RM300 sebulan dari ILP. Setiap hari abah akan hantar bekal makan tengahari. Hari cuti, Faris akan tidur di dari lepas Subuh sampai Zohor dan petang praktis menari pulak. 


Bila ada kelapangan, ada juga ibu 'paksa' dia ikut. Pergi ziarah anak yatim ke..



Jadi kru Yahanana Events  ke..

Ini kami nak ke majlis bertunang sepupu Faris. 


Dengan sepupu-sepupu. 

Faris akan bekerja/praktikal dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Bila rumah dah lewat, makan malam dan berehat atau main computer games atau lepak dengan kawan-kawan sampai awal pagi. Esoknya pergi kerja seperti biasa. End up, Faris lebih banyak bercakap dengan abah dari ibu sebab abah akan hantar dan ambil Faris. 



Suatu hari, Faris tetiba je datang pada ibu, " Ibu, nah ambik ni.." Faris hulur sekeping note RM50 pada ibu. "Ini gaji pertama Faris". Allahuakbar.. ibu memang terkejut sungguh. Ibu ingat Faris takkan bagi ibu sebab Fariskan jenis tak kisah dan selamba je.  Dan ibu pun tak kisah sebab duit gaji praktikal... banyak mana lah sangat. Alahai.. perasaan ibu bercampur baur masa tu. Rasa macam, " Ingat jugak anak aku ni kat ibu dia ya." 

Sekeping wang kertas RM50 itu terasa sungguh "mahal" dan istimewa sangat. Rasa nak simpan dan tak mau guna sampai bila-bila. Rupanya, Faris dah terlebih dulu beri pada abah. Termasuk duit yuran sekolah tadika Deeja juga. Oh.. anakku.. 

Ok lah.. tak mengapalah kalau Faris nak buat stail selamba macam takde perasan pun. Tapi ibu tau dah, yang hati Faris tetap anak yang baik dan soleh. Dalam hati Faris tetap ada taman dan syurga untuk ibu, abah dan keluarga. Doa ibu memang tak pernah putus untuk setiap anak-anak menantu ibu. Don't worry be happy.  Aamiin. 

Dan Faris dah rancang nak belajar lagi lepas habis praktikal ni. Sambung ke? Tak.. nak ambik kursus potong rambut pulak. Cita-cita asal dia. Sekarang ni pun, set mesin potong rambut Faris akan dibawa ke mana-mana. Sentiasa akan ada kawan-kawan atau sepupu sepapat yang nak bergunting dengan Faris. So Faris.. tepuk dada tanya iman dan minat. Ibu sokong apa je.. janji tak lupa solat ke.. kipidap bro!!

Monday 15 February 2016

RM10 jeee - Pusingan ke 4 - Dengan anak-anak HIV

Assalamualaikum sahabat yang dikasihi

Kali ini kita cerita tentang ziarah menyerahkan Sumbangan anak Yatim dan Miskin pusingan ke 4. Alhamdulillah dah berterusan hinggan bulan ke 4 ya.

Seperti biasa, Che Mid mula merisik-risik ke mana akan diserah sumbangan kali ini. Alhamdulillah ada sahabat yang beritahu tentang rumah ini. Kali ini kami memilih untuk ke Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam dan Tersisih, Jalan Kenangan, Kampung Bukit Kerayong. Kampung ini tak jauh dari rumah Che Mid tapi tak pernah dengar pulak ada rumah anak yatim di situ.


Seperti biasa, kami ber'shopping' dulu. Itu pun setelah dapat kepastian dari pengurus rumah tersebut apa yang perlu kami beli dan bawa. Kemudian kami tambah sikit lagi makanan dan keperluan lain. Cikgu Aznora ikut kami buat pertama kali, Cik Nah pula dah kali kedua. Dah pandai bercongak harga dan barangan. Kipidap Cik Nah. 

Che Mid biasakan untuk menggunakan satu beg kecil atau dompet yang sama setiap bulan semasa kutipan. Untuk ahli marhaban, mereka dah tau dah, kalau nampak beg tu, maknanya untuk kutipan anak yatim lah tu. Dan, Che Mid tak tengok pun berapa isi kandungannya sehinggalah sampai masa untuk menziarah. Kami akan kira sama-sama, dan sama-sama bincang cara membahagikan rezeki tersebut. 

Santan kotak dan kacang hijau untuk bubur kacang pun ada. 

Sebabnya? Nikmat bersedekah itu sama-sama kita rasai dari awal lagi. Dari berkempen, mengumpul, mengira, memilih barangan dan membayar di kaunter.. nikmatnya masyaallah. Kita akan mengira dengan kasih sayang kerana duit itu bukan duit kita, dan kita akan membelanjakan juga dengan kasih sayang kerana amanah dari orang lain kepada yang tidak berkemampuan. Tak percaya? Kena cuba baru tau.. 


Alat kebersihan diri ini diminta oleh pengurus rumah kebajikan tersebut. 

Mak Che Mid pun ada, dan kawan baik dari Pahang yang kebetulan balik kampung, dengan bahagianya ikut serta. 

Farah dan Cikgu Roszana pun ada, balik cuti Raya Cina.. 


Selesai membeli belah, kami terus ke rumah kebajikan yang terletak kira-kira 15 minit dari rumah kam. Kami gerak dengan 3 buah kereta, dua buah kereta dengan barangan dan sebuah lagi kereta menunggu di sana.

Dah sampai. Agak pendalaman nun dihujung kampung yang sunyi dan damai. Kenapa terceruk begini? Ada sebabnya.. 

Berkenalan dengan pengurus rumah ini - Encik Helmi.

Asal ceritanya, rumah ini ditubuhkan pada 2008 bertempat di Cheras Kuala Lumpur dan penghuninya terdiri dari anak-anak HIV positif. Disebabkan suasana bandar yang tidak begitu kondusif, doktor HKL yang merawat anak-anak itu mencadangkan supaya mencari tempat lain yang lebih tenang dan 'bersih' . Apatah lagi sewa rumah yang menjangkau RM3000 sebulan menyebabkan mereka tiada pilihan tetapi mencari tempat lain. 

Antara pengasas rumah ini ialah En Mohd Redza bin Zainal Abidin, seorang juruterbang yang juga anak jati kampung Bukit Kerayong ini. Beliau memutuskan berpindah ke rumah pusaka yang tidak dihuni dengan kadar sewa RM250 sahaja sebulan. Sekali pandang memang dhaif tetapi agak mencukupi kemudahannya. Disebabkan kesibukan di udara, tugas mengurus rumah ini diserahkan kepada 5 staf lain termasuk En Helmi. 


Alhamdulillah, rumah tersebut sudah mempunyai kenderaan yang selesa untuk bergerak ke sekolah dan ke hospital. 

Yang sedihnya, rumah ini dah lah rumah lama yang dibaik pulih, tetapi baru-baru ini dilanda banjir mengakibatkan barangan dalam rumah, seperti buku-buku dan peralatan dapur musnah. Bantuan sangat-sangat diperlukan. Sila hubungi En Helmi - 013 3568933 untuk keterangan lanjut.

Ada seorang hamba Allah menginfak jubin (tiles) untuk menggantikan tikar getah yang rosak akibat banjir di bahagian dapur. Kelihatan dua orang pekerja sedang bertugas. 

Rumah ini dihuni oleh seramai 8 orang anak yatim dan miskin, dan dua orang daripada mereka ialah penghidap HIV positif. Berumur antara 4 hingga 17 tahun. Anak lelaki dan perempuan diasingkan di dua blok berasingan tetapi berkongsi dapur. Disebabkan ketika kami melawat adalah cuti Tahun Baru Cina, anak-anak perempuan semuanya pulang ke rumah waris masing-masing. Yang tinggal cuma 3 orang anak lelaki sahaja. 

Zehan dan anak HIV ini.. I just love this photo.. 

Yang ini Shahrul, nama diberi oleh JKM. Anak ini tidak diketahui siapa ibu bapa kandungnya. dan tiada dokumen pengenalan diri langsung. Penghidap HIV sejak lahir dan terpaksa bergantung kepada ubat sepanjang hayatnya. Kini En Helmi sendiri sedang menguruskan untuk mengambil Shahrul sebagai anak angkatnya sendiri yang sah. Masyaallah. 

Semasa kami sampai, Shahrul sedang tidur dalam biliknya. Memang kebiasaannya selepas makan tengahari dan makan ubat, En Helmi akan menidurkan Shahrul. Melihat tubuh mungil ini keluar dari bilik dan berjalan mamai ke arah kami.. membuatkan hati sebak sayu. Sebatang kara lahir di dunia, dengan penyakit yang cukup ditakuti manusia.. Allahuakbar.. 



Anak ini berdua beradik, Aiman dan Adam,  diserahkan oleh JKM dari Kedah oleh neneknya. Ibu ayah berpisah entah ke mana, tiada surat beranak atau kad pengenalan untuk anak-anak ini. Meninggalkan si nenek tua yang tidak berdaya buntu mengenang nasib si cucu-cucu tanpa pembelaan. Akhirnya ke JKM tempat mengadu dan kini berada di Selangor meneruskan kehidupan. Rasa marah dan pelik menyelinap.. apa agaknya yang difikir oleh bapa anak-anak ini. Takkan buat surat beranak pun tak boleh? Sampainya hati membiar zuriat sendiri terumbang ambing tanpa arah.. 

Biasanya kami tidak menyerahkan wang tunai, tetapi kali ini ada sedikit titipan buat membaik pulih rumah akibat banjir. Sedikit sahaja jumlahnya, tapi insyaallah akan membantu. 



Sebelum mengundur diri, kami tinggalkan anak-anak ini dengan bermacam perasaan. Sedih sangat terutama pada penghidap HIV. En Helmi berkata, terlalu ramai anak-anak HIV sekarang dan terrrrlalu ramai anak-anak tak sah taraf yang dilahirkan. Tak kurang 10 orang SETIAP HARI. Nauzubillahiminzaalik. 

En Helmi juga memberitahu pihaknya bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memberi perlindungan kepada orang-orang Islam yang 'terjebak' dan berada dibawah jagaan pihak gereja. Pihak Kristian sentiasa mencari, memujuk, memperdaya orang-orang Islam yang terbiar susah secara sistematik untuk memurtadkan mereka. Tugas NGO-NGO Islam, MAIS dan orang-orang seperti En Helmi ini memang berat tetapi mesti diteruskan. Jadi, menurutnya lagi, sokongan seperti apa yang kami  ini sangat-sangat diperlukan. 

Frankly, Che Mid rasa sungguh kerdil bila berbicara dengan pengurus rumah anak-anak yatim ini. Bukan sahaja En Helmi sahaja tetapi juga pengurus rumah lain sebelum ini. Mereka berjiwa besar, sanggup berkorban apa saja demi anak-anak yang bukan darah daging keturunan mereka sendiri. Allahuakbar!



Apa pun, tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak. Yang pasti, sesiapa yang berkesempatan turun padang, akan merasai nikmat infaq dan bersemuka dengan asnaf.

Selesai misi bulan ini, kami basahkan tekak dengan minum petang bersama. Saling mengingat kembali kenangan anak HIV. Insyaallah kita jumpa lagi bulan depan. 

Sunday 14 February 2016

Inilah Mentorku

Bismillah.. izinkan daku bernostalgia..

Hadir di satu majlis kenduri tempoh hari, betul-betul mengimbau memori. Masuk je ke ruang tamu, rupanya sedang berlangsung majlis marhaban untuk cucu tuan rumah. Dan yang sedang bermarhaban ialah senior-senior Che Mid dulu. Memang pleasant surprise.. alhamdulillah.

Ini Ustazah Misriah, orang yang mula-mula mengajar berzanji dan marhaban pada Che Mid. Dan ada satu pertandingan berzanji yang Che Mid bertanding, suami ustazah, Ustaz Maa'mor Haji Noor pulak yang mengajar secara berdepan. Ekslusif gitu. Ustaz ada pesan, jangan hanya belajar sebab nak bertanding, tapi sentiasa baiki dari semasa ke semasa. Alhamdulillah, pesanan tu tetap diingat sampai hari ini. 

Yang membuat Che Mid bertambah syahdu dan sendu ialah bila tengok ahli-ahli marhaban ni. Umur dah lanjut dan kesihatan pun nampaknya tak berapa menyebelahi. Bayangkan, mereka dah pun aktif dari zaman muda-muda dulu. Che Mid mula ikut kumpulan ni mulai 1987, masa tu baru grad.. kalau mak-mak kita ni berumur 50an masa tu, senang-senang hari ni ada yang 70an.. tetapi semangat tetap tinggi. Walau bertongkat atau berteman anak cucu, tetap hadir. Allahuakbar..

Makcik Asmah berbaju pink tu, datang ditemani cucunya. Bertudung biru, mak cik Jaharah, yang baru ikut kumpulan ini selepas kematian suami tercinta - sekadar masa terluang. 

Bagi makcik-makcik atau nenek yang bertongkat dan sakit lutut, terpaksa duduk atas sofa. Tidak berdaya bukan alasan untuk menghadiri majlis marhaban seperti ini. 

Gambar ini tak berapa terang, tapi suka tengok kemesraan mak Che Mid dan ustazah. Tamat majlis, apa lagi, Che Mid ambil peluang melepas rindu dan bertanya khabar. Ada yang 'pukul-pukul' Che Mid bila merasakan lambat sangat sampai 'turn' dia hehe. Walaupun tinggal sekampung, memang jarang sangat dapat berjumpa apatah lagi dalam majlis macam ni. 

Melayan mereka makan - ambilkan nasi dan air, cukup mengujakan. Nak bangun sangat pun dah tak larat. Makan pun sekadar menjamah hidangan mengambil hati tuan rumah. Namun demi marhaban dan silaturrahim, jemputan tetap ditunaikan. Respek betul..


Bergambar dengan makcik-makcik dan anak-anak yang masih tinggal. Yang lain dah balik dijemput anak atau suami. 

Umumnya mereka tahu yang Che Mid kini mempunyai kumpulan marhaban sendiri dan bergerak aktif. Tentunya lebih panjang langkah dan panjang 'akal' dibandingkan dengan mereka yang kini rata-rata uzur. Kami pelbagaikan cara persembahan, atas pentas, dalam dewan atau dalam surau mengikut tema majlis dan kehendak semasa. Belajar lagu baru dari internet, berbincang dalam grup whatsapp dan telegram, dan sibuk bertukar busana dan fesyen. 

Dan mereka tetap seperti dulu.. sampai bila dapat bertahan? Allah jua yang tahu. Ahli akan berkurangan apabila ada yang pulang menemui Ilahi. Mata yang kabur juga menyukarkan mereka mencari mukasurat yang betul, suara orang lama, kadang-kadang kedengaran atau kadang-kadang perlahan. Jauh sekali dari bersedondon baju baru. Tetapi pada Che Mid, mereka ini sangat istimewa.. tidak mengeluh atau mencari alasan umur dan kudrat untuk tidak 'keluar' bersosial melalui marhaban. Masyaallah tabarakallah. Che Mid berazam akan terus membawa legasi mereka ini jauh lagi ke hadapan selama yang boleh. Insyaallah. 


Persembahan kami hari ini - pakaian baru lagi. Generasi baru meneruskan tradisi. Doakan kami istiqomah ya.. 

Tuesday 2 February 2016

Anak yang Hilang

Bismillahirromanirrohim

Kecoh viral tentang budak hilang..



 



Mereka tinggal setaman dengan Che Mid tapi macam tak kenal je. Macam-macam versi yang kami dengar dan grup whatsapp juga riuh rendah bercerita. Katanya, budak ni dan kawan-kawan sama-sama-sama turun bas dari sekolah selepas ada k kurikulum di sekolah. Tetapi anak-anak lain sampai di rumah, tapi Nashrul tak juga nampak bayang walaupun dah masuk waktu Isya'.

Kami jiran-jiran muslimat ambil inisiatif untuk menziarah keluarga budak lelaki yang dikatakan hilang. Mungkin tak banyak yang dapat kami bantu, sekadar berkenalan dengan tuan rumah dan mendengar cerita sebenar pun jadilah.
 
Tetapi dari perbualan dengan ibu angkat Nasrul, Che Mid  kasihan dengan keluarganya tapi sangat-sangat kasihan dengan Nashrul, anak berusia masuk 15 tahun ini. Terlalu banyak yang dia lalui sehingga 'berani' menghilangkan diri. Teruskan membaca. Maaf jika ada yang tersinggung.. bacalah dengan hati terbuka.
Menurut ibu angkatnya,  Nasrul seorang anak yang baik, dengar cakap dan tidak membantah bila ditegur atau dimarahi. Paling-paling pun masuk bilik dan kunci pintu.

Nasrul diambil sebagai anak angkat dengan ibubapa angkat yang kedua semasa berusia 13 tahun. Ketika itu Nasrul lari dari rumah keluarga angkat pertama dan hidup bersendirian. Bermalam di surau dan mencari sesuap nasi dengan bekerja mencuci tandas Kafe Siber. Kemudian Nasrul berkawan dengan seorang budak yang tinggal dengan neneknya. Nenek itu pula tidak sanggup untuk membela Nasrul kerana dia juga dalam kesusahan.

Kasihan melihat keadaan Nasrul yang tidak terurus, ibu angkatnya bersetuju menerima Nasrul dan merujuk kepada JKM untuk dokumentasi. Di JKM mereka bertemu dengan bapa angkat pertama Nasrul yang sedang mencari di mana Nasrul berada. Nasrul memilih untuk tinggal dengan Puan Fadzilah sejak itu.

Masuk tingkatan dua, Nasrul disekolahkan di sekolah Tahfiz di Perak. Namun Nasrul tak boleh 'bawa diri di sana. Terasa dikongkong dan disiplin sekolah yang ketat serta sukar menghafaz membuatkan Nasrul meminta untuk keluar dari situ tapi dihalang oleh Pn Fadzilah yang memujuknya untuk bersabar dan terus mencuba. Tidak sampai tiga bulan di sana, Nasrul melarikan diri dengan seorang lagi penuntut. Dari Perak mereka menaiki teksi, bas dan lrt ke Klang. Kecoh ustaz dan ibu bapanya mencari Nasrul tapi nasib baik Nasrul pulang ke rumah.

Sepanjang tahun tersebut, Nasrul tidak bersekolah di mana-mana. Bermula tahun ini, Nasrul disekolahkan ke tingkatan 3 pula. Pun mengadu tidak boleh belajar, namun ibu bapanya tetap mahu Nasrul fokus dan ambil peperiksaan tahun ini. Nasrul mudah mendapat kawan dan disenangi ramai. Mengaji al Quran pun rajin cuma tidak selancar anak-anak sebayanya (dikhabarkan anak ini 'slow learner' atau lembam).

Petang Rabu lepas (20/1/2016) Nasrul bersekolah seperti biasa tapi tidak pulang ke rumah. Laporan polis dibuat pada malam itu juga dan pihak JKM juga telah diberitahu. Mengikut perjanjian dengan JKM, dalam tempoh 3 tahun, Nasrul boleh dipulangkan semula kepada JKM jika timbul masalah. Dan ibubapanya bercadang akan bertindak sedemikian sekiranya Nashrul balik nanti kerana khuatir akan berlaku lagi peristiwa buruk.

27 Januari 2016 - Dapat berita yang Nashrul telah dijumpai. Sihat dan selamat. Nashrul berada di rumah nenek dan kawannya yang diceritakan di atas. Seminggu hilang, rupanya Nashrul ada di sana. Dengan keluarga miskin. Kenapa? Hanya Nashrul dan Allah juga yang tahu. Sanggup meninggalkan kehidupan 'normal' dan kembali ke jalanan. 

Khabarnya juga Nashrul akan diserah semula kepada JKM, di bawa ke mahkamah yang akan memerintahkan Nashrul di hantar ke Pusat Pemulihan. Tentunya peraturan lebih ketat dan pastinya tanpa 'kasih sayang' ibu bapa angkat.

Kes Nashrul ini cuma satu kes dari ribuan kes JKM, jutaan kes anak tanpa ibu ayah kandung samada tidak sah taraf atau anak yatim. Bila cuma menyelami hati anak-anak ini, memang sedih sangat. Nashrul tak mahu belajar kerana dia tak mampu mengikuti silibus pelajar sebayanya. Apatah lagi tertinggal setahun pelajaran, dan dia juga agak lambat menerima pelajaran. Mungkin Nashrul menganggap ibubapa angkatnya tidak memahami dan menyelami jiwanya dan akhirnya Nashrul membuat keputusan melarikan diri sekali lagi. Dia mahu hidup sendiri, bekerja dan hidup sebumbung dengan orang yang 'ngam' dengan jiwanya. Bukan kerana tidak sayangkan ibubapa angkatnya, tetapi mungkin 'alam' luar lebih 'menerima' keadaannya seadanya. 

Bagi Che Mid dan beberapa rakan, kami bersetuju dengan pendapat bahawa; ia benar, bukan mudah dan sebenarnya amat mencabar diri apabila memelihara anak angkat yang tidak pasti asal usulnya. Anak itu sudah sedia ada mempunyai tekanan perasaan mungkin dari lahir apabila tidak tahu siapa ibu bapa kandung atau diabaikan mereka. Tinggal pula dengan jabatan yang bukannya institusi keluarga sebenar. Jadi pada ibubapa yang sanggup mengambil anak-anak ini, perlu mempunyai kesabaran, empathi dan masa serta ruang yang banyak untuk anak-anak ini. Pengorbanan amat besar diperlukan dan ketahanan mental serta fizikal juga penting. Che Mid tabik hormat 200 persen pada orang awam yang sanggup bersusah payah memelihara anak-anak ini umpama anak sendiri. Hanya Allah sahaja yang boleh membalas jasa ibubapa angkat ini.

Salah seorang sahabat Che Mid, pernah menyaksikan seorang anak tak sah taraf yang sangat 'degil' semasa kecil. Kuat melawan, suka mencuri. ponteng sekolah dll. Tetapi ibu angkatnya seorang yang sabar dan sanggup melayan karenahnya tanpa sesekali 'menyingkirkannya'. Hari ini anak sudah dewasa dan menjadi 'orang'. 

Satu lagi, sebagai orang yang dewasa, wajib percaya bahawa bahawa rezeki itu datang dari Allah swt, bukannya PT3 atau SPM atau universiti. Kejayaan masa depan datang dari banyak sumber yang mungkin kita tidak terfikir pun. Dan setiap anak-anak kan Allah dah janjikan rezeki masing-masing..


   
Akhir kata, pada Nashrul, jika adik membaca posting ini, Nashrul kena tahu bahawa di luar sana ramai orang yang sayangkan Nashrul. Jangan sesekali anggap semua orang tak suka atau benci Nashrul ya. Nashrul nak cari ibu kandung ya... carilah.. tapi kalau tak jumpa jangan benci diri sendiri ya. Walau di mana dan dengan siapa Nashrul berada, ingat bahawa Allah sentiasa dekat dengan kita. Satu hari nanti Nashrul akan jadi orang besar dan dewasa, bukan budak-budak kecik lagi. Jadilah manusia yang berguna pada manusia lain dan hamba yang taat pada Pencipta. Setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmah tersembunyi dari Allah. Satu hari nanti Nashrul akan tau..
 
Gambar - Jiran dan rakan yang berziarah, masa sampai kami memang tak ceria.. saspen ada sedih pun ada. Tapi bila melihat tuan rumah tabah dan tenang, kami mampu tersenyum. Allah tahu hambanya yang mana yang tahan ujianNya.