Yahanana Events

Ini Iklan YAHANANA EVENTS - Sila ke bawah lagi untuk entri terbaru!!


Adakah anda sedang mencari pengacara yang boleh berselawat dan berqasidah
untuk majlis korporat atau persendirian seperti walimatul urus, cukur jambul,
perasmian atau pelancaran produk?

Atau anda sedang mencari Pengurus Acara Islamik untuk membantu anda
mengadakan acara sambutan hari kebesaran Islam seperti Sambutan Maulidurrasul, al-Maulid dsb?

Yahanana Events sedia berkhidmat dengan menyediakan pengacara, sistem PA,
kumpulan nasyid, marhaban, qasidah, penceramah, kompang dan
lain-lain yang anda mahukan.

Hubungi Che Mid di hmj_66@yahoo.com atau 013-3672459
dan layari facebook.com/Yahanana Events untuk info menarik!!
Showing posts with label Persoalan. Show all posts
Showing posts with label Persoalan. Show all posts

Tuesday, 7 June 2016

Pusingan ke 7 - RM10 jee, Bingkisan Ramadhan Sik, Kedah - Bahagian Satu

Assalamualaikum wbt sahabat-sahabat yang di kasihi sekalian. Selamat berpuasa dan menjalani ibadah-ibadah lain yang tentu mendapat ganjaran berkali-kali ganda di bulan mulia ini. 

Che Mid memilih untuk ke Sik bagi pusingan kali ke 7, setelah membaca berita tentang para penoreh getah di sana yang tiada kecukupan pendapatan. Harga getah merudum tanpa pembelaan kerajaan, musim panas kering menyebabkan susu getah berkurangan sangt, diikuti dengan musim hujan yang menyebabkan penoreh tidak boleh keluar menoreh. 

Tapi sebelum kempen kutipan diumumkan, Che Mid kena pastikan ada pihak di Sik yang boleh membantu mencari penerima di sana. Setelah beberapa cubaan, akhirnya Che Mid dapat menghubungi seorang tuan punya chalet, iaitu Cikgu Basirun dari Seri Ternas Lake Resort. 

"Cikgu, saya berhajat untuk buat tempahan di chalet cikgu, tapi saya ada satu permintaan. Boleh tak cikgu tolong carikan beberapa orang asnaf untuk menerima sumbangan yang akan kita sediakan dan kita akan adakan majlis penyampaian di chalet cikgu." Jawapannya ialah, " Boleh sangat puan. Di hadapan saya sekarang ini pun ada seorang asnaf."

Allahukabar! Hati tiba-tiba jadi sebak dan terharu. Dengan sekali "call" orang yang Che Mid tak pernah jumpa dan kenal, terus sahaja bersetuju membantu. 

Kami terus mengorak langkah. Komitmen dari beberapa rakan dijadikan semangat untuk kami bersungguh-sungguh menjadikan program ini suatu realiti. Dari RM0 ke sekurang-kurangnya RM5000 untuk kita sunbangkan barangan bernilai RM50 setiap satu keluarga menjadikan 100 keluarga asnaf. 

Bincang-bincang dengan kawan-kawan satu kepala he he. Semua nak ikut ke Sik, tapi apa kan daya.. 


Ini poster nya. Kami war-warkan di fb dan grup whatsapp bermula dari 1 Mei 2016. 

Kurang dari 2 minggu, kami telah mencapai sasaran RM5000 ringgit untuk kami tempah barangan. Tetapi semasa Che Mid hubungi satu kedai pasaraya di Sik untuk membuat tempahan, jumlah kutipan sudahpun menceah RM7000. Jadi kami tempah beras 10 kg, gula 2 kg, minyak masak 5 kg, mihun 2 peket kecil, pulut 1 kg, susu lemak manis 2 tin kecil dan teh uncang saiz sederhana. Jumlah kesemuanya 6 ribu lebih. Mohon hantar ke Seri Ternas Lake Resort dan kami akan bungkus sendiri bila kami sampai sana nanti. 

Bila di tanya, macamana nak bayar deposit, Kak Long, pengurus kedai kata, " Tak pe, boleh bayar masa sampai nanti." Ya Allah, sekali lagi Allah mudahkan. Percaturan Allah itu sangat baik kan. Bagaimana Kak Long boleh percaya Che Mid yang dia tak kenal langsung.. Allahuakbar!

Dan, barangan itu sebenarnya dihantar ke chalet sehari sebelum kami sampai. Maknanya, barang dah hantar, duit satu sen tak bayar lagi... masyaallah!

Kami juga menempah kek mentega dari kawan-kawan yang pandai buat kek untuk dimasukkan sekali dalam pek sumbangan. Sekurang-kurangnya, bila mereka buka di rumah nanti, adalah sesuatu yang boleh terus dimakan. 

Team kami ke Sik - pada mulanya, kami akan pergi dengan 3 kereta sahaja. Adik Che Mid yang memang bersuamikan orang sana, Che Mid dan keluarga dan kawan-kawan setaman (all ladies tau). Tapi bila adik-adik Che Mid tau kami nak ke sana, masing-masing nak ikut. Kecoh dan meriah jadinya. Tak sangka betul team kami akan jadi banyak kereta, apa pun alhamdulillah sangat. itu tandanya perjalanan kami direstui dan disokong kan.. 

28/5/2016 - Jam 6.30 kami berkumpul dan gerak. Lima buah kereta kesemuanya. NOTA tangan : Semua perbelanjaan perjalanan, penginapan dan makan minum adalah TANGGUNGAN kami sendiri, bukan dari wang sumbangan. Sekian. 



Antara kek yang dibuat oleh sahabat yang baik hati. Ada yang bagi percuma sahaja. Beria-ia Che Mid tanya harga tapi jawapannya, " Tak apa Che Mid, saya sedekah." Begitulah bila hati-hati dilimpahi bau syurga.. 


 Nenas yankee ni saja kami bawa dari Meru, bakal jadi hidangan tambahan semasa majlis jamuan nanti. 

Kotak-kotak kek dah bersusun di boot kereta. 

Srikandi TDB menyelusuri Sik membawa amanah penyumbang. Terima kasih kepada para suami yang memberi restu dan izin. 

"Di hati kecil sering diganggu dengan perasaan takut dan cuak, takut berlaku apa-apa diperjalanan. Takut perkara buruk berlaku sepanjang misi kami yang akhirnya diri ini yang akan dipersalah dan dipertanggungjawabkan. Tapi kubuang jauh perasaan itu. Allah jua tempat ku bergantung dan bersangka baik". 


Ini Nana dan Nor. Adik-adikku yang bersemangat waja. Anak-anak Nana dan mandi seawal jam 5 lebih untuk sama-sama gerak dengan kami.  

Nazmi, adik Che Mid yang ke 6, ditugaskan untuk memandu kereta Che Mid walaupun tak tidur semalaman. Che Mid nak bawa, tak bagi pulak.. boleh lagi katanya.. sabo je la. Suami Che Mid tak dapat ikut sebab terpaksa memantau rumah kami yang sedang dibaik pulih. Sedih gak..

Berhenti di RnR Rawang untuk sarapan, kami meneruskan perjalanan melalui lebuhraya hingga ke simpang keluar Kuala Kangsar/ Grik. 

Sebabnya? Tak lain tak bukan nak pekena ikan bakar Tasik Raban le. Che Mid dan keluarga dah pernah datang sini dulu, tapi kawan-kawan Che Mid tak pernah sampai. Ini lah peluang merasa ikan bakar tasik yang sedap dan tak hanyir. 


Ikan talapia bakar ni RM42 seekor. Besar tau..

Harga RM66 ringgit seekor? Mahalnya... makan ramai-ramai ok kut. Sekali sekala kan. Ini ikan tangalan memang mahal. Isi ikan ni bertulang besar-besar.. sedap oooo... 

I mean, my kawan-kawan sanggup ikut kita pergi jauh-jauh dengan perbelanjaan sendiri,  kenalah "reward" sikit kan. Belanja ikan bakaq spesel camni, sampai bila-bila takkan lupa. Kan Zihan, Ruzzi, Zuraidah, Cik Hasnah..  hi hi.. 

Ikan-ikan bakaq tu dah siap bakar dan bubuh harga. Kita pilih mana kita suka dan pekerja tu akan panaskan semula sekejap. 

Pilih je nak ikan bakaq ka, goreng ka.. gulai ka.. 

Makan time!! Bismillah.. 

Nampak tak masak lemak labu kuning tu,, fuhh..kecoq ayaq liuq ha ha!

Ulam-ulaman dan sambal-sambalan pun aduhaiiiii!

Celur-celuran pun banyak. Pilih je la Nora. Zihan.. 

Ok selesai  kisah makan tengahari. Kami teruskan perjalanan melalui Grik ke Sik. Berhenti di masjid di bandar Grik untuk solat jamak. 

Meneruskan perjalanan dari lebuhraya ke jalan kampung sambil menikmati pemandangan indah di kiri kanan jalan. Terasa segar udaranya.. 

Berbalam-balam banjaran Titiwangsa


Setibanya di Pekan Sik, kami terus ke Pasar Mini Anak Yatim. Berjumpa dengan Kak Long untuk membayar barangan sumbangan. Pasar Mini ini adalah kepunyaan Rumah Anak Yatim Gemilang. Bagus betulkan pihak pengurusan rumah ini yang berjaya mengadakan sumber pendapatan sendiri untuk rumah tersebut. 
Suasana di luar kedai. 


Kami bergambar ramai-ramai sebelum bergerak ke Seri Ternas Lake Resort pula. Terima kasih Kak Long atas kepercayaan pada kami. Semoga Allah terus memajukan bisnes ini dan memberkati pekerja-pekerja juga anak-anak Rumah Gemilang ini. 

Ok, sampai di sini dulu. Che Mid nak solat Dhuha dan beli lauk mentah untuk berbuka nanti. Lepas tu sambung lagi na... 





Tuesday, 2 February 2016

Anak yang Hilang

Bismillahirromanirrohim

Kecoh viral tentang budak hilang..



 



Mereka tinggal setaman dengan Che Mid tapi macam tak kenal je. Macam-macam versi yang kami dengar dan grup whatsapp juga riuh rendah bercerita. Katanya, budak ni dan kawan-kawan sama-sama-sama turun bas dari sekolah selepas ada k kurikulum di sekolah. Tetapi anak-anak lain sampai di rumah, tapi Nashrul tak juga nampak bayang walaupun dah masuk waktu Isya'.

Kami jiran-jiran muslimat ambil inisiatif untuk menziarah keluarga budak lelaki yang dikatakan hilang. Mungkin tak banyak yang dapat kami bantu, sekadar berkenalan dengan tuan rumah dan mendengar cerita sebenar pun jadilah.
 
Tetapi dari perbualan dengan ibu angkat Nasrul, Che Mid  kasihan dengan keluarganya tapi sangat-sangat kasihan dengan Nashrul, anak berusia masuk 15 tahun ini. Terlalu banyak yang dia lalui sehingga 'berani' menghilangkan diri. Teruskan membaca. Maaf jika ada yang tersinggung.. bacalah dengan hati terbuka.
Menurut ibu angkatnya,  Nasrul seorang anak yang baik, dengar cakap dan tidak membantah bila ditegur atau dimarahi. Paling-paling pun masuk bilik dan kunci pintu.

Nasrul diambil sebagai anak angkat dengan ibubapa angkat yang kedua semasa berusia 13 tahun. Ketika itu Nasrul lari dari rumah keluarga angkat pertama dan hidup bersendirian. Bermalam di surau dan mencari sesuap nasi dengan bekerja mencuci tandas Kafe Siber. Kemudian Nasrul berkawan dengan seorang budak yang tinggal dengan neneknya. Nenek itu pula tidak sanggup untuk membela Nasrul kerana dia juga dalam kesusahan.

Kasihan melihat keadaan Nasrul yang tidak terurus, ibu angkatnya bersetuju menerima Nasrul dan merujuk kepada JKM untuk dokumentasi. Di JKM mereka bertemu dengan bapa angkat pertama Nasrul yang sedang mencari di mana Nasrul berada. Nasrul memilih untuk tinggal dengan Puan Fadzilah sejak itu.

Masuk tingkatan dua, Nasrul disekolahkan di sekolah Tahfiz di Perak. Namun Nasrul tak boleh 'bawa diri di sana. Terasa dikongkong dan disiplin sekolah yang ketat serta sukar menghafaz membuatkan Nasrul meminta untuk keluar dari situ tapi dihalang oleh Pn Fadzilah yang memujuknya untuk bersabar dan terus mencuba. Tidak sampai tiga bulan di sana, Nasrul melarikan diri dengan seorang lagi penuntut. Dari Perak mereka menaiki teksi, bas dan lrt ke Klang. Kecoh ustaz dan ibu bapanya mencari Nasrul tapi nasib baik Nasrul pulang ke rumah.

Sepanjang tahun tersebut, Nasrul tidak bersekolah di mana-mana. Bermula tahun ini, Nasrul disekolahkan ke tingkatan 3 pula. Pun mengadu tidak boleh belajar, namun ibu bapanya tetap mahu Nasrul fokus dan ambil peperiksaan tahun ini. Nasrul mudah mendapat kawan dan disenangi ramai. Mengaji al Quran pun rajin cuma tidak selancar anak-anak sebayanya (dikhabarkan anak ini 'slow learner' atau lembam).

Petang Rabu lepas (20/1/2016) Nasrul bersekolah seperti biasa tapi tidak pulang ke rumah. Laporan polis dibuat pada malam itu juga dan pihak JKM juga telah diberitahu. Mengikut perjanjian dengan JKM, dalam tempoh 3 tahun, Nasrul boleh dipulangkan semula kepada JKM jika timbul masalah. Dan ibubapanya bercadang akan bertindak sedemikian sekiranya Nashrul balik nanti kerana khuatir akan berlaku lagi peristiwa buruk.

27 Januari 2016 - Dapat berita yang Nashrul telah dijumpai. Sihat dan selamat. Nashrul berada di rumah nenek dan kawannya yang diceritakan di atas. Seminggu hilang, rupanya Nashrul ada di sana. Dengan keluarga miskin. Kenapa? Hanya Nashrul dan Allah juga yang tahu. Sanggup meninggalkan kehidupan 'normal' dan kembali ke jalanan. 

Khabarnya juga Nashrul akan diserah semula kepada JKM, di bawa ke mahkamah yang akan memerintahkan Nashrul di hantar ke Pusat Pemulihan. Tentunya peraturan lebih ketat dan pastinya tanpa 'kasih sayang' ibu bapa angkat.

Kes Nashrul ini cuma satu kes dari ribuan kes JKM, jutaan kes anak tanpa ibu ayah kandung samada tidak sah taraf atau anak yatim. Bila cuma menyelami hati anak-anak ini, memang sedih sangat. Nashrul tak mahu belajar kerana dia tak mampu mengikuti silibus pelajar sebayanya. Apatah lagi tertinggal setahun pelajaran, dan dia juga agak lambat menerima pelajaran. Mungkin Nashrul menganggap ibubapa angkatnya tidak memahami dan menyelami jiwanya dan akhirnya Nashrul membuat keputusan melarikan diri sekali lagi. Dia mahu hidup sendiri, bekerja dan hidup sebumbung dengan orang yang 'ngam' dengan jiwanya. Bukan kerana tidak sayangkan ibubapa angkatnya, tetapi mungkin 'alam' luar lebih 'menerima' keadaannya seadanya. 

Bagi Che Mid dan beberapa rakan, kami bersetuju dengan pendapat bahawa; ia benar, bukan mudah dan sebenarnya amat mencabar diri apabila memelihara anak angkat yang tidak pasti asal usulnya. Anak itu sudah sedia ada mempunyai tekanan perasaan mungkin dari lahir apabila tidak tahu siapa ibu bapa kandung atau diabaikan mereka. Tinggal pula dengan jabatan yang bukannya institusi keluarga sebenar. Jadi pada ibubapa yang sanggup mengambil anak-anak ini, perlu mempunyai kesabaran, empathi dan masa serta ruang yang banyak untuk anak-anak ini. Pengorbanan amat besar diperlukan dan ketahanan mental serta fizikal juga penting. Che Mid tabik hormat 200 persen pada orang awam yang sanggup bersusah payah memelihara anak-anak ini umpama anak sendiri. Hanya Allah sahaja yang boleh membalas jasa ibubapa angkat ini.

Salah seorang sahabat Che Mid, pernah menyaksikan seorang anak tak sah taraf yang sangat 'degil' semasa kecil. Kuat melawan, suka mencuri. ponteng sekolah dll. Tetapi ibu angkatnya seorang yang sabar dan sanggup melayan karenahnya tanpa sesekali 'menyingkirkannya'. Hari ini anak sudah dewasa dan menjadi 'orang'. 

Satu lagi, sebagai orang yang dewasa, wajib percaya bahawa bahawa rezeki itu datang dari Allah swt, bukannya PT3 atau SPM atau universiti. Kejayaan masa depan datang dari banyak sumber yang mungkin kita tidak terfikir pun. Dan setiap anak-anak kan Allah dah janjikan rezeki masing-masing..


   
Akhir kata, pada Nashrul, jika adik membaca posting ini, Nashrul kena tahu bahawa di luar sana ramai orang yang sayangkan Nashrul. Jangan sesekali anggap semua orang tak suka atau benci Nashrul ya. Nashrul nak cari ibu kandung ya... carilah.. tapi kalau tak jumpa jangan benci diri sendiri ya. Walau di mana dan dengan siapa Nashrul berada, ingat bahawa Allah sentiasa dekat dengan kita. Satu hari nanti Nashrul akan jadi orang besar dan dewasa, bukan budak-budak kecik lagi. Jadilah manusia yang berguna pada manusia lain dan hamba yang taat pada Pencipta. Setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmah tersembunyi dari Allah. Satu hari nanti Nashrul akan tau..
 
Gambar - Jiran dan rakan yang berziarah, masa sampai kami memang tak ceria.. saspen ada sedih pun ada. Tapi bila melihat tuan rumah tabah dan tenang, kami mampu tersenyum. Allah tahu hambanya yang mana yang tahan ujianNya.


Thursday, 14 January 2016

RM10 jeee... Round 3

Assalamualaikum wbrk

Sumbangan untuk anak-anak yatim diteruskan lagi bulan ini. Kali ini Che Mid dan kawan-kawan tak ke mana-mana rumah anak yatim, tetapi memilih untuk menziarah dan menyumbang serba sedikit kepada anak yatim dan kurang berkemampuan di taman kami sendiri, Taman Dato Bandar. 



Ini adalah Puan Najat dan dua dari empat orang anaknya. Anaknya berusia antara 17 hingga 10 tahun. Suami meninggal 5 tahun lalu. Puan Najat berniaga kuih muih dan pisang goreng di tepi surau taman kami dari pukul 3 - 6 petang hampir setiap hari. Sewaktu kami datang ke rumah, beliau nampak keletihan sebab baru je balik berniaga.

Beliau mengambil bantuan kewangan menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang dibayar ansuran secara mingguan. Selain dari berjual kuih, Puan Najat mendapat pencen dari Socso sebanyak RM700 yang digunakan untuk perbelanjaan sekolah anak-anak. Pihak Zakat juga memberi bantuan sebanyak dua kali setahun iaitu sempena hari raya dan buka sekolah.



Seorang yang sangat tabah dan kuat semangat, Puan Najat sering mengucapkan Alhamdulillah.. cukuplah untuk anak-anak makan. Adik beradiknya juga membantu sedikit sebanyak. Ada yang membantu membaiki rumah jika ada yang rosak, malah kereta MyVinya juga abang-abangnya yang tolong menjelaskan ansuran bulanan. 



"Sesusah-susah saya, ada lagi yang lebih susah," Katanya merendah diri. "Cuma bila musim hujan, hasil jualan berkurangan, tetapi hutang AIM tetap kena bayar. Masa tu memang kami terpaksa ikat perut. . Tapi takpe lah..kami dah biasa."  

Begitulah jiwa orang susah yang beriman. Meminta-minta jauh sekali. Namun, bila kami serahkan sampul sumbangan, tiba-tiba je beliau terdiam. Speechless. "Tak tau nak kata apa", katanya. Air mata terus bergenang seolah-olah menyatakan betapa beliau memerlukan bantuan dan betapa bersyukurnya pada Allah. Che Mid kata, " Allah makbulkan doa awak dengan mendorongkan hati kami untuk datang dan beri bantuan ni". 



Keluarga kedua yang kami ziarahi ialah Puan Yati. Beliau bukan ibu tunggal tetapi baru sahaja menjalani pembedahan yang kedua akibat kencing manis. Gambar di atas ialah semasa baru balik dari pembedahan yang pertama. Waktu itu, kami dah pun sumbangkan sedikit wang tunai dan susu khas untuk pesakit kencing manis kerana keadaan Yati yang sangat lemah dan tak berdaya. 

Suaminya pula yang baru sahaja bekerja di tempat baru,  tak dapat keluar selalu menghantar Yati mencuci luka pembedahan. Ini jugalah antara faktor yang menyebabkan Yati lambat dibawa ke hospital sehingga luka dikakinya bernanah dan akhirnya terpaksa dipotong 2 jari kaki. 

Untuk 'dressing' setiap hati ke klinik kesihatan, suami Yati akan menghantarnya ke klinik dan kemudian ada sahabat yang baik hati akan mengambilnya pulang ke rumah. Yati dan suami malu untuk "menyusahkan" jiran-jiran tapi kami cuba yakinkan mereka bahawa kami sentiasa ada untuk membantu bila diperlukan.



Hanya airmata terharu menemani Yati ketika Ruzzi menyampaikan sumbangan bagi pihak penyumbang. (Gambat tak jelas.. kami kelam kabut nak balik sebab azan Maghrib dah berkumandang masa tu).  Sebelum kami datang, ada juga jiran lain yang berjumpa Yati menyampaikan zakat.. alhamdulillah. 


Keluarga ke tiga yang kami kunjungi ialah Puan Noraini. Seorang balu yang mempunyai dua orang anak berusia 16 dan 13 tahun. Kak Ani menyara anak-anak dengan menjual kuih dan mengasuh anak kecil seramai 3 orang. Semasa kami datang, kak Ani tak berapa sihat, Berjalan terdengkot-dengkot. Memang kak Ani selalu saja sakit-sakit tapi terpaksa digagahi juga demi anak-anak. 


Kak Ani menerima sumbangan dari wakil kami. Setiap kali mengunjungi kak Ani, ada saja yang diceritakan tentang kesusahan keluarganya. Harap kak Ani terus bersabar atas ujian Allah ini ya. Memang sukar bergelar ibu tunggal kematian suami, memang payah membesarkan anak-anak remaja, dengan kudrat tubuh pula semakin lemah. Kak Ani kena kuat dan pandang ke depan. Allah ada kan..


Nadia (berbaju hitam) bersama-sama kawan-kawan ibu yang juga jiran setaman. 

Rumah terakhir yang kami ziarah ialah Puan Nadia, balu anak dua berusia 7 dan 5 tahun. Ibu muda ini bekerja dari rumah secara atas talian. Mereka bertuah kerana tinggal bersama ibu bapa sejak arwah suami masih ada. Sentiasa dikelilingi oleh ibu bapa dan adik beradik, Nadia dan anak-anak tidak kesunyian dan masalah yang dihadapi boleh dikongsi bersama. Kami doakan Akif dan Khalisha membesar sebagai anak soleh sepertimana anak-anak lain.


Dua tahun hidup sendirian, sempat kami mengusik Nadia supaya berkahwin semula jika ada yang melamar. Maklumlah Nadia masih muda, dan tentunya anak-anak perlukan perhatian dan kasih sayang seorang bapa. Jelas dari raut wajah Nadia yang dia masih terlalu merindui arwah suami, namun hidup mesti diteruskan. Pandang ke hadapan, sinar bahagia pasti ada menanti. 

Itu dia, ziarah kami bulan ini. Setinggi penghargaan kepada SEMUA yang menyumbang. Walaupun dah masuk bulan ke tiga, tapi rakan-rakan masih setia menghulur. 

Sebenarnya Che Mid dah agak kutipan bulan ini akan berkurangan, kerana masing-masing sibuk dengan pembiayaan persekolahan anak-anak. Tetapi ada sampul surat yang Che Mid buka, mengandungi beberapa keping wang kertas RM50... masyaallah tabarakallah, menggigil tangan Che Mid tapi mulut tak henti mengucap syukur. Tak pasti siapa yang menyumbang sebab semua sumbangan dikumpul dulu baru dikira. Kepercayaan beliau pada Che Mid membuat Che Mid sangat terharu. Terima kasih banyak-banyak. Kita sama-sama istiqomah ya..

Friday, 6 November 2015

RM10 je...Wah Banyaknyaaa..

Assalamualaikum semua..salam Jumaat yang penuh barokah ini. Mari banyakkan doa dan selawat ke atas Nabi Muhammd saw. Allahumma solli a'la Muhammad! Sollu 'alaih.

Ish tak sabar nak cite ni..

Mulanya macam ni.. Che Mid terasa nak sedekah barang  sikit pada rumah anak yatim. Tanda kesyukuran sebab suami dapat kerja baru yang berdekatan dengan rumah. Bukan banyak pun, setakat sekampit dua beras je. Pastu tergerak hati nak ajak kawan-kawan. Che Mid kata RM10 je pun takpe. Kalau 10 orang dan RM100, kalau 20 orang dah RM200. Paling-paling pun dapat RM300 - RM400 pun Alhamdulillah sangat. Boleh lah tambah gula, tepung dan susu. 

Bila dah ada duit ditangan, eh macam mana nak belanja ni. Berapa portion nak beli? Panik kejap.. Cuba tanya biras tercinta yang memang dah buat projek macam ni. Borak lebih kurang. Antara tipsnya ialah:-

1) Hubungi pengurus/penjaga dan tanya status penghuni - bilangan, jantina dan umur dll.
2) Seboleh-bolehnya beri barangan, jangan wang tunai 
3) Belikan makanan yang jarang mereka makan di hari-hari biasa
4) Belilah barangan yang baik 

Telefon Ustaz Zubir, pengurus rumah anak-anak yatim. Ustaz kata, " Anak-anak ada 35 orang umur antara 4-12 tahun. (Che Mid dengar ada anak umur 4 tahun..dah sebak kat dada ni). Kami perlu banyak sabun basuh sebab kami ada 6 buah mesin basuh. Tapi kalau boleh jangan beli sabun yang murah sangat ya, cuci tak bersih la. Kalau puan nak beli sardin, kalau boleh beli Adabi ke atau Pertima, murah sikit tapi yang penting halal. Anak-anak minum Milo dengan susu, dua kali sehari ya puan."

Lembut je suara Ustaz Zubir. Terasa ketulusan menjaga hal ehwal anak-anak yatim dan miskin. Mungkin ada orang sebelum ini yang beri bantuan dengan barangan yang terlalu murah tapi tak sesuai dengan kualiti atau status halalnya diragui. 

SHOPPING time.. Ibu pilih barang, Farhan tolak troli, Farah tukang kira.. alahai rasa nak borong satu kedai.

Tengok ada seorang ibu muda beli jenama ini. Kita pun pilih ini juga. Ustaz kata nak banyak..kami beli 2 carton x 8 paket 4 kg = RM128.90

4 paket besar Milo RM31.50 = RM 127.40


Susu Gold Coin satu carton RM104.90

Sabun mandi, pencuci pinggan dan clorox

Terfikir untuk buat spesel sikit. Selain dari barangan asas, kita siapkan set sarapan dan minum petang. Maknanya bila orang yang nak memasak tu, tengok barang kami ni dah boleh masak terus.  Jadi ada bahan nasi impit dan kuah kacang, bahan untuk bubur kacang dan nasi lemak. Santan pun kami beli satu carton, saiz besar RM93.80. Selain dari tu, ada gula, ikan bilis, cili kering, bawang merah, bawang putih, kentang dan rempah-rempah. 

Telur beli banyak-banyak pun takpe. Budak-budak suka makan telur, tahan lama pulak tu.


Tengah pilih ikan bilis.


Dah masuk dalam kereta. Tolak kerusi ke dalam, ada banyak ruang. Masa ni telur, kicap dan tepung tak beli lagi. Farah dah tersalah kira kut..congak-congak masa pilih barang dalam RM650 je, jadi ada baki untuk beli barang basah dan kudapan..tapi bila kira di kaunter rupanya dah mencecah RM760. Oops..!! 
Tak dapat le kami beli seperti yang dirancang. Tak apa lah..Jumlah kesemua pembelian ialah RM831.80 selepas ditambah beberapa item lagi. 

Che Mid hubungi semula Ustaz dan janji akan ke sana selepas Asar. Bila minta alamat, rasa macam pelik je. Rupanya tempat ustaz ni lain dari yang Che Mid nak pegi.  Cadangnya nak ke rumah yang dekat dengan taman kami je. Rupanya Che Mid dah silap 'save' nama dengan nombor telefon. Tidak mengapalah..Allah Maha tahu. 


Memang rezeki anak-anak Nur Kasih ni. Boleh hubungi Ustaz Zubir di 013-2749579. Nama lama rumah ini ialah Rumah Hembusan Kasturi dan nama baru ini dibuat di bawah ROS.


Dah sampai. Bila Ustaz Zubir nampak je barangan tu. Dia kata, " Banyaknyaaa.."

Tu la kan, kita cuma minta RM10 je dari kawan-kawan, ada juga yang beri lebih..orang kata tutup sebelah mata je. Kalau pi KFC, satu snack plate je dah lebih RM10 kan. Tapi bila dengar mulut ustaz tu kata, " Banyaknyaaaa..' Allahukbar.. yang sikit kita bagi tu, sangat besar kesannya pada ustaz tu. 


Ini barangan berjumlah RM800 lebih. Kalau ikutkan tak banyak mana pun..masa beli Milo dan susu, dalam hati kata," Mahalnya harga Milo dan susu ni. Ustaz tu kena beli untuk 35 orang minum, dua kali sehari..Allah..sebak.." Patutnya kerajaan kena bagi harga diskaun atau kupon percuma untuk anak-anak yatim dan miskin ni. Bukannya tambah dengan gst!!


Kiri sekali ialah Puan Mariam, isteri Ustaz Zubir. Dari tutur katanya, rasanya beliau ni orang yang bijak dan baik. Seorang penulis, (Ustaz seorang penerbit buku) tetapi sanggup sepenuh masa memelihara anak-anak kurang bernasib baik di rumah mereka sendiri. Tu tengah merujuk kepada senarai barangan. Tak payah le nak belek-belek beg satu persatu kan. Bila diterangkan tentang set minum petang yang kami siapkan, Puan Mariam kata, " Tu la, tadi macam nampak nasi impit je.." Alhamdulillah..suka dengar he he.. yang baju pink tu adik Nor, adik aka jiran yang ikut temankan.

Jom kita tengok belah dalam rumah Nur Kasih ni..

Bilik tidur anak-anak perempuan. Ruang tengah yang sangat luas.  (Kami tak pegi bilik anak-anak lelaki).  Masa ni lengang je sebab anak-anak ada yang belum balik sekolah petang. Ada juga yang baru lepas mengaji.


Sederet loker berdepan dengan katil. Belah hujung nuuu..bilik air yang besar. Ada bekas air besar..boleh mandi ramai-ramai rasanya.


Bilik belajar dan mengaji. Tak sempat edit..sebenarnya tak lah segelap itu. Belakang tu ada deretan sofa yang selesa.

Rak buku dan kitab


Ruang dapur yang terpisah antara dapur kering dan basah. 



Dapur lagi


Ruang tengah..tiada perabut. Untuk makan dan solat berjamaah.


Bahagian hadapan. Ada rumah kontena yang dijadikan pejabat dan tempat simpanan pakaian terpakai yang terlalu banyak. Pakaian tersebut dipilih untuk dijual secara 'bundle'.


Bahagian belakang rumah.


Di tingkat atas katil, ada dua orang anak-anak kecil terganggu tidurnya dek kehadiran kami.


Farah dan Khadeeja bergambar dengan anak-anak 

Yang bertudung hijau dan cokelat adalah anak kembar berusia 8 tahun. Penghidap dyslexia ini dilahirkan tanpa kemahuan ibu kandungnya. Mahu diserahkan kepada keluarga Cina di hospital, namun digagalkan oleh keluarga Melayu yang kebetulan ada dihospital. Mereka berdua dipelihara oleh orang tersebut tapi tak daya akhirnya disebabkan dyslexia. Berak kencing pun tak terjaga. 

Akhirnya diserahkan kepada rumah ini. Puan Mariam dan Ustaz Zubir mengambil alih tugas sebagai ibubapa. Merujuk ke hospital untuk rawatan dan JKM untuk pengesahan OKU. Sekarang sudah boleh mengurus diri dengan baik dan belajar di sekolah khas. Ketika musim cuti sekolah dan hujung minggu, ada ibu bapa angkat yang menjenguk atau mengambil pulang ke rumah. 

Ini baru satu kisah nyata di bumi Malaysia tercinta ini.

 Dari 35 orang anak-anak ini, cuma 10 orang anak yatim. Selebihnya anak-anak mangsa perceraian ( atau mungkin tidak sah taraf ). Ayah entah ke mana. Kalau ada pun sudah berkahwin lain, tak mau dah jaga atau beri nafkah. Si ibu pula, tiada pilihan untuk keluar mencari rezeki..tak mahu mengupah pengasuh, akhirnya anak diserahkan ke rumah ini. 

Ini juga kisah nyata di bumi Malaysia tercinta ini.


Puan Mariam di belakang..menyimpan sejuta rahsia dan cerita. Menyerah sepenuh harta dan jiwa untuk anak-anak ini. Solat hajat dan dhuha beliau dan suami serta tawakkal pada Allah swt, memohon rezeki untuk anak-anak ini entah dari mana datangnya. Menurutnya juga, " Sepatutnya ada orang dah janji nak datang bagi sumbangan barang dapur bulan ni, tapi tak datang-datang." Alih-alih kami yang datang bantu. Subhanallah..terkedu kami. Inilah sebab rupanya Allah "beri" alamat yang salah tadi. Rupanya Allah mahu kami bantu anak-anak rumah ini dahulu. 

Ini seorang lagi anak. Tentu ada juga cerita sedih disebalik keberadaannya di sini kan...hmmm..


Kami tinggalkan anak-anak menjelang senja yang gerimis. Anak-anak melambai, meruntun hati kami yang sentiasa menahan perasaan. Sebak dan sedih melihat anak-anak itu. Marah dan geram pada orangtua yang tidak bertanggungjawab pada darah daging sendiri. Kagum dan respek pada kesungguhan Ustaz Zubir dan Puan Mariam, yang mencari redha Allah melalui cara ini.

Kita??? Pada yang belum bermula, ayuh hulurkan tangan kurangkan beban. Pilihlah cara mana dan pada siapa yang kita suka dan selesa. Biar sedikit tapi istiqomah. 

Asalnya 10 ringgit je..pada yang menerima..Wahhh..banyaknyaaa!!