Assalamualaikum sahabat..
Kita teruskan coretan sambungan dari Gudang Garam Kopi O
Masuk 7 - 8 bulan usia kandungan, tiada doa selamat atau lenggang perut. Aku masih lagi ku hulu ke hilir antara rumah mak dan mak mertua. Hari biasa di rumah mertua, hujung minggu di rumah mak sendiri. Itu pun tak lah bersosial sangat, banyak habiskan masa di rumah. Suka bermain dengan Nana, adik yang bongsu yang masa tu berumur 5 tahun kut.
Setiap kali solat, aku mohon agar Allah permudahkan urusanku, beri aku anak lelaki yang comel, yang boleh jaga aku nanti. Dan aku dah pilih namanya. Muhammad Nur Farhan yang bermaksud Cahaya Kegirangan. Aku mahu Farhan jadi anak yang menggembirakan ku dan menggembirakan semua orang yang bersusah payah untuk kami. Tiada nama baby perempuan dan aku tak scan pun. Bagi aku, babyku lelaki dan setiap kali aku bercakap dengan baby, aku panggil dia Farhan.
Aku dah mula check up di hospital Banting, sebab aku dari Klinik di kawasan situ. Tapi dalam hati nak sangat bersalin di Klang dan berpantang di rumah mak sendiri. Mak mertua memujuk, " Idah bersalinlah kat sini, mak abah boleh jaga. Apa yang mak abah makan, ko makan lah.." Dengan penuh harapan mertua nak aku berpantang di sana. Tapi hati ku nak dengan Mak!!
Satu hari, kebetulan adik-adik perempuanku dan mak duduk sembang ambil angin petang. Saat itulah mak aku meluah perasaan. " Kawan-kawan mak ada tanya mak, Midah tu macamana?" Mak cakap, " Korang cuma tengok dari jauh, aku ni maknya..korang tau tak apa yang aku rasa..anak sulung aku mengandung takde suami.." Mak cuba bercakap dengan nada bergurau, tapi aku yang mendengar ni tak tau nak senyum ke nak nangis..
Makcik sebelah rumah aku pernah cakap, " Masa kau mengandung, Cik Jah tak boleh nampak engkau. Kalau Cik jah naik basikal pastu nampak kau duduk kat tangga, Cik Jah pusing balik..tak sampai hati tengok kau.."
Aku jadi semakin rasa bersalah. Aku tak mau susahkan orang-orang yang aku sayang terutama sekali mak dan abah.
Aku perasan abah selalu pandang dengan pandangan sayu dan serba salah, " Engkau ni nanti nak bersalin kat mana? " Nak je aku kata kat sini, rumah kita, tapi mak dah cakap lebih pantas, " KAU PERGI BALIK BANTING, BERSALIN KAT SANA!"
Aku terkedu. Terkejut dengan kata-kata mak, tak menyangka mak akan cakap macam tu, tapi aku faham sangat-sangat..mak dan abah dalam keadaan tak stabil emosi. Tak tahu macamana nak hadapi keadaan aku melahirkan cucu sulung mereka. Patutkah gembira atau sedih..suka nak dapat cucu pertama tapi sedih/malu menantu entah ke mana?
Masa semakin dekat. Aku mula beli barangan baby. Beli napkin dan baju, aku simpan kat umah mertua. Beli besen mandi, aku simpan kat umah mak sendiri. Beli botol susu, bawa balik rumah mertua..beli lapik tilam baby, bawa rumah mak sendiri. Itulah yang aku lakukan diam-diam. Dalam hati berharap dan berdoa agar mak lembut hati benarkan aku berpantang di rumah mak. Aku teringin bermanja dengan mak..merasa urutan dan belaian mak..merasa masakan mak..Aku teringin berpantang dikelilingi adik-adik dan Nyai. Ya, Nyai tentu teruja sangat nak terima cicit pertama, aku pulak cucu sulung Nyai.
Aku ambil cuti bersalin dua minggu lebih awal dan tinggal di rumah mak. Cadangnya supaya aku boleh berehat fizikal dan mental dan tak mahu sakit bersalin di ofis pulak. Tiba temujanji di hospital Banting. Aku ajak Acik temankan aku. Naik bas dari Klang ke hospital. Bila diperiksa, misi kata dah tak lama lagi aku bersalin. Aku tenang. Kemudian aku balik ke rumah mak mertua dengan Acik. Masa tu dah mula keluar tanda, tapi aku diamkan sahaja. Aku bungkus barang-barang baby yang ada di sana, dan aku bawa balik ke Klang, hari tu juga.
Sampai di rumah, aku buat selamba (sebab tak rasa sakit). Ingatkan kalau nak bersalin mesti rasa sakit. Jahil kan? Rupa-rupanya Acik beritahu mak keadaan aku. Memang tanda semakin banyak. Mak cakap, " Pergi lah hospital.." Aku kata takpe, tak sakit lagi. Ingatkan nak tunggu esok siang, boleh pergi sendiri naik bas ke hospital Klang. (Macam dekat....aduhai.. tukar dua bas tuuu) Mak berkeras nak aku pergi juga. Masa tu dah malam, siapa pulak nak hantar aku ke hospital malam-malam. Aku ni asek menyusahkan orang je. Ya Allah, kau berilah kekuatan.
Rupanya, mak aku aturkan suami Cik Jah untuk hantar aku ke hospital Klang. Mak dan Acik ikut aku. Aku patuh dalam sebak dan sedih. Menyusahkan orang di tengah malam.. Tiba di hospital, aku dah bersedia untuk kena marah sebab tak pergi ke hospital Banting. Aku baru perasan buku klinik ku tertinggal. Ndak tak ndak, abah yang bersiap untuk berkerja shift malam terpaksa naik motor ke hospital. Sampai je di hospital, abah menjerit marah.." Macamana boleh tertinggal buku ni!. Tak pasal-pasal abah lambat pergi kerja" Allahuakbar... Diam dan doa adalah terapi terbaik waktu itu. Betul-betul aku berserah padaMu Ya Allah. Nak kata apa pun dah tak terkeluar dah..
Di wad kecemasan ibu bersalin, aku diperiksa dan dimasukkan ke wad. Mak dan acik balik ke rumah dan tinggal aku sorang-sorang. Disebabkan tak sakit aku masih boleh bertenang dan berehat. Pertama kali aku berhadapan dengan ibu-ibu sakit bersalin, macam-macam rupa dan jerit sakit. Yang pasti, kebanyakan mereka punya suami yang tunggu. Aku?
Esok siangnya, doktor kata aku baru 3cm bukaan. Setiap kali check bukaan tak banyak perubahan, Akhirnya nurse biarkan je aku di katil. Aku beli makanan dari makcik yang berjaja dari wad ke wad. Memang aku habiskan masa dengan makan sebab aku nak kumpul tenaga masa bersalin nanti. Sampai waktu melawat kakak ipar mak datang melawat. Beri kata-kata semangat untuk aku. Nyai dan menantunya, Cik Leha yang tinggal serumah dengan Nyai, datang melawat pada sebelah petang.
Nyai cakap, " Bersalin nanti jangan balik rumah mertua kau. Kalau mak engkau tak mau jaga engkau bersalin, balik rumah Nyai..Nyai boleh jaga. Nyai dah tanya Cik Leha. Dia pun cakap boleh jaga kau. Duit gajinya masih mampu bela kau". Aku cuma mampu mengangguk lesu. Seriously, masa tu aku tenang tapi masa aku taip ni, aku nangis sungguh-sungguh..kata-kata Nyai takkan aku lupakan sampai bila-bila. Sampai saat ini masih terbayang jelas wajah sayu Nyai..".
Cik Leha ada pesan, " Nanti kalau kau rasa nak berak, jangan pergi tandas tau. Tu tandanya dah nak bersalin." " Oh ya ka...aku tak tauuuuu...
Masa itu jugalah, aku terasa seperti basah dan ada air keluar macam kencing tapi tak boleh kontrol. Cik Leha kata ketuban dah pecah tu.. Aku cuma pergi bersihkan dan tukar kain. Masih tenang sebab tak tau masa tu dah nak sangat bersalin sebab tak rasa sakit langsung.
Selepas Maghrib barulah sedikit demi sedikit sakit kontraksi mula. Semakin lama semakin sakit. Nurse memang tak periksa aku dari siang tadi. Aku cuma banyakkan zikir dan doa. Bila sakit datang, aku pegang besi katil kuat-kuat. Bila reda, aku rehat. Bila sakit lagi aku pegang lagi besi tepi katil. Dalam hati aku rasa lama lagi kut nak bersalin sebab aku masih tak menjerit macam orang lain...mengerang ada le sikit.
Akhirnya aku rasa macam ada benda nak keluar. Baru aku menjerit panggil nurse. Nurse datang tanya, " Sape yang menjerit panggil nurse tadi?'. Dia macam tak percaya aku yang panggil kut, sebab dia tengok aku macam tak sakit.
Bila di periksa, rupanya memang dah masa untuk aku bersalin. " Boleh panggil suami ya. Kemas barang-barang awak ni, kita nak tolak awak ke labor room". Di saat genting itu pun aku masih menipu. " Nurse, suami takde. Dia kat Indonesia." Nurse tanya balik, " Suami awak Indon ke? ". Terpaksa tipu lagi. " Tak. Dia kerja kat sana. Tak boleh balik".
Mujurlah nurse-nurse shif malam tu baik-baik hati. Merekalah yang tolong kemas barang-barangku. Ambilkan sepasang baju baby, dan suruh aku tukar baju. Siap mengusik lagi, " Eh..nasi lemak ni bila nak makan niiii..dah nak bersalin dah oii". Semua barang-barangku 'ikut' aku ke labor room. Semasa disorong ke sana, ku lihat berderetan suami-suami orang dan saudara terdekat menunggu isteri mereka melahirkan. Sekali lagi, tiada setitik air mata yang keluar saat itu. Semangatku tinggi dan kuat. Ku kata pada diri, " This is the time, once and for all. Ini saatnya. Farhan akan lahir ke dunia untuk aku".
Masuk ke labor room. Dengan 2 kali cubaan teran. Pada jam 11 malam, 13 November 1991, Muhammad Nur Farhan lahir ke dunia secara normal dan amat mudah. Lelaki. Alhamdulillah syukur.
Tapi sebaik Farhan lahir, semangatku seakan-akan hilang melayang bersama keluarnya Farhan dari rahimku. Tubuhku terasa sangat lemah. Sementara menunggu nurse siapkan Farhan, aku menerawang jauh. Kini, aku benar-benarkan ingat dia, SUAMIKU!. Aku mahu dia sekarang. Bila aku ditolak keluar dari Labor room dengan Farhan berbedung atas perutku, semua mata suami-suami memerhatiku. Pastinya aku bukan isteri mereka, tapi aku mahu suamiku diantara mereka yang ada disitu.
Nurse menolakku ke wad bersalin. Untuk aku berpindah ke katil wad pun sangat tidak berdaya. Mujur Farhan tidur lena di tempat tidurnya. Nurse malam tu pulak garang sungguh. Dia suruh aku makan dan minum susu untuk tambah tenaga. Tapi aku tak boleh bangun, macamana aku nak bukak tin milo, thermos dan bancuh air...
Mataku terpaku ke arah pintu besar wad. Setiap kali pintu dikuak, aku mengharapkan suamiku yang muncul. Aku tahu dia takkan datang, tapi aku tetap harapkan dia ada..untukku..untuk Farhan. Hatiku berzikir, " Abang, datanglah...abang datang la sini...kita dah ada anak...". Tika aku lihat suami-suami bergegas masuk melihat isteri masing-masing dengan penuh kasih sayang, meraikan kelahiran baby baru mereka, aku hanya mampu memandang sayu dan kosong. Bila melihat si ayah bangun mendukung baby dan diazankan.. Farhan? Siapa yang nak azankan dia Ya Allah...
Mahu saja aku panggil suami selang dua tiga katilku untuk azankan Farhan. Orang tu nampak alim sebab pakai kupiah. Tapi bila aku sedar yang aku tak tutup aurat sepenuhnya, baju dalam pun tak pakai sebab masih berpakaian hospital..aku batalkan niatku. Dan aku hanya mampu melihat...kegembiraan orang lain.
Menjelang Subuh, aku semakin lemah. Nurse dah membebel sebab aku tak jamah roti dan minum susu. "Nanti pengsan, sape susah??" Memang aku terbaring tanpa buat apa-apa. Mujur Farhan tak susahkan ibu, terus lena hingga ke pagi.
Aku kumpul saki baki tenaga yang ada..aku seret kakiku keluar wad, mencari telefon awam. Aku hubungi rumah mak. Adik Lina yang menjawab telefon. " Adik, akak dah bersalin. Anak lelaki. Tolong cakap dengan mak, mintak sangat datang pagi-pagi nanti. Akak tak larat sangat ni, nak salinkan lampin pun tak larat".
(Semasa Adik Lina jawab panggilanku, rupanya Mak ada berdiri tidak jauh dari adik. Tangan mak memegang dagu, menanti penuh debar berita dari ku)
Benarlah. Awal pagi lagi mak dah sampai. Perasaanku bercampur baur bila nampak mak. Tak tau macamana reaksi mak nanti. Masyaallah tabarakallah..Allah yang memegang hati manusia..sebaik mak nampak Farhan, mak angkat dan cium dia. " Alala cucu nenek...ini mak nenek dah sampai" Mak sangat gembira tengok cucunya. Membahasakan dirinya 'mak nenek' lagi..Mak berubah 360%..hanya Allah saja yang tahu hatiku saat itu. Aku tak ingat samada mak peluk aku ke tidak, tapi tak apalah, janji mak dapat terima Farhan, itu adalah anugerah terbesar untuk kami.
Urusan keluar wad berjalan lancar pada hari siang itu juga. Suami Cik Leha yang bertugas sebagai juruteknik di hospital sama, datang menjenguk dan menyelesaikan urusan pembayaran. Dia juga yang bantu buatkan surat beranak Farhan. Satu sen pun dia tak mahu aku bayar balik.
Mak cakap dengan Farhan, " Jom kita balik rumah mak nenek cepat, sebelum nenek Banting datang.." Aku macam percaya tak percaya je mak cakap macam tu. Tapi yang pasti hati ku sangat lega bila mendengarnya. Dalam kereta, aku cuma mendiamkan diri. Membiarkan mak dan Cik Jah pok pek keseronokan. Farhan sentiasa di riba mak nenek.
Waktu Zohor, kami sampai di rumah. Mak terus bawa Farhan keluar kereta. Kebetulan abah ku pun ada, tapi muka kelat semacam. Mak cakap dengan nada gembira," Atuk, ini cucu dah balik. Nah ambik ni..azankan dia.." Abah cakap, " Tak mau lahhh..aku nak sembahyang". Itu alasan abah mengelak dari tengok cucu. " Tak pe ya...nanti atuk abis solat nanti, atuk azankan ya.." Begitu cakap mak pada Farhan. Hmmm..pandailah mak pujuk abah nanti.
Aku dah tak kisah apa-apa lagi. Aku tau Farhan akan dijaga dengan baik oleh mak abah. Ini masa aku berehat secukupnya. Aku ada terdengar mak telefon ntah siapa, " Marilah datang rumah aku. Tengok cucu aku ni, cucu aku hensem tau.." Alhamdulilllah, sejak kelahiran Farhan, mak berubah sangat dan terlalu sayangkan cucunya itu. Abah pula tak suka tunjuk perasaannya aku tahu abah juga lega semuanya berakhir dengan baik.
Mak lah yang carikan bidan mengurutku. Mujur ada bidan yang lapang, sebab aku tak tempah awal-awal. Mak, Nyai dan adik-adik bergotong royong jaga aku. Bila Farhan kena demam kuning, mak dan Nyai la yang jemur waktu pagi dan mandikan dengan air daun inai.
Dua minggu selepas bersalin, aku buat kenduri aqiqah. Sebelum tu, aku ajak abah pergi keluarkan duit dari bank di pekan. Aku bonceng motor abah. dalam masih berpantang. Aku serah sejumlah duit pada abah, " Abah, ini duit untuk kenduri aqiqah. Abah carikan kambing ya. Baki duit tu untuk belanja yang lain".
Aku mampu tersenyum lega. Walaupun suami tiada di sisi dan tiada satu sen nafkah pun kami terima, aku mampu buat persiapan kelahiran Farhan dan kenduri sama seperti pasangan 'normal' yang lain. Aku berjaya buktikan pada mak dan abah yang aku boleh hadapi apa yang melandaku dengan baik.
Kenduri berlangsung meriah dengan kehadiran keluarga mertua bersekali dengan aqiqah seorang lagi anak buah. Aku rasa macam dah sihat betul, aktif ke sana ke mari..hingga ditegur supaya 'slow' sikit takut bentan. Cuma, sewaktu Farhan akan dibawa keluar untuk marhaban, aku tak dapat kawal perasaan. Orang bertanya-tanya, siapa yang patut bawa Farhan keluar. Menangis juga akhirnya teringatkan suami. Dia yang sepatutnya mendukung Farhan untuk diselawat oleh orang surau dan dipotong rambutnya. Mak mertua memujukku supaya jangan sedih. " Kalau Idah sedih, mak lagi sedih."
Dan menariknya, tiada siapa pun yang tanya tentang suamiku. Aah..biarkan.
Inilah wajah Farhan..comel dan keletah..sesiapa yang tengok dia, otomatik akan suka. Dia memang disayangi semua orang.
Tak boleh duduk diam.. mudah rapat dengan sesiapa pun.. Kuat makan, senang tidur dan suka bermain.
Untuk Farhan sekarang, tetap manja..Ibu selalu kata you are always special, sebab apa yang kita pernah lalui dulu terlalu mahal harganya..dialah sumber kekuatan di kala badai rumahtangga menguji. Tak pernah ibu mengalah demi dia..demi seorang Farhan.
Ma'assalamah wa ilalliqa'.
Cerita CM buat airmata kakak luruh walaupun ianya cerita lama.
ReplyDeleteKuat CM walau masih muda..
Buat Farhan - auntie harap sangat Farhan dpt membaca entri ibu ini.
Memang entri ini khas untuk Farhan..supaya dia tahu kisah sebalik kelahirannya, supaya dia pun jadi kekautan untuk orang lain sepertimana dia pernah jadi kekuatan ibunya dulu..
DeleteMasih tak mampu menahan sebak bila mengikuti cerita cik mid ni ....YaAllah bertapa tabahnya seorang yang bernama cik mid ni.
ReplyDeleteMoga pengalaman ini menjadi teladan pada insan lain yg sedang diuji.
Mau tak mau kena lalui juga bila ujian sudah terbentang di depan mata..tak kuhirau hujan dan panas..Allahuakbar!
DeleteWaaa...kak..saya nak menaip komen ni pun susah. Asyik sob..sob..sob... jer. Alhamdulillah...
ReplyDeleteNo wonder bila dalam entry tak jadi kawen tu...rata2 kata Allah gantikan yang lebih baik...you sounds different. Macam the other way round. Thought it is the current one..rupa2nya yang first marriage. Dugaan yang berat untuk yang mampu menanggungnya. Saya juga diduga dulu...tapi kita different case la kot. Tak sanggup nak buat entry. Kalau jumpa, ada jodoh, kita sembang panjang2. Cuma saya mohon selalu dengan Allah. Cukuplah ujian tu semua. Saya tak mampu. Tapi ujian akak...saya tabik dengan kekuatan akak...
Ya betul. Rupanya derita belum berakhir..
DeleteDari awal kak Zai baca sampai habis air mata mencurah2, spechlees....Betapa kuatnya semangat orang yang bernama che mid.
ReplyDeletePengalaman che mid membuatkan kak Zai sedar betapa bertuahnya kak Zai melahirkan anak dihospital swasta dan mendapat layanan yang sangat istimewa. Dulu selalu merajuk kalau tak dapat yang diminta atau lambat.
Kan kak Zai. Pada yang tak tau, memang nampak macam normal. Bila CM ceritakan, baru terkejut he he..
Deletesebak n sedih membacanya...sorang diri di hospital xder yg tunggu saat hendak melahirkan berat sekali tekanannya...kelahiran farhan yg comel tlh mengubah suasana hidup chemid ternyata...farhan semakin dewasa n dia pasti seorang anak soleh yg tahu hargai pengorbana ibunya yg tegar semangatnya ni...
ReplyDeleteAamiin. Memang dia anak yang baik. Cepat terasa kalau ibu tak sedap hati. Biasanya dia yang akan tanya, " Ibu ok ke?"
Deleteya Allah nangis lieya....lieya bace2 dah episod ni..laju2 lieya bukak entry sebelum ni utk bace dari mula2...serius sedey sgt.....
ReplyDeletemoga che mid kuat.....moga farhan hargai susah payah che mid...amin
Bukan mudah melahirkan dan membesarkan bayi seorang diri..banyak telan airmata ke dalam untuk nampak kuat..
DeleteMoga Allah menggantikan kesabaran Che Mid dlm melalui liku2 hidup dgn Syurga tertinggi. Aamiin.
ReplyDeleteAlhamdulillah, sekarang CM merasai nikmat itu.. tak sesenang mana tapi cukup untuk mensyukuri nikmatNya.
DeleteHati pompuan......tengok cucu yg comel, hati mak nenek terus jer cairnya.
ReplyDeleteTak sangkajan CM disebalik wajah ceria CM, tersembunyi kisah sedih yg hanya diri sendiri jer yg tahu. Farhan pun mesti tabah mcm CM kan....
Tak sabar nak tau mana perginya suami CM dulu
Exactly, kejujuran seorang ibu/nenek terserlah dan tertumpah jua..
Deletep/s..tu la tgh fikir ni, macamana nak tulis kisah ayah Farhan..
Lum habis fikir ke pasal ayah Farhan tu Che Mid hihi....penat kita tunggu
DeleteAssalam.
ReplyDeletePadang sayu kita berbeza. Tahniah Che Mid sabar, tabah dan menjadi ibu yg baik. Semoga terus dlm kebahagiaan.
Senyum dalam tangisan..pedih hati simpan dalam-dalam..
Deletesalam singgah dan follow :)..
ReplyDeleteSedihnya
ReplyDeleteSedihnya
ReplyDeleteKuat sungguh dugaan che mid.
ReplyDeletePasti Farhan dan wife menangis dengar cerita ni kan che mid..
Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
ReplyDeleteJika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.
Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)
Salam Aidil Adha Kak..
ReplyDeleteYa Allah, sedih nya kak bila baca N3 ni... menitis air mata...sebak... sungguh besar pengorbanan akak membesar & melahirkan Farhan... moga akak sentiasa dlm lindungan Allah ya....
Ibu mana yang tak sayangkan anak dan nenek mana yang tak kasihkan cucu.
ReplyDeleteSetiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.
Buat Farhan, ingatlah kasih ibu yang tak pernah ada hujungnya...
golden goose sale
ReplyDeletejordans shoes
off white hoodie outlet
supreme clothing
kyrie shoes
bape outlet
a bathing ape
jordan shoes
kd shoes
golden goose