Yahanana Events

Ini Iklan YAHANANA EVENTS - Sila ke bawah lagi untuk entri terbaru!!


Adakah anda sedang mencari pengacara yang boleh berselawat dan berqasidah
untuk majlis korporat atau persendirian seperti walimatul urus, cukur jambul,
perasmian atau pelancaran produk?

Atau anda sedang mencari Pengurus Acara Islamik untuk membantu anda
mengadakan acara sambutan hari kebesaran Islam seperti Sambutan Maulidurrasul, al-Maulid dsb?

Yahanana Events sedia berkhidmat dengan menyediakan pengacara, sistem PA,
kumpulan nasyid, marhaban, qasidah, penceramah, kompang dan
lain-lain yang anda mahukan.

Hubungi Che Mid di hmj_66@yahoo.com atau 013-3672459
dan layari facebook.com/Yahanana Events untuk info menarik!!

Thursday 14 January 2016

RM10 jeee... Round 3

Assalamualaikum wbrk

Sumbangan untuk anak-anak yatim diteruskan lagi bulan ini. Kali ini Che Mid dan kawan-kawan tak ke mana-mana rumah anak yatim, tetapi memilih untuk menziarah dan menyumbang serba sedikit kepada anak yatim dan kurang berkemampuan di taman kami sendiri, Taman Dato Bandar. 



Ini adalah Puan Najat dan dua dari empat orang anaknya. Anaknya berusia antara 17 hingga 10 tahun. Suami meninggal 5 tahun lalu. Puan Najat berniaga kuih muih dan pisang goreng di tepi surau taman kami dari pukul 3 - 6 petang hampir setiap hari. Sewaktu kami datang ke rumah, beliau nampak keletihan sebab baru je balik berniaga.

Beliau mengambil bantuan kewangan menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang dibayar ansuran secara mingguan. Selain dari berjual kuih, Puan Najat mendapat pencen dari Socso sebanyak RM700 yang digunakan untuk perbelanjaan sekolah anak-anak. Pihak Zakat juga memberi bantuan sebanyak dua kali setahun iaitu sempena hari raya dan buka sekolah.



Seorang yang sangat tabah dan kuat semangat, Puan Najat sering mengucapkan Alhamdulillah.. cukuplah untuk anak-anak makan. Adik beradiknya juga membantu sedikit sebanyak. Ada yang membantu membaiki rumah jika ada yang rosak, malah kereta MyVinya juga abang-abangnya yang tolong menjelaskan ansuran bulanan. 



"Sesusah-susah saya, ada lagi yang lebih susah," Katanya merendah diri. "Cuma bila musim hujan, hasil jualan berkurangan, tetapi hutang AIM tetap kena bayar. Masa tu memang kami terpaksa ikat perut. . Tapi takpe lah..kami dah biasa."  

Begitulah jiwa orang susah yang beriman. Meminta-minta jauh sekali. Namun, bila kami serahkan sampul sumbangan, tiba-tiba je beliau terdiam. Speechless. "Tak tau nak kata apa", katanya. Air mata terus bergenang seolah-olah menyatakan betapa beliau memerlukan bantuan dan betapa bersyukurnya pada Allah. Che Mid kata, " Allah makbulkan doa awak dengan mendorongkan hati kami untuk datang dan beri bantuan ni". 



Keluarga kedua yang kami ziarahi ialah Puan Yati. Beliau bukan ibu tunggal tetapi baru sahaja menjalani pembedahan yang kedua akibat kencing manis. Gambar di atas ialah semasa baru balik dari pembedahan yang pertama. Waktu itu, kami dah pun sumbangkan sedikit wang tunai dan susu khas untuk pesakit kencing manis kerana keadaan Yati yang sangat lemah dan tak berdaya. 

Suaminya pula yang baru sahaja bekerja di tempat baru,  tak dapat keluar selalu menghantar Yati mencuci luka pembedahan. Ini jugalah antara faktor yang menyebabkan Yati lambat dibawa ke hospital sehingga luka dikakinya bernanah dan akhirnya terpaksa dipotong 2 jari kaki. 

Untuk 'dressing' setiap hati ke klinik kesihatan, suami Yati akan menghantarnya ke klinik dan kemudian ada sahabat yang baik hati akan mengambilnya pulang ke rumah. Yati dan suami malu untuk "menyusahkan" jiran-jiran tapi kami cuba yakinkan mereka bahawa kami sentiasa ada untuk membantu bila diperlukan.



Hanya airmata terharu menemani Yati ketika Ruzzi menyampaikan sumbangan bagi pihak penyumbang. (Gambat tak jelas.. kami kelam kabut nak balik sebab azan Maghrib dah berkumandang masa tu).  Sebelum kami datang, ada juga jiran lain yang berjumpa Yati menyampaikan zakat.. alhamdulillah. 


Keluarga ke tiga yang kami kunjungi ialah Puan Noraini. Seorang balu yang mempunyai dua orang anak berusia 16 dan 13 tahun. Kak Ani menyara anak-anak dengan menjual kuih dan mengasuh anak kecil seramai 3 orang. Semasa kami datang, kak Ani tak berapa sihat, Berjalan terdengkot-dengkot. Memang kak Ani selalu saja sakit-sakit tapi terpaksa digagahi juga demi anak-anak. 


Kak Ani menerima sumbangan dari wakil kami. Setiap kali mengunjungi kak Ani, ada saja yang diceritakan tentang kesusahan keluarganya. Harap kak Ani terus bersabar atas ujian Allah ini ya. Memang sukar bergelar ibu tunggal kematian suami, memang payah membesarkan anak-anak remaja, dengan kudrat tubuh pula semakin lemah. Kak Ani kena kuat dan pandang ke depan. Allah ada kan..


Nadia (berbaju hitam) bersama-sama kawan-kawan ibu yang juga jiran setaman. 

Rumah terakhir yang kami ziarah ialah Puan Nadia, balu anak dua berusia 7 dan 5 tahun. Ibu muda ini bekerja dari rumah secara atas talian. Mereka bertuah kerana tinggal bersama ibu bapa sejak arwah suami masih ada. Sentiasa dikelilingi oleh ibu bapa dan adik beradik, Nadia dan anak-anak tidak kesunyian dan masalah yang dihadapi boleh dikongsi bersama. Kami doakan Akif dan Khalisha membesar sebagai anak soleh sepertimana anak-anak lain.


Dua tahun hidup sendirian, sempat kami mengusik Nadia supaya berkahwin semula jika ada yang melamar. Maklumlah Nadia masih muda, dan tentunya anak-anak perlukan perhatian dan kasih sayang seorang bapa. Jelas dari raut wajah Nadia yang dia masih terlalu merindui arwah suami, namun hidup mesti diteruskan. Pandang ke hadapan, sinar bahagia pasti ada menanti. 

Itu dia, ziarah kami bulan ini. Setinggi penghargaan kepada SEMUA yang menyumbang. Walaupun dah masuk bulan ke tiga, tapi rakan-rakan masih setia menghulur. 

Sebenarnya Che Mid dah agak kutipan bulan ini akan berkurangan, kerana masing-masing sibuk dengan pembiayaan persekolahan anak-anak. Tetapi ada sampul surat yang Che Mid buka, mengandungi beberapa keping wang kertas RM50... masyaallah tabarakallah, menggigil tangan Che Mid tapi mulut tak henti mengucap syukur. Tak pasti siapa yang menyumbang sebab semua sumbangan dikumpul dulu baru dikira. Kepercayaan beliau pada Che Mid membuat Che Mid sangat terharu. Terima kasih banyak-banyak. Kita sama-sama istiqomah ya..