Yahanana Events

Ini Iklan YAHANANA EVENTS - Sila ke bawah lagi untuk entri terbaru!!


Adakah anda sedang mencari pengacara yang boleh berselawat dan berqasidah
untuk majlis korporat atau persendirian seperti walimatul urus, cukur jambul,
perasmian atau pelancaran produk?

Atau anda sedang mencari Pengurus Acara Islamik untuk membantu anda
mengadakan acara sambutan hari kebesaran Islam seperti Sambutan Maulidurrasul, al-Maulid dsb?

Yahanana Events sedia berkhidmat dengan menyediakan pengacara, sistem PA,
kumpulan nasyid, marhaban, qasidah, penceramah, kompang dan
lain-lain yang anda mahukan.

Hubungi Che Mid di hmj_66@yahoo.com atau 013-3672459
dan layari facebook.com/Yahanana Events untuk info menarik!!

Thursday 26 February 2015

Ubi Rebus Goreng Berempah

Assalamualaikum sahabat-sahabat semua..apa khabar hari ini..

Sejak dari kecik-kecik dulu, bila kita makan ubi goreng..ubi tu cuma di kupas, dipotong dan dilumur garam dan kunyit. Dan goreng hingga masak.

Tapi baru-baru ni, Che Mid pergi ke gerai kawan Che Mid di kampung kami ni juga lah. Dia menjual ubi goreng yang direbus terlebih dahulu selain dari ubi ungkep.  Isinya lebih lembut dan sedap dibandingkan dengan ubi goreng biasa.




Che Mid cuba buat sendiri..alhamdulillah dah di bawa ke surau untuk pengajian muslimat hari Selasa lepas.

Bahan-bahannya:-

Ubi kayu dlm 1 kg
Tepung gandum untuk celupan
4 biji bawang merah
3 biji bawang putih
sesudu kecil ketumbar
sesudu kecil jintan manis
sesudu kecil serbuk kunyit
garam secukup rasa
minyak untuk menggoreng

Cara-cara membuatnya:-

- Kupas ubi kayu, potong dan rebus sehingga empuk 
- Mesin bawang merah, bawang putih, ketumbar, jintan manis dan masukkan dalam tepung.
- Bancuh campuran tepung dengan air. 
- Masukkan garam dan kunyit. 
- Celup ubi dalam bancuhan tepung tadi dan goreng hingga kekuningan



Rangup di luar, lembut di dalam..

Kalau makan ubi goreng sambil minum kopi o panas..perrgh!!

Bye ..Ma'assalamah wa ilalliqo'

Wednesday 18 February 2015

Indahnya Berdua eh..Bertiga..

Assalamualaikum wbrk sahabat yang dirahmati Allah swt

Che Mid nak tulis pasal lain, tapi ternampak gambar ni..tergerak pulak nak tulis di sini. Gambar di bawah menunjukkan tiga keluarga berpoligami. Isteri pertama sebelah kanan dan isteri kedua sebelah kiri suami masing-masing.


Yang Che Mid nak tunjuk ialah bahawa molek lah kita war-warkan hidup berpoligami yang bahagia dan mengikut syariat. Untuk sedikit sebanyak menidakkan contoh-contoh poligami drama tv atau realiti yang kacau bilau dan huru hara disebabkan kedangkalan ilmu dan tindakan masing-masing. Sampaikan orang Islam sendiri takut  berpoligami dan menjadi bahan momokan orang bukan Islam yang anti Islam.

Islam itu indah dan syumul. Mengikut kisah di atas, isteri pertama yang meminang bakal madunya. Bukan calang-calang wanita boleh buat macam tu dan tentu dia tahu benar bagaimana suaminya. Tentu dia tahu benar yang suaminya mampu beristeri lebih dari satu.




Ini Ustaz Abd Rashid dan isteri-isterinya. Dalam gambar pertama tadi, mereka duduk di tangga teratas. Che Mid tak baca kisah mereka tapi gambar ini di majukan oleh guru sekolah yang sama mengajar. Isteri pertama meminang isteri kedua. Bahagia ..alhamdulillah..dan kini menetap di rumah yang sama.

Media tak habis-habis "promote" teruknya poligami tapi hakikatnya hukum Allah itu benar dan adil. Begitu juga dengan hudud dan lain-lain. Seolah-olah Islam itu boleh dipilih-pilih. Yang nampak cantik boleh guna yang tak berapa best tolak tepi dan buang jauh-jauh. Tak cukup dengan itu, tambah sini sana biar nampak buruk dan tak elok,, Astaghfirullah..

Kalau yang tadi gambar pasal ustaz dan ustazah, ada yang kata, " Dia orang boleh lah..ustaz..ustazah.." Meh sini Che Mid tunjuk..

Sahabat baik dunia akhirat insyaallah..pun bermadu. Dan berbahagia hari ini. Suami tak pernah tipu untuk berkahwin baru. Sebagai isteri tetap diterima walau pedih di hati tak siapa tahu. Akhirnya, iman mengatasi segalanya. Semua pihak berusaha ke arah bahagia. Insyaallah..

Hujung minggu lepas Che Mid hadir di satu satu majlis walimah. Yang dirai adalah anak dari isteri pertama. Yang menyambut tetamu si suami dan isteri kedua. Isteri pertama duduk di sebelah kerana uzur..sama-sama berbaju sedondon. Manis kan begitu..

Berikut gambar-gambar yang Che Mid cari dr Mr Google...sekadar hiasan.

Salih Yaakob dan empat isterinya

Ustaz Zaharuddin dan dua isterinya

Ustaz Azhar Idrus dan tiga isteri serta anak-anak

Masyaallah tabarakallah...doakan yang baik-baik sahaja buat mereka.

Penutup kata, Che Mid selit sikit cerita Allahyarham TGNA. Suatu hari ada seorang ustaz datang berjumpa beliau di pejabatnya dengan membawa sebuah kitab dari Yaman. TGNA kata," Ambo suko dapat kitab dari dapat isteri baru. Dapat isteri buat senak perut, baco kitab dapat ilmu.".

Hmmm..itu TGNA yang tinggi ilmunya tetap memilih untuk punya hanya seorang isteri, Tapi beliau pesan pada isterinya Datin Tuan Sabariah supaya menjaga 3 perkara:-
1) Jaga tempat tidurku
2) Jaga makan minumku
3) Jaga pakaianku

Hasilnya, TGNA pernah kata pada isterinya, " Kito ni dah tuo tapi masih macam pengantin baru..." 

Nabi Muhammad saw, sewaktu diisra' mi'rajkan, melihat wanita paling ramai dalam neraka, Antara sebab utama ialah isteri yang suka berkeluh kesah dengan suaminya. Sering berasa tidak cukup itu ini dan banyak merungut. 

Ustaz Muhammad, dalam pengajian yang Che Mid ikuti pula berkata cemburu isteri juga  boleh menyebabkan isteri masuk neraka. 

Allah..sama-sama kita fikirkan sejauh mana ketaatan kita pada suami. Tak payah la fikir suami kahwin lain, suami yang ada depan mata 24 jam ni pun belum tentu kita 'betul-betul taat'. 

Maaf jika ada yang terasa..sama-sama audit diri. Macam Raja Shamri kata ," Kita kan Islam..."

Akhir kata..selamat bercuti panjang..hati-hati di jalan raya. Ma'as salamah wa ilalliqa'



Monday 16 February 2015

Patuhnya Isteri TGNA



Assalamualaikum brk sahabat tersayang sekalian..dunia dikejutkan dengan kepulangan TGNA yang sangat-sangat disayangi. Che Mid nak kongsikan artikel dibawah untuk tatapan dan muhasabah kita bersama.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

ROSMIZA KASIM DAN SITI FATIHAH AWANG
15 Februari 2015

PERMERGIAN insan tersayang yang berkongsi hidup selama 53 tahun sudah pasti memberi kesan hebat kepada diri seseorang, apatah lagi insan itu seorang suami penyayang yang lebih dikenali sebagai Tok Guru, juga menjadi pemimpin disayangi ramai, di dalam dan luar negara.



Ikuti luahan hati DATIN TUAN SABARIAH TUAN ISHAK, isteri bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian, ROSMIZA KASIM dan SITI FATIHAH AWANG di kediaman beliau sehari selepas pemergian suami yang dicintai itu.“Nanti abang tak dok (meninggal dunia) lepas ni, sapo nak jago Yah,” itulah kata-kata yang membuatkan hati saya sedih dan sayu apabila mengenangkan suami yang baru sehari meninggalkan saya buat selama-lamanya.

Kata-kata abang itu yang diluahkan tiga hari sebelum meninggal dunia, ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) itu saya sambut dengan senyuman, sambil memegang tangan insan yang selama ini berkongsi hidup suka dan duka dengan saya.

Sambil menggenggam tangan abang, saya kata “anak-anak kita kan ada, mereka boleh jaga saya sampai bila-bila. Abang janganlah risau,” walaupun dalam hati saya ketika itu sebak tidak terkata.

(Perasaan yang ditanggung itu diluahkan Tuan Sabariah sambil menyapu air mata dengan tisu yang dihulurkan saudara-mara yang datang menziarahi keluarganya di kediamannya).

Kini, anak-anaklah yang akan menjadi peneman saya, menghilangkan kesunyian hidup saya. Walaupun baru sehari, saya mengakui saya sangat merindui beliau.

Dengan izin, hari ini (semalam) saya dan semua anak-anak awal-awal pagi lagi ke kubur. Dalam keadaan sayu hati dan reda dengan ketentuan ALLAH SWT, saya sedekahkan Al-Fatihah dan ayat suci al-Quran kepada suami tercinta di perkuburannya.

Saya reda dan saya juga tidak 'berhutang' apa-apa lagi dengan abang. Saya memang menjaga abang sepenuh hati saya sebagai seorang isteri sebagaimana yang abang mahukan selama ini, walaupun saya juga kadang kala diuji dengan kesihatan yang tidak menentu.

Sebelum ini, makan, minum dan pakaian abang dijaga dengan baik. Makanan sentiasa terhidang untuk suami tersayang dan tidak pernah sekalipun saya menyuruhnya mengambil sendiri.

Cuma, saya perasan satu kelainan kerana beberapa bulan lalu, abang kadangkala menyediakan sendiri minumannya tanpa bantuan saya.

Saya menghormati abang, memang abang seorang insan istimewa yang tiada galang gantinya bagi saya. (Beliau terus menyapu air mata dan kemudiannya cuba memujuk diri dengan melemparkan senyuman kepada hadirin).

Biarpun abang seorang menteri besar dan pemimpin masyarakat, namun abang bukanlah seorang yang cerewet, terutamanya dalam soal memilih makanan.

Senang sangat, malah saya yakin setiap isteri di dunia ini mengimpikan seorang suami yang 'mudoh baso' (senang kira) malah tidak keterlaluan jika saya katakan, saya antara yang bertuah kerana memiliki abang.

Masakan kampung memang menjadi keutamaan abang. Sedap atau tidak bukanlah satu kepentingan. Apa yang pasti, itulah menu pilihan, tambahan pula jika disajikan dengan ikan darat, ditambah pula kuih paling digemari, lompat tikam serta jala emas.

(Mengimbas semula kisah hidupnya sebagai suami isteri, Tuan Sabariah juga memberitahu setiap malam dia akan mengurut dan menyapu minyak di tubuh Tok Guru sebelum tidur).

Sentiasa saya ingat, kata-kata abang yang memberitahu, tidak ada harta yang banyak boleh ditinggalkan untuk anak-anak. Semuanya sudah diberikan. Harta yang dimaksudkan adalah ilmu untuk menjadikan anak-anak yang soleh, berguna kepada agama dan bangsa.

Memang abang pentingkan ilmu kepada anak-anak, kerana baginya, ilmulah darjat yang paling tinggi di akhirat.

Itulah yang sentiasa menjadi pesanan abang kepada semua anak-anak.

Bukan sahaja pentingkan ilmu, malah abang juga seorang yang penyayang. Masih terbayang-bayang lagi tiga hari sebelum abang menghembuskan nafas terakhir, kami ketawa bersama apabila dia mengenyit mata kepada saya ketika terbaring di katil hospital.

Malah saya membalasnya dengan senyuman yang penuh ikhlas dari hati saya sambil menggenggam tangannya.

Walaupun ketika itu abang tidak gagah namun abang masih lagi memujuk hati saya dengan bersikap demikian kerana abang tahu, saya terlalu risaukan kesihatan abang.

Saya kagum kerana abang masih lagi (berusaha) menghiburkan saya walaupun dalam keadaan uzur.

Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang baik, biarpun dalam keadaan terlantar, masih lagi menjaga batas-batas saya sebagai seorang Muslim.

Pernah satu ketika, saya bercakap dengan seseorang. Pada mulanya abang hanya menghentak tangannya pada saya dengan perlahan, tapi lama-lama semakin kuat.

Rupa-rupanya abang tidak suka saya bercakap perkara yang tidak sedap didengar di telinganya.

Sampai begitu sekali dia sayangkan saya, supaya saya tidak buat perkara yang merugikan, malah abang sering berpesan ia adalah kebaikan untuk dijadikan contoh kepada anak-anak.

Ini juga yang patut dicontohi dan saya amat bersyukur semasa dalam keadaan sakit dan tidak bermaya, abang masih lagi bangun sepertiga malam untuk bertahajud.

Sangat tersentuh hati saya apabila kira-kira jam 3 pagi saya mendengar abang sedang membaca ayat-ayat suci al-Quran ketika bertahajud dan pernah satu ketika, bacaannya agak kuat kerana sengaja untuk bangunkan saya daripada tidur.

Memang inilah amalan abang sejak dulu lagi, malah tidak pernah abang abaikan dan mengeluh penat untuk melaksanakannya, walaupun kadangkala balik lambat sehingga jam 2 pagi (sewaktu menjadi menteri besar) pun.

Bertahajud tetap menjadi keutamaannya.

Pernah juga abang bergurau, “Pahala solat sunat abang lakukan ini tidak boleh berkongsi dengan Yah, amalan masing-masing. Jadi kita kena sentiasa beribadah”.

Walaupun nada nya bergurau, tapi saya tahu pesanannya itu adalah daripada seorang suami yang mahukan yang terbaik buat isterinya.

Abang memang utamakan solat. Setengah jam sebelum masuk waktu abang akan bersedia dengan wuduk dan saya masih ingat perumpamaan yang ditujukan kepada saya mengenai solat. Katanya, seperti menghadiri majlis kenduri, jika lewat datang sudah pasti lauk-pauk tidak akan cukup lengkap. Katanya sama juga dengan solat, jadi jangan tangguh-tangguhkan.

(Sekali lagi air mata Tuan Sabariah mengalir dan tetamu yang berada di ruang tamu juga kelihatan sayu sambil kedengaran tangisan kecil apabila berkongsi mengenai baju paling disukai oleh Tok Guru yang digayakan oleh isterinya.

Keadaan menjadi lebih sayu dan masing-masing memandang Tuan Sabariah apabila baju kegemaran Tok Guru itu dipakai sehari selepas pemergian Allahyarham, sambil tangannya digenggam erat oleh penulis)



Baju inilah (baju kurung kain kapas krim berbunga kecil) yang abang paling suka saya pakai, malah sering memuji corak yang katanya begitu sesuai dengan saya. Abang tidak suka saya pakai baju warna terang dan bunga besar dan banyak, tetapi tidak pula pernah melarang ataupun menegur sehingga saya berkecil hati.

Pernah juga baju pemberian rakan terpaksa disimpan walaupun hanya beberapa kali dipakai.

Ini kerana abang pernah menegur saya secara bergurau, “Yah nampak tua pakai macam itu." Saya hanya membalas dengan ketawa dan terus menyimpan baju itu dan tidak dipakai lagi.

Bagi saya, apa yang terbaik untuk abang adalah yang terindah bagi saya. Walaupun hal pakaian adalah perkara remeh bagi sesetengah isteri, namun itulah keutamaan bagi saya untuk menjadi isteri yang patuh kepada suami.
Sekian....

Tuesday 10 February 2015

Tumis Pakis Merah campur Nenas

Assalamualaikum sahabat-sahabatku sekalian...apa khabar...

Dah makan ke belum? Belum..ala kesiannya...Hari ni Che Mid nak tayang satu lagi masakan turun temurun orang Jawa iaitu tumis pakis merah. Tentu ada yang pernah makan dan mungkin ada yang tak pernah rasa..

Inilah dia pucuk paku pakis merah. Kena masak cepat sebab bila simpan lama daun tu cepat layu dan lunyai.

Nenas telah dipotong ikut suka. Yang beso-beso tu untuk mangsa kunyahan Che Mid sambil memasak ya..

Nak resepi ke? Ala senang je macam kita tumis pedas sayur lain.

Cili api lebih sikit baru kick, bawang merah, bawang putih, ikan bilis dan sedikit belacan. Tumis semuanya dengan minyak, pastu masukkan nenas. Kacau sikit-sikit hingga nenas layu dan air nenas mula keluar. 

Akhir sekali masukkan pucuk pakis merah, kacau lebih kurang. Kalau nak kuah tambah sikit je air. Perasakan dengan garam dan matikan api bila sayur agak layu. Done!


Dah siap..

Untuk lauknya pula, Che Mid pasangkan dengan lemak udang belimbing buluh. Resepi dah ada dalam blog lama Che Mid di sini. Pokok belimbing kat tepi rumah tu tengah berbuah lebat, minggu depan dah boleh petik banyak-banyak..


Tambah pulak dengan telur asin rebus. No ikan no ayam...

Hari Ahad lepas, si Faris balik bercuti. Dia minta masakkan feveretnya ikan keli pecal. Resepi boleh tengok kat sini

Yang sedihnya, Che Abang beli 3 ekoq je... dua ekor Faris dan Che Abang makan untuk lunch, baki seekor lagi Faris tapaw balik hostel. Terpaksa berkongsi makan dengan roomate..siannnn...





Ini pun Faris suka sangat. Kobis goreng mak mertua Che Mid punya style. Tak pedas sebab takde cili, tapi tambah dengan tauhu dan isi ayam. Bubuh juga kiub ayam dan sikit sos tiram. Masak sampai kobis tu betul-betul lembut... Hmmm..memang meratah-ratah le Faris makan ni. 

Sebenarnya sejak awal tahun ni, Che Mid jarang masak sangat. Sebab tinggal kami suami isteri dan Deeja je. Tak seronok rasanya masak sedap-sedap bila situkang makan duk berjauhan. Ayan pun dah berpindah ke rumah lain sejak beristeri ni. Time pagi hingga lepas Zohor, memang Che Mid sorang-sorang je di rumah.

Selamat memasak dan memasak lah dengan selamat he he..


Friday 6 February 2015

Mewah dan Meriah

Assalamualaikum semua di penghulu segala hari ni...banyakkan berselawat ke atas Nabi ya. Allahumma solli a'la Muhammad..sollu a'laih!!

Hari ini nak berkisah tentang meraikan majlis walimah anakanda sahabat baik Che Mid. Jom kita sembang..Ruang parkir di Pusat Perdagangan Aman Jaya, Puncak Alam bertukar wajah menjadi tempat majlis resepsi yang mewah dan elegan tapi penuh seni tradisi Melayu. Oh, tuan rumah memang sangat-sangat menitikberatkan soal adat budaya Melayu dan Jawa. Biar berbelanja lebih asal terserlah kemelayuannya. 


Dua orang anak lelaki naik pelamin sekali gus..pelamin ciptaan Kuzie Katering


Lain dari yang lain..tiada meja beradap yang panjang untuk pengantin. Diganti dengan meja bulat berhias elegan. Jadi ada dua set meja sebegini untuk dua pasang pengantin.Gubahan makanan beradap belum dihidang lagi masa ni..


Hidangan jamuan raja sehari yang first class dari Pak Engku @ Kuzie Katering. 


Nampak acar timun tu..amat menggamit selera kan..


Kambing golek menjadi daya penarik, tetamu beratur panjang menunggu daging siap dibakar.



Dah siap sedia untuk bertugas. Pakej Yahanana Events hari ini;  Sistem PA -  kami menggunakan 4 speaker untuk cover ruang lokasi yang luas iaitu kawasan letak kereta rumah kedai di Pusat Perdagangan Aman Jaya, Puncak Alam, emcee ( Che Mid le tu), kompang dan homestay Jamilians.

 Hubungi kami di 013-3672459 untuk tempahan. 


Kru Yahanana Events dan adik pengantin yang suka 'mengacau' kami..ada sekali tu, kakinya 'tersandung' kabel, majlis tetiba senyap sunyi kejap  ha ha..


Kumpulan kompang kami - Kumpulan Kompang Seri Menanti. Patutnya pakai baju baru tapi saat akhir tak cukup stok pula, tapi memang kacak bergaya berbaju Melayu..Che Mid suka dengan anak-anak muda yang berjiwa besar, sanggup korbankan masa hujung minggu mereka untuk mempertahankan budaya Melayu daripada lenyap ditelan arus kemodenan. Wang ringgit bukan ukuran..

Lihat juga ukiran pintu gerbang. Sangat unik kan...


Beraksi di hadapan pelamin, lengkap dengan pesilat sekali.


Kumpulan Gamelan Gema Gangsa dari UIAM - pelajar-pelajar belaka tu. Memang cukup terserlah budaya Melayu bila muzik latar sebegitu. Atas permintaan tuan rumah, lagu-lagu selingan MP3 diambil dari lagu Bosanova Jawa - berkonsepkan ala RnB tapi dalam bahasa Jawa ala Belanda. Memang mengasyikkan..


Selingan dari kumpulan Nasyid Soul Brothers. Lagu 'Yang Agung' nyayian asal Lah Ahmad menjadi antara lagu pilihan.

Bersedia untuk mengacara semasa bersanding. Orang kata Che Mid nampak kurus...entah..Buat pertama kalinya Che Mid bersyair, selalunya berpantun saja..

Pengantin pertama diarak masuk - Muhammad Kuzax Kusari dan Raja Shahinda 

Diikuti pula dengan pasangan kedua - Muhammad Daniel Kusari dan Madihah Ameera

Pakaian songket pengantin ditempah khas dari Terengganu dan dijahit oleh pereka terkenal Salikin Sidek. Tatarias juga oleh Salikin Sidek. Hasilnya - cukup cantik menawan penuh kemelayuan. 

Ini dia tuan rumah majlis - En Ghazali & Puan Laila, sangat anggun dan menawan

Kawan-kawan kami yang turut memeriahkan majlis. Ada yang datang jauh dari Kedah dan Johor.

Sentiasa suka sangat bila dapat berkumpul macam ni..


Ada yang dah tak kenal atau ingat-ingat lupa..

Sebelum balik sempat bergambar dengan Pak Engku. Awat gambar macam tahun 60an pulak kalenya...

Ini komen dari Laila Ghazali..tuan rumah..alhamdulillah..Memang sedikit mencabar bila mengendalikan majlis rakan sendiri, tentu harapan tinggi diletakkan atas bahu kita. Apatah lagi, rakan-rakan lain pun turut hadir menyaksikan bagaimana kita 'bekerja'. Namun setinggi penghargaan kepada tuan rumah atas kepercayaan kepada kami. Insyaallah, kami terus berikan yang terbaik.

Ma'assalamah, wa ilalliqa'