Sahabat Che Mid, As nama dia, pernah berziarah ke rumah selepas Che Mid bersalinkan Deeja. Berikut ialah perbualan kami yang Che Mid rasa boleh dijadikan pedoman kepada para isteri terutama surirumah.
Sesiapa yang tidak bersetuju, tidak mengapa.. berlapang dada saja. Dari dulu lagi nak kongsi tapi tak berkesempatan.. Mohon izin tukar gantinama kepada 'aku'.
As adalah seorang ibu beranak empat, dua lelaki dan dua perempuan. Pernah bekerja tetapi telah lama juga menjadi surirumah sepenuh masa sambil menerima tempahan membuat kek dan biskut raya. Dia bukan berasal dari Klang tetapi membeli tapak rumah dan telah beberapa tahun tinggal di situ. Kami saling mengenali melalui kuliah agama di surau berhampiran. Hari itu, As berbaju blaus labuh dan berseluar panjang serta bertudung warna lembut sesuai sekali dengan orangnya yang manis dan lemah lembut.
Kami berbual di ruang tamu. Ketika itu tv menayangkan drama Korea kesukaanku. Biasalah, orang dalam pantang.. banyak masa lapang.. As memulakan bicara, " Akak masih tengok cerita-cerita macam ni lagi? As dah lama tak tengok..". Aku terkedu sebentar. " Err.. tengok juga kadang-kadang". "Habis, As tengok program apa?" As kata, " Tanyalah Ustaz, Halaqah, Al-Quliyyah dan Semanis Kurma".
Sambil mengangguk-angguk, aku mempelawanya minum air coke sejuk yang aku hidangkan. " Dah lama As berhenti minum air gas ni.. minum sikit-sikit ok laa". Aku tau dia minum tu sebab aku dah hidang, sekadar menghormati tuan rumah. Emm, ada sesuatu pada As ni yang boleh dikongsi ni. Nak 'korek' lagi la..
Aku kata, " As, sejak ada baby ni, jadual akak dah lari la.. tak boleh lagi nak aktif ke surau dan masjid macam dulu... nak bangun malam tahajjud pun dah susah.." As jawab, " Takpe kak, pahalanya besar jaga baby ni, masa beranak hari tu, dah terhapus semua dosa akak.. Allah Maha Tahu kak."
Terus aku bertanya, " As, sejak bila As dah jadi lain ni.. cuba cerita pada akak jadual As dari pagi?". Jawabnya, " Alah kak, dulu As pun macam tu, kaki TV suka buang masa tak tentu hala. Tapi bila suami dah ajak pergi haji, hati pun dah mula teringin nak berubah supaya bila pergi haji nanti betul-betul bersedia." Lepas tu As pun rancak bercerita lagi.
" As bangun pukul 4.30 pagi tiap-tiap hari, terus mandi. Lepas mandi kejut suami pulak. Sementara suami mandi, As mula solat tahajud, taubat dan hajat atau buat lah apa-apa yang sempat. Sambil tu, kejut anak-anak yang dua orang tu. ( Dua orang lagi tinggal di asrama) Kami bersiap untuk solat subuh di masjid. ( Rumah As agak jauh dari masjid, mereka terpaksa berkereta ke sana). Sebelum ke masjid As siapkan dulu bahan untuk buat sarapan pagi.
Balik dari masjid, As sediakan sarapan pagi sementara suami dan anak-anak bersiap untuk ke pejabat dan ke sekolah. Usai bersarapan kira-kira jam 7 pagi, As menghantar anak-anak ke sekolah yang terletak kira-kira 5 minit dari rumah.
Tiba di rumah kira-kira jam 7 suku pagi, As akan menonton Tanyalah Ustaz sambil bersarapan. Tamat program tu, As akan bersolat Dhuha, mengaji al-Quran seperti surah al-Waqiah dan kemudian berzikir Ma'thurat pula. Kira-kira jam 10 pagi barulah As mula buat kerja dapur .. menyidai kain dan memasak dll
Hampir pukul 1 tengahari, As ke sekolah menjemput anak-anaknya pulang. Tetapi As tak pulang terus, sebaliknya singgah di masjid. Sambil menantikan azan Zuhur, As dan anak-anak akan makan tengahari dengan bekal yang di bawa dari rumah tadi di dalam kereta. Subhanallah!!
Sebelah petang, As dan anak-anak berehat di rumah kecualilah jika ada aktiviti di surau atau anak-anak ke sekolah. Solat Asar di rumah. ( Maafkan aku, bab ni aku lupa.. dia ke masjid ke tidak.. aku 'assume' je dia kat rumah)
Seluruh ahli keluarga akan bersolat maghrib di masjid dan menghadiri kuliyyah Maghrib bersama-sama dan hanya balik ke rumah selepas solat Isya'. Malam tu barulah sambung dengan kerja sekolah dan lain-lain.
Hujung minggu, (Sabtu dan Ahad) mereka akan bersolat Subuh dan sama-sama menghadiri kuliyyah Subuh di masjid atau mana-mana surau berhampiran.
Aku menyampuk, " Ya Allah seronoknya dengar... tapi suami akak tak macam tu la.. dia tak pernah bangun tahajjud pun.." As menjawab, " Kak, dalam keluarga .. apa-apa pun isteri dan ibu kena mula dulu. Saya dulu bangun malam nak solat, saya kejut suami.. eh.. tak nak bangun ke.. ajak dia baik-baik..lama-lama dia ikut kak. Anak-anak pun macam tu, memang susah nak bangunkan dia orang tu. Tapi apa pun, kita kena kuat... dan jangan putus doa.. kerana Allah juga yang buka hati mereka, kita cuma boleh usaha je.. Alhamdulillah, balik Haji suami kata dia nak buat macamana kita buat di masjidilharam, tak nak tinggal solat jamaah di masjid.."
Begitulah cerita As yang buat aku kagum dan terpegun sangat. Aku yang bangun malam seminggu tak sekali pun, perasan dah bagus sangat. Baru solat Dhuha 2 rakaat dah perasan bagus.. tapi rupanya tak sampai berapa peratus dari apa yang As lakukan. As sudah berjaya melibatkan seluruh ahli keluarganya ke masjid. Allahuakbar!
Patutlah anak-anak As nampak sangat taat pada ibu bapanya. Pandai-pandai pulak tu. Yang sulung di Uni Sains Islam Malaysia, yang kedua di sekolah Bestari Subang Jaya ( 5A UPSR).. tentu sekarang dah masuk IPT..yang ke tiga sebaya Farah, dapat 9A PMR dan yang kecik sah-sah 5A UPSR.
Tujuan utama aku tulis ni adalah untuk naikkan semangat aku. Dulu masa tinggal di Klang, Alhamdulillah, kira rajin jugalah.. tapi sejak tinggal di SP ni, tambah-tambah ada Deeja kecik tu.. alasan lagi... aduiii...semakin jauh rasanya dari masjid..
Juga kepada isteri tidak bekerja, buang jauh-jauh sindrom segan pada orang yang bekerja, rasa rendah diri dsb. Berbanggalah kerana duduk di rumah. Maknanya, suami beri ruang dan peluang untuk kita beribadat dengan sebanyak-banyaknya.
Penutup, teringat Ustazah pernah berkata, " Barokah dari seorang isteri yang bersolat Dhuha di rumah, diikuti dengan membaca surah a-Waqiah setiap hari.. suaminya bekerja dengan tenang hatinya, cepat naik pangkat.. Renung-renungkan..
Buat As, andai As terbaca, redhakan entri ini ya. Mungkin bagi As, sekadar berbual tetapi pada akak, ia sangat terkesan..Alhamdulillah.