Yahanana Events

Ini Iklan YAHANANA EVENTS - Sila ke bawah lagi untuk entri terbaru!!


Adakah anda sedang mencari pengacara yang boleh berselawat dan berqasidah
untuk majlis korporat atau persendirian seperti walimatul urus, cukur jambul,
perasmian atau pelancaran produk?

Atau anda sedang mencari Pengurus Acara Islamik untuk membantu anda
mengadakan acara sambutan hari kebesaran Islam seperti Sambutan Maulidurrasul, al-Maulid dsb?

Yahanana Events sedia berkhidmat dengan menyediakan pengacara, sistem PA,
kumpulan nasyid, marhaban, qasidah, penceramah, kompang dan
lain-lain yang anda mahukan.

Hubungi Che Mid di hmj_66@yahoo.com atau 013-3672459
dan layari facebook.com/Yahanana Events untuk info menarik!!

Wednesday 27 March 2013

Anak Bujang jadi Bertunang - gambar lagi

Jom sambung tengok gambar pertunangan Ayan dan Epa.

 Bakal besan - Encik Othman dan Encik Fazli. Macam janji-janji je pakai baju sama kale.. he he boleh ngam ni. Walaupun duduk sekampung tapi keduanya bukan orang sini. Encik Othman berasal dari Melaka Che Abang pulak dari Pahang, jadi orang Meru sebab kawen dengan orang Meru he he

 Wak Jamil dan Wak Johari bertepuk tampar bergurau senda.. masing-masing mengelak untuk membaca doa selamat. Akhirnya Atuk yang baca doa.

 Mak nenek diberi penghormatan menyarung cincin tunang di jari bakal cucu menantu.. eh ada ke istilah 'cucu menantu'?

 Epa mencium tangan bakal mertua. Wah.. Che Mid dan Epa tak rapat lagi walaupun Ayan dah berkawan lama dengan Epa ni. Tempat tinggal memang berdekatan, tapi kami bukan jenis 'selalu datang rumah' atau sebagainya. Ayan tak pernah pun bawa Epa datang rumah kecuali pada Raya tahun lepas. Itu pun Epa datang dengan adik beradiknya. Cuma bila, mereka dah sebut untuk bertunang, kami ada keluar makan sambil berbincang dari hati-ke hati dan sekali lagi semasa sambutan Hari Ibu.

 Cincin tersarung sudah.. tanda kini menjadi tunangan orang. Berinai cantik macam dah nikah pulak.. suka-suka kut, ambik berkat inai nenek Epa bawa balik dari Mekah baru-baru ni. Jaga aurat, jaga solat dan jaga diri baik-baik ya Epa.. orang Melayu kata darah manis.. tak caya cuba rasa darah tu.. ada berani?







 Epa berpelukan dengan ayah.. sayu masa ni. Mungkin masing-masing teringat pada arwah mama yang pergi tak kembali. Mungkin kalau masih ada hayat, arwah tentu gembira. Mengimbau semula semasa merisik dua bulan lepas, ayah Epa kata arwah Mama dah pun beritahu padanya tentang hubungan Ayan dan Epa dan berpesan supaya mereka berdua disatukan.



 Adik-beradik Epa. Ada seorang lagi lelaki tiada dalam gambar.



 Sedondon dan sepadan pakaian kami. Berjubah hitam ialah 'ibu baru' Epa. Alhamdulillah, sangat peramah dan begitu mengambil berat. Semoga kehadirannya di dalam keluarga Epa akan menambah kebahagiaan mereka.

 Faris pun tak ketinggalan hadir. Bila ditanya, Faris nak ke ikut rombongan meminang dalam keadaan belum betul-betul sembuh, dia kata, " Nak lah.. itukan abang Faris.." Jadi pergilah juga dengan bertongkat.  Ayan pakai kurta dan berselempang serban. Bab bergaya, memang pandai je dia..

 Epa dan Farah.. bakal kakak dan adik ipar

Balik ke rumah, kami sambung makan-makan dan posing-posing lagi. Tapi gambar tak berapa cantik.. guna kamera Che Mid je..




Atuk dan nenek pun terikut-ikut romantik ya..

Anak-anak perempuan Haji Jamil dan Hajjah Sumirah.. Ain takde, masa ni dia dah balik dulu.. sori Ain..

Sepupu-sepupu Ayan pun tak lepas peluang bergambar dengan Atuk. Anak-anak buah ku sayang.. belajar dulu sampai habis pastu kerja elok-elok, baru fikir pasal kawin..

Ayan dan Epa.. selamat mengharungi alam pertunangan. Jaga diri baik-baik, tingkat amalan, kuatkan iman. Persiapkan diri fizikal dan mental untuk menempuh alam rumahtangga pula nanti. Ibu doakan, kalian kuat dan tabah.. jangan gaduh-gaduh tau.. ibu babab nanti!

Tuesday 26 March 2013

Anak Bujangku Jadi Bertunang

Farhan akhirnya jadi bertunang pada 16 Mac lepas. Sebenarnya pada 5 Januari lalu, kami dah pun merisik tapi majlis peruntangan di tangguh hingga Mac atas permintaan pihak perempuan.

 Rumah kami cuma 2 batu je jaraknya. Arwah mak tunang Farhan tu pulak kawan sekolah Che Mid, tua setahun je. Kami sama-sama belajar mengaji tapi  tak khatam selepas Ustazah tu kawen.

Tak sangka kan, kawan sekolah bakal jadi besan (tapi umur tak panjang kerana arwah kak Ina meninggal pada tahun 2011 akibat kanser). Tapi arwah memang tahu hubungan anak-anak kami sebab budak-budak tu kan dah berkawan baik sejak sekolah menengah.

Ok jom tengok gambar sekitar pertunangan Ayan.

Adik-adikku sayang.. Nor, Acik dan Lina bergotong royong menyiapkan gubahan hantaran. Jumaat malam Sabtu kami berkumpul memulakan persiapan sampai pukul 1.30 pagi, dan Sabtu pagi pula sambung dengan hantaran basah seperti sirih dan buah-buahan. Pada Che Mid, memang pantas kami buat kerja. Yang kain ela dan telekong termasuk langkah bendol tu kami masuk je dalam kotak plastik lutsinar, tak payah gubah pun. Warna tema putih dan silver.. bunga-bungaan pun warna lembut je.. Ala lebih kurang je buat hantaran tu. Simple and nice gitu he he

 Sementara adik-adik menyiapkan hantaran, Che mid menyiapkan makanan tengahari. Sarapan pagi cuma cekodok pisang je.

 Gulai daging

 Masak lemak cili api  pucuk ubi campur tempe

 Kerang masak pedas

 Sup ayam untuk budak-budak kecik

Untuk kuih muih pulak, jiran Che Mid tolong buatkan lepat labu, adik ipar Dila sponsor trifle yang sangat sedap dan biras Ayu, sponsor kek yang sangat lazat. Che Abang seperti biasa incaj air minuman..Kami berkumpul mulai jam 2.30 petang. Tetamu boleh makan nasi atau jamah kuih muih sebelum bertolak.

Geng Parashoot Photo sedang makan tengahari sebelum memulakan tugasan. 

Untuk info, geng Parashoot Photo terdiri dari anak muda yang berminat fotografi dan bekas atau pelajar Fotografi. Farhan belajar fotografi di Unisel, Azhar Thaifor belajar di Pertak dan Ammar Politeknik di Behrang, Perak. Bila ada jemputan sebagai fotografer, Ammar akan memandu balik ke Klang. Cajnya tak mahal sebab mereka buat 'part time basis' je. Hasilny, cuba tengok gambar di bawah ni..

 Ahli rombongan meminang..

 Che Mid suka sangat gambar ni..  ada jiwa..jelas tergambar perasaan setiap seorang..

Ok, sambung balik. Mentang-mentang le dekat, kami borak-borak dulu sambil minum-minum. Las-las mak nenek kata, " Eh, jom la pegi dah lewat ni.." Kami bergerak dari rumah lebih kurang pukul 3.15 petang (janji lepas Zohor ...) Ramai juga yang ikut serta, adalah 10 kereta. Itu pun adik beradik sebelah abahnya tak dapat ikut.. kalau semua ikut kena tambah jadi 13 kereta ... maklumlah ini pertunangan pertama dalam keluarga sebelah Che Mid dan suami, jadi makcik-makcik dan sepupu-sepupu memang eksaited juga le..



 Atuk Jamil bawa sirih junjung yang tak berapa tinggi..

 Nak tau tak.. bekas bunga rampai ni memang trend sekarang tapi Che Mid tak beli pun, ini sebenarnya Che Mid kumpul dari ole-ole orang kawin. Cantik jugakan... bunga rampai tu di tabur dengan bunga sundal malam.. wangi je sepanjang jalan..

Bekas cincin ciptaan AdikNor.. cantik!

 Farhan dan Epa dah berdikit-dikit beli barangan hantaran. Che Mid tak tau pun, pandai juga budak berdua tu menabung dan berbelanja. Mereka beli yang simple dan murah-murah je. Che Mid pulak yang bebel, nape murah sangat... tapi bila dah gubah, cantik gak..


 Ini trifle yang sangat cantik untuk hantaran. Che Mid mintak adik ipar, Dila tolong buatkan. Rupanya, ada sebekas besar lagi trifle untuk kami makan. Memang enjoy sangat kami makan. Semua orang puji... terima kasih Dila, walau dalam keadaan mabuk mengidam anak kedua, masih larat siapkan trifle ni. Siap dengan hiasan lagi..


 Baju ni sebenarnya tak plan pun nak bagi sebagai hantaran, kain ni Che Mid saja beli lebih hari tu kat Nagoya murah sangat pun. Tapi bila adikNor lipat-lipat jadi cantik pulak.. tambah lagi satu dulang..

Barang make-up pun janji ada, sebab Epa jenis tak mekap pun.. Che Mid tambah dengan one-drop perfume dan losyen tangan. Ok la tu..

 Al-Quran warna perak, dibalut dengan kain net warna ungu muda yang dibeli oleh mak nenek. Bunga-bungaan dihias oleh Mak Ngah..

Lari dari buah-buahan biasa untuk hantaran, Che Mid siapkan buah jambu batu, betik, jambu air, timun untuk dimakan dengan kuah rojak. Kan Che Mid jual kuah rojak.. nasib baik tak tampal label "Kuah Rojak Che Mid" ha ha..Yang dalam botol comel tu diisi dengan kuah rojak dan kacang tanah tumbuk. Buah kundang tu untuk hiasan je.. tersangat masam!


Kek pertunangan ditaja oleh Ain Bakeries House.. sangat comel. Terima kasih kak Ain..

Inilah antara gubahan hantaran. Kesemuanya dari pihak kami 16 dulang (patutnya 15) dan berbalas 17 dulang. Memang banyak dulang-dulangan, sebab dah janji semasa hari nikah nanti tak payah nak berdulang-dulang lagi. Cuma serah duit hantaran dan barang kemas untuk batalkan air sembahyang. Jimat belanja dan jimat masa. Duit tu nanti boleh dibelanjakan untuk kenduri walimah. Bukan murah pun ooi.. harga bunga hiasan, lapik dulang, renda segala bagai.. lepas tu jadi stok terbiar dalam stor. 

Nasib baik bakal besan Che Mid jenis tak kisah. Bila tanya tentang hantaran pun, mereka cuma kata terpulang pada anak-anak..Alhamdulillah.. Semoga semua urusan dipermudahkan sehingga ijab kabul nanti.

Lagi pun Che Mid rasa sekarang ni masyarakat kita dah tak ambil tahu sangat tentang barang hantaran. Tak macam dulu, siap belek-belek setiap satu dulang, bilik tidur pengantin pun nak jenguk ga.. pas tu buat perbandingan warna la, jenis katil la. Silap-silap jadi bahan gosip.

Ok, sampai sini dulu.. gambar-gambar lain menyusul kemudian. Takut bosan pulak baca kat sini. Pi singgah rumah kawan-kawan lain, nanti balik sini semula ya..

Friday 22 March 2013

Sayu di Kubur Firdaus

Terima kasih banyak-banyak pada semua sahabat yang memberi komen pada entri lepas. Che Mid lega sangat kerana kesemua pendapat tu ngam dengan pendapat Che Mid. 

Sebelum Che Mid cerita lanjut pasal tu, hari ni nak cerita sedih sikit.

Malam semalam Farah cakap asyik teringat arwah abang Firdaus. Esoknya, kami pun ke kubur. Kawasan tu luas dan sangat sunyi tapi tak la gelap. Terletak di hujung kampung Meru.

Sampai di sana kami terkejut besar bila...

 Ada sebatang pokok besar tumbang.. batang pokok tu melintang betul-betul atas kubur arwah Firdaus. Che Mid dan Farah gagahkan diri mengalih balak tu ke sebelah. Paling sedih tengok batu nesan bahagian kepala tercampak keluar.


Farah sedang meletak semula batu nesan di tempat asal. Dia kata, " Patutlah Farah tergerak hati nak datang jenguk kubur abang". Sebenarnya minggu sebelum tu, Farhan ziarah juga tapi dia kata kubur abang Firdaus bersih tak seperti setengah kubur lain yang semak samun.

Kalau tengok dari kesan gergaji nampak baru lagi, mungkin satu dua hari lepas. Orang yang gergaji tu tak alih pun batang pokok yang melintang .. kesian tengok kubur jadi macam ni..menangis Che Mid terus mms gambar pada Che Abang.


Ada kubur yang pecah teruk. Yang lain-lain tu terlindung pandangan kerana ditutupi ranting dan daun-daun, entah macamana keadaannya. Masyaallah!

 
Mungkin pokok tu tumbang sebab dah dimakan anai-anai, sebab semasa kami mengalih batang pokok tu berebut anai-anai keluar. Tapi yang peliknya, kami tak nampak di mana perdu pokok. Logiknya tentulah dekat kubur Firdaus tu sebab balak yang besar tumbang kat situ..


 
Tengok betul-betul, ada kubur yang pecah. Harap-harap waris akan datang dan baiki. Sayu hati tengok..
 
Bahagian atas bukit tak terjejas, banyak kubur lama di situ. Deeja kata, " Khadeeja nangis tengok kubur abang tadi.. ada ulat (anai-anai)". Macam biasa kalau ke kubur abang, terutama bila masa membaca Yaasin dan tahlil, Deeja akan elok duduk diam-diam.

Che Mid seru kepada para sahabat, kalau agak lama tak ziarah kubur mak ayah atau atuk nenek dan orang tersayang, jom la pergi. Kalau tak kena pokok tumbang pun, mungkin dah semak atau mendap dsb. Sekurang-kurangnya bila kita ziarah kubur, akan mengingatkan kita yang satu hari nanti kita juga akan ke sana. Wallahua'lam.

Wednesday 20 March 2013

Anak Bujang Sibuk Nak Tunang!

Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Semua orang tahu itu dan semua akur. Tapi bila tiba bab realiti, mulalah menggelabah andai tak kuat iman. Nape Che Mid cakap macam tu?

Anak bujang ibu dah sibuk beri indikasi nak bertunang sejak tahun 2011 lagi. Masa tu dia tengah study, tak habis pun lagi. Memang ibu Mid tahu dia dah ada teman istimewa sejak tingkatan 4 tapi takkan nak sibuk tunang kut.. merepek je kan. Yalah, muda sangat lagi, dan tentu ada peluang untuk berkenalan dengan perempuan lain, mana tau jatuh hati pulak nanti, kan satu hal.. (Maknya dulu ramai kawan lelaki.. dua tiga kali gak bercinta baru dapat kawen he he)

 Ayan dengan adik dan Atuk. Farhan ni cucu sulung sebelah ibu, memang sah-sah le jadi kesayang atuk nenek dan makcik pakciknya.. Semua pun susah hati bila dengar dia sibuk nak tunang..

Farhan genap 21 tahun bulan November 2012. Gelfrennya tua sedikit, satu atau dua tahun.. dia habis belajar dulu dan terus bekerja. Farhan pulak baru mula kerja main-main, sambar je apa peluang yang datang. 

Awal tahun ni, desas desus nak bertunang semakin serius. Farhan dan tanya ibu betul-betul hajat nak menyarung cincin. Aduii.. ibu pun naik pening! Farhan tu umur memang muda tapi dari segi rupa memang nampak matang. Bila dia berjalan dengan Deeja, memang orang ingat dia jalan dengan anak. 

Satu lagi, ibu perasan juga Farhan ni memang tak de gelfren lain sejak dari sekolah. Masa di Unisel dulu pun macam tu. Rupa memang kacak dan hensem (keturunan I la tu..) dan memang ramai peminat.. kalau berjalan dengan dia, memang selalu jadi perhatian.. tapi setakat ini rasanya tak pernah dia berdating ke apa dengan anak dara lain. Adalah juga dia cuba-cuba usha.. tapi takdenye lekat.. setakat calling-calling tu ada la..

Nak di tahan-tahan pun nampak beria sangat nak bertunang. Berdikit-dikit membeli barang hantaran dan buat persiapan. Gaji tak seberapa tapa azam beria-ia. Farhan cuba yakinkan ibu, " Ibu, Ayan dah 6 tahun berkawan dan itulah pilihan Ayan. Kami nak bertunang dulu, dan terus kumpul duit untuk nikah. Kalau boleh nikah pun nak cepat. Tak payah buat kenduri besar, antar cincin je pun tak pe..." Amboi, bukan main lagi...Not as simple as that ok..!

Si gelfren Farhan tu kawan sekolah dan tinggal di kampung sama. Jarak rumah kami cuma dua batu je. Arwah mamanya tu kawan sekolah dan mengaji sekali dengan ibu. Jadi kami saling mengenali. Kebetulan, mak sedaranya pulak jadi jiran ibu.."

Lama juga ibu dan abah ambil masa fikir. Awal dulu memang tak setuju betul.  Saja je buat lengah-lengah dan bagi bagi syarat itu ini.. Tapi bila mereka berdua dah bekerja dan tengok kesungguhan di sebalik 'kegarangan' ibu akhirnya ibu dan abah lembut hati.

Ibu doa sungguh-sungguh semoga Allah permudahkan urusan budak berdua ni. Memang betullah pun, kawan dah lama cuma umur Farhan je muda sangat lagi.. kalau perempun tu lain la.. 

Eh, Che Mid  berhenti kat sini je dulu.. buat saspen sikit.. kalau kawan-kawan nak bagi pendapat silalah..





Thursday 14 March 2013

Persandingan Nor Shuai'ba Murni dan Firdaus

Pada 9 Mac pula Che Mid telah diundang mengacara di Dewan Jalan 227, Petaling Jaya. Kali ini sempena persandingan Cik Nur Shuai'ba Murni bt  dan Encik Firdaus bin Mohd Zainai.

 Sedang berbincang dengan DJ L yang turut berada di sana, walaupun tidak bertugas sebagai DJ pada hari tersebut, banyak perkara yang kami kongsi bersama. Insyaallah, ada rezeki mungkin kita boleh bekerjasama untuk projek lain pula.

 Che Mid dan Farah bersiap sedia menunggu ketibaan pengantin. Masih memakai pakaian yang sama dengan minggu lepas kerana kebetulan warna temanya ialah oren dan hitam. Yang bestnya, Tuan Imam yang membacakan doa selamat tertarik dengan persembahan kami. Walaupun terpaksa bergegas untuk menghadiri majlis di tempat lain, sempat juga dia datang jumpa Che Mid dan minta kad nama. Alhamdulillah..

Sebelum balik sempat bergambar dengan pengantin. Tahniah Maya dan Firdaus..terima kasih kerana sudi jemput kami.

Di sini, Che Mid terpanggil untuk kongsi beberapa tips mengurus majlis persandingan berdasarkan pengalaman Che Mid menjadi pengacara. Moga bermanafaat untuk bakal pengantin dan ibu bapa..

1) Biasanya Che Mid akan pastikan ada seseorang yang bertugas memastikan kelancaran majlis. Lebih kurang macam 'floor manager' he he. Dia akan membantu Che Mid memastikan bila pengantin sampai, kompang bermula dan berhenti, barisan nama perenjis bersedia dan tidak tercari-cari mereka sewaktu nama dipanggil. Tujuannya adalah supaya majlis lancar dan teratur sebagaimana yang Che Mid dah bincang awal-awal dengan pengantin. Ada juga majlis yang 'banyak orang nak jadi bos'.. jadi haru biru la majlis tu kan..tak tau nak ikut cakap sape.


2) Pihak tuan rumah mesti pastikan semua alatan di pelamin lengkap sebelum majlis bermula terutamanya apabila dilangsungkan di dewan. Kalau boleh tugaskan seseorang untuk menjalankan tugas tersebut. Contohnya: Ada satu majlis tu, semasa acara merenjis dan Che Mid dah panggil orang naik pelamin untuk merenjis, baru perasan bunga rampai dan air mawar tidak disediakan. Jadi sudahnya tetamu naik ke pelamin cuma bersalam dan turun semula. Kesian kat pengantin kan.. berubah muka dia..itulah majlis pertama dan terakhir untuk dia.. tentu dia harapkan yang terbaik.

3) Pengantin kena serah tugas pada orang lain. Jangan semua nak buat sendiri. Che Mid pernah tengok, pengantin perempuan angkat kotak bunga telur dan agih-agihkan untuk tetamu sampai tepi jalan besar..camne tu!

4) Kalau kita boleh keluarkan bajet untuk pelamin dan baju pengantin sampai ribu-ribu, eloklah sediakan peruntukan sedikit untuk pengacara majlis supaya majlis lebih teratur. 

Kalau nak guna khidmat deejay pun boleh takde masalah. (Semalam kenduri yang Che Mid pergi memang deejay tu memang bagus.. suara sopan dan audio tak bingit)..cuma kena pastikan deejay tu bersikap formal dan ada persediaan sikit terutama semasa pengantin atas pelamin. Ada deejay buat majlis bersanding macam fun fair atau karnival contohnya guna perkataan tak sepatutnya dan ambik mudah semasa pengantin atas pelamin. Akhirnya merenjis kemana, bergambar kemana, dalam 10 minit majlis bersanding dah tamat walhal itu sepatutnya menjadi acara kemuncak yang menjadi kenangan abadi untuk pengantin dan tuan rumah. Apatah lagi jika pihak bertandang datang dari jauh, tentu mereka sepatutnya dilayan sebaik-baiknya. 

5) Jika nak buat sesi karaoke, buatlah bila majlis dah hampir habis atau tetamu dah kurang.. janganlah berkaraoke terlalu ramai dan semasa 'waktu puncak'.  Lainlah kalau sipengaraoke tu memang sedap suaranya dan lagu bersesuaian dengan majlis. Dah tak kena gaya la bila majlis jadi bingit dan suara penyanyi pulak sumbang sana sini.. ini majlis kenduri kawen tau.. bukan tempat lepas gian menyanyi!

6) Untuk sesiapa yang membaca doa majlis, jadikan doa tu pendek, padat  dan dibaca dengan kuat supaya semua tetamu boleh aminkan dan sambung makan atau beratur ambik makanan. Tidak manis juga jika doa dibaca tetamu pulak buat-buat tak dengar dan tak sesuai la kalau tetamu terpaksa berdiri terlalu lama untuk mengaminkan doa. Che Mid pernah dengar tetamu berbisik sesama sendiri komplen doa panjang sangat.

Alamak, terpanjang pulak entri ni.. tapi apa yang ditulis tu ingatan untuk Che Mid sendiri juga. Kasihan pada tuan rumah terutama pengantin yang mengeluarkan belanja besar dan bertungkus lumus mengadakan majlis tapi mereka tak boleh kawal semuanya. Jadi kita sebagai penanggah, emcee, deejay, katerer dan tetamu perlu 'tolong' supaya majlis mereka berjaya. Sampai sini saja dulu..

Persandingan Suriya dan Ayu

Pada 3 Mac 2013 lepas,  Che Mid dan Yahanana Events telah dijemput memeriahkan lagi majlis walimatul urus Encik Suriya Kamsuddin dan Cik Noorhidayu Hairuman. Che Mid kenal baik dengan emak pengantin, kadang-kadang kami bermarhaban bersama-sama.

 Team Yahanana Events - Kenduri dibuat di rumah sendiri yang mempunyai laman yang luas. Kami ditempatkan di wakaf lepak-lepak keluarga tersebut. Tempat tu tinggi sikit, kena naik tangga he he, jadi Che Mid boleh nampak pelamin dan tetamu yang hadir dengan jelas. Jadi kami mengacara majlis dari situ sahaja. Menarik juga kan..

En Suriya merupakan anak tunggal jadi kami mesti buat kerja betul-betul. Hari Sabtu petang dah mula set up PA sistem. Lepas Maghrib dah mula pasang lagu latar kerana tetamu dah mula datang.. berterusan hingga tengah malam. Rombongan pengantin perempuan tiba selepas Isya' jadi Che Mid dan Farah memulakan pusingan pertama mengacara. Selawat dan salam berkumandang diikuti dengan paluan kompang, bacaan doa dan acara memohon restu dengan menyuap buah-buahan sunnah seperti kismis dan buah tin.

 Che Mid terpaksa menyediakan dua set skrip kerana pada sebelah siang hari Ahad sekali lagi diadakan majlis persandingan. Cuaca panas terik tetapi tetamu tidak putus-putus meraikan pengantin. Maklumlah anak tunggal..

 Selamat pengantin baru Suriya dan Ayu. Pakaian Che Mid dan Farah dibelikan oleh emak tersayang. Jenis kain sari.. memang sesuai untuk majlis cuma agak panas dan kaku sedikit. Tu pasal Che Mid nampak besar (tak ngaku gak dah kembang macam kembang semangkuk terendam lama...) Farah ok je..

 Farhan tengah sakit tekak.. takde suara.. jadi tak boleh jadi deejay.. Kalau nak tau masa kenduri ni, ada empat lagi majlis yang sama di jalan yang sama. Pasukan Rela dikerah mengawal lalu lintas tapi tetap sesak. Asyik-asyik Che Mid diminta umumkan supaya pemilik kenderaan untuk mengalih kereta ha ha ..

Wak Minah, tuan rumah yang sangat 'sporting'. Terima kasih jemput Che Mid ya.. kami tak sempat makan nasi minyak sebab sibuk bertugas, tapi sambil-sambil tu enjoy sangat makan pecal Jawa dan ratah ayam goreng berempah. Minum pulak dengan air teh bunga dan air bandung sejuk sesedap rasa. Kombinasi menu yang sangat NGAM pada cuaca yang panas mencengkam!

P/S : Untuk tempahan menjadi pengacara, deejay dan PA sistem untuk bulan April, kami telah pun ditempah pada 6 April di Subang Jaya dan 28 April di Hulu Langat, Insyaallah. Kalau ada yang berminat untuk tarikh lain, jangan lupa hubungi Che Mid di 013-3672459 atau hmj_66@yahoo.com!!

Thursday 7 March 2013

Al-Faizin Berselawat bersama Farihin dan Alwi Mustaffa

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua sahabat-sahabat blogger yang membaca entri yang lalu dan mendoakan kesejahteraan Faris. Alhamdulillah, Faris semakin pulih. Jahitan di dahi dan di jari kaki sudah pun dibuka.. Cuma tak pasti bila Faris dapat berjalan seperti biasa kerana tumit dan buku lali masih membengkak lagi. Mulai hari ni Faris kena berlatih memijak dan menggerak-gerak kaki kirinya.

Ok, sebenarnya Che Mid ada satu 'event' agak besar yang ingin dikongsi bersama sahabat semua. Pada 23 Februari lalu, Che Mid dan rakan-rakan setaman telah mengadakan satu program khusus untuk muslimat yang dinamakan Al-Faizin Berselawat. Jadi semasa Faris kemalangan, memang Che Mid sedang sibuk membuat persiapan program ini. Semakin menggila sibuknya bila tarikh semakin dekat.. Faris memerlukan layanan VVIP dan Deeja pulak demam tak menentu.

Apa pun, program tetap berjalan seperti yang dijadualkan. Terima kasih kepada semua AJK dan ahli marhaban yang memberi sepenuh sokongan dan kerjasama. Memang Che Mid tabik dengan semua mereka ni, pandai buat kerja dan tak perlu seliaan sangat.

Apa yang dibualkan tu dan sape mereka tu...? (Sedang minum petang di rumah Che Mid..)

Majlis ini menghimpunkan kumpulan marhaban yang ada di Meru, Kapar dan Bukit Kapar juga penduduk setempat. Lebih kurang 250 orang hadir, antaranya ialah...

Kumpulan Marhaban Baiti Jannati dari Taman Seri Puteri, Pekan Meru

Kumpulan Marhaban Surau Bilal Ibnu Rabbah, Taman Kapar Setia, Jalan Kapar. Salah seorang ahlinya membacakan Rawi Berzanji. 

Paling ramai dari kumpulan Baiti Jannati, terima kasih sangat-sangat sudi hadir..

Kumpulan Marhaban An Nisa' dari kariah Surau Darul Muslimin,  Jalan Jambu. Mereka turut menyumbangkan alunan Tibaan di majlis tersebut.

Kumpulan Nasyid Harmoni SMK Meru membuka tirai acara dengan Solawat Tolaal Badru

Dan tuan rumah, Kumpulan Marhaban Helwa Taman Dato' Bandar.  Muslimat sekitar taman kami pun ramai hadir memberi sokongan. 

Program bermula seawal jam 4.00 petang dengan kehadiran tetamu dan minum petang. Kemudian kami bersolat Asar berjamaah dan terus memulakan program Al-Faizin Berselawat. Format pengisian ialah kami melagukan selawat beramai-ramai diselang selikan dengan soal jawab berkenaan solawat itu sendiri.

Ini dia jemputan khas kami, En Farihin Abd Fattah dan Tuan Syed Alwi Mustaffa al-Haddad (terkenal di program Dikir Zikir, TV al-Hijrah). Kami sungguh berbesar hati atas kesudian mereka berdua hadir ke majlis yang tidak seberapa ini. Che Mid kenal mereka sewaktu sama-sama terlibat di Konsert Tamadun Islam di Terengganu tahun lepas. Jadi senanglah sikit nak minta mereka datang. (Pada sesiapa yang ingin menjemput mereka, boleh hubungi Che Mid di 013-3672459)

 Sesi soal jawab berlangsung.. sangat menarik dan banyak ilmu diperoleh. Antara soalan yang diutarakan ialah dari mana asal usul Solawat dan huraian maksud solawat, burdah, berzanji dsb.  En Farihin menjawab dengan usikan dan jenakanya, manakala Alwi memberi contoh-contoh dengan melagukannya. Suaranya memang hebat, Subhanallah! Antara Solawat yang diperdengarkan beramai-ramai ialah Solawat Adnani, lagu nasyid Ya Rasulullah, Qasidah Ya Hanana dan Ya Thoibah.

 Duduk di kiri sekali ialah Ustaz Hasnol Hj Jantan, guru marhaban kumpulan Che Mid yang kami jemput khas tetapi turut 'diheret' oleh Farihin untuk menjawab soalan.

 Kami juga membuat kutipan amal untuk Rumah Anak-anak Siti Khadijah. Gambar menunjukkan Ketua Kampung Meru, Tuan Haji Thaifor Hj Noor sedang menyampaikan sumbangan. (Jika sesiapa berhajat untuk memberi sumbangan kepada anak-anak yatim dan miskin di rumah ini, boleh hubungi Ustazah Hasnah di 014-3341321)

 Bergambar kenangan sebelum berpisah. Kami bersama Farihin dan Alwi serta wakil anak-anak yatim Rumah Anak-anak Siti Khadijah..

 Che Mid mengemudi majlis dibantu Pn Ruzi dan anakanda Farah Khalidah

 Bergambar ramai dengan Kumpulan Marhaban. Rata-rata hadirin mengatakan 'tak puas' kerana ada lagi solawat yang telah dilatih tapi tidak dikumandangkan kerana kekangan masa.

 Album keluarga - Syed Alwi bersama Che Abang, bonda dan Farah

 Album terbaru Syed Alwi Mustafa - Love to Beloved - Muhammad bin Abdullah sedang dijual sekarang. Harga cuma RM10.00. Dengarkan alunan suara Alwi tanpa muzik. Sesuai untuk halwa telinga di rumah juga sesuai diperdengarkan di surau dan masjid-masjid sebelum masuk waktu solat. Dapatkan salinan CD ini di www.stormreaders.com

Setiap seorang yang hadir menerima senaskah kitab al-Ma'thurat yang ditandatangani oleh Farihin atau Alwi. Menarikkan!

Stormreaders membuka gerai jualan buku dan CD. Sambutan amat menggalakkan walaupun hari hampir gelap.

Kain rentang masih tergantung di surau al-Faizin walaupun beberapa hari telah berlalu.. Sukaaaa!

Itulah dia program Al Faizin Berselawat kami. Insyaallah ada rezeki lain kali kami akan adakan siri 2 pula..