Hari Jumaat, Sabtu dan Ahad lepas, Tanyalah Ustaz TV 9 mengutarakan tajuk 'Kekeliruan Halal Haram' yang disampaikan oleh seorang pegawai Jakim. Kepada sesiapa yang berkesempatan menonton tentu mendapat manafaat besar dari rancangan tersebut. Che Mid sempat mengambil nota menarik untuk pedoman sendiri dan di sini mari kita kongsikan sedikit sekadar info ringkas. Harap-harap berguna sedikit sebanyak.
1. Ada 3 jenis alkohol.
Pertama, alkohol di dalam arak. Hukumnya haram. Walaupun cuma setitis dimasukkan ke dalam minuman kita, hukumnya tetap haram. Kedua, alkohol yang terjadi dengan sendirinya seperti di dalam tapai, budu, tempoyak, sos, kicap dsb. Hukumnya harus. Ketiga, alkohol industri seperti dalam minyak wangi, sanitizer, sapuan anti kuman sebelum suntikan dsb. Hukumnya harus kecuali jika diminum. Bukan sebab ia arak tetapi kerana memudaratkan.
2. Makanan berasaskan susu seperti susu formula, cokelat, keju, lemak susu.
Jika susu bersumberkan babi memanglah sah haram. Tetapi susu yang daripada lembu yang diberi makan sebahagian besarnya dari sumber haram seperti campuran najis babi atau isi perut babi maka hukumnya haram. Itu antara sebab mengapa cokelat dan susu import tidak mendapat sijil halal. Ferraro Roche juga tidak ada tanda halal. Begitu juga dengan cokelat yang dijual di Langkawi.
Binatang seperti ikan keli, patin dan ayam ternak juga haram dimakan jika diberi makan dengan sebahagian besarnya najis (seperti usus babi) atau di bela di dalam kolam najis. Tetapi sukar untuk mengetahuinya jika kita membeli di pasar atau kedai. Memadailah dengan membeli dari penjual Islam dengan meletakkan tanggungjawab mengenai halal atau haram binatang itu kepada penjual.
Namun begitu cara menghalalkan semula ikan atau ternakan itu ialah dengan 'kuarantin'kan dalam tempoh tertentu sehingga hilang najis tersebut dalam tubuhnya.
3. Binatang dua alam
Maksud dua alam ialah tempoh di dalam air dan darat adalah sama. Contoh, kebanyakan jenis ketam boleh dimakan kerana ada insang. (Che Mid pun tak pernah tengok ketam takde insang...)
4. Ikan atau semua hidupan laut hukum asasnya adalah harus dimakan.
Ikan paus ke, dolphin ke, ikan duyung ke (Ustaz tu sendiri cakap macam tu tau..) Kecuali jika ikan itu beracun seperti ikan buntal adalah haram di makan kecuali ada orang yang boleh membuang racunnya.
5. Sosej, hotdog dan frankfurter
Asas pembuatannya menggunakan 'casing' daripada usus binatang atau tumbuhan. Jika tumbuhan, sosej akan dikeluarkan dari 'casing' sebelum dipasarkan. Tetapi jika menggunakan usus binatang, usus tidak akan dibuang dan sosej akan kelihatan bengkok ke atas atau ke bawah (sifat semula jadi usus). Jika di potong, akan nampak 'casing' itu. Pihak Jakim hanya meluluskan sijil halal bagi sosej menggunakan 'casing' tumbuhan.
6. Nama makanan yang berunsurkan haram tidak diberikan sijil halal oleh Jakim. Contoh - hamburger, hotdog, bak kut teh.
7. Ubatan dan makanan tambahan
Ubatan yang mengandungi unsur binatang seperti posine (babi) dan bovine (lembu) harus diambil atas dasar dharurah dan diakui pakar beragama Islam. Sebaliknya bagi makanan tambahan, haram mengambil jika berunsurkan babi dan binatang lain yang tidak halal sembelihannya.
Wah, banyak juga Che Mid sempat catat ni.. moga bermanafaat. Kesimpulannya, Ustaz berkata lagi, selagi ada tanda halal Jakim, pengguna Islam tak payah ragu-ragu membelinya.
(Che Mid sibuk-sibuk tambah, masalahnya ada barangan yang terang-terang takde tanda halal tapi kita suka sangat beli dan makan. Contoh, Pringel's dan Feraro Roche dan cokelat. Chewing gum pun banyak takde tanda halal juga jajan murah-murah yang dijual untuk anak-anak. Dek kerana model iklan beria-ia makan, kita anggap halal..
Tapi, satu yang Che Mid pelajari ialah kita boleh makan atau beli jika penjualnya Islam.. ala macam kita makan kat warung makcik Peah tepi sempang tu le .. mana ada tanda halal kan. Cuma bagi restoran yang besar-besar atau kopitiam tu, kita tak tau siapa tuan punya kedai tu. Nama kedai atau restoran pulak macam nama mat saleh.. cuak jugalah nak masuk kalau takde logo halal.. tak gitu)
Telefon 03-83150200 dan Portal Halal Malaysia di /
http://www.halal.gov.my/