Assalamualaikum bakal ahli syurga yang dikasihi. Berjumpa lagi di sini.
Che Mid nak kongsi tentang kisah sedih yang berlaku semasa Syawal lalu. Kini menjadi kenangan yang diabadikan di ruangan ini.
Sebagai mukaddimah, Che Mid tunjuk gambar kubur arwah Firdaus dulu.
Menziarah kubur anakanda Firdaus. Selalu kami ziarah di pagi raya, tapi bila dengar ustaz-ustaz kata hari pertama raya adalah hari bergembira, bukan bersedih-sedih, kami batalkan rutin tahunan tu.
Rindu menggamit memori, airmata berjujuran.. lebih-lebih lagi bila tengok pusara arwah agak 'semak' dibandingkan dengan jiran-jirannya yang nampak baru dibersihkan. Sayu... rindu...
Assalamualaikum ya ahlil qubur.. satu hari nanti kami menyusul.. pasti!
Hari Selasa 26 Julai 2016, kami bergegas ke Pontian Johor bawa abah Husain dan mak ziarah abang sulung mak yang sedang tenat. Ateh Rosdan bawa mak abah dari Raub ke Klang. Kemudian kami pula bawa mak abah ke sana.
Dalam perjalanan, kereta terasa bergegar. Terpaksa susur keluar ke Simpang Renggam. Kami ditinggalkan di surau sementara che abang bawa kereta ke bengkel. Terpaksa tukar dua tayar belakang dan kami meneruskan perjalanan. Tiba di Pontian menjelang Asar.
Mak mertua dulu pernah tinggal di Singapura dengan Pak Lang Ali. Abah mertua pulak anak angkat Pak Lang Ali. Lalu mereka berdua dijodohkan. Maknanya memang Pak Lang sangat rapat dengan mak abah. Apatah lagi mak adalah adik bongsu. They had their very own memories.
Saat mak baru tiba. Di panggilnya, " Abang... abang..." Walaupun mak tahu Pak Lang Ali dah tak boleh bercakap lagi. Cuma tangan kanannya sahaja yang boleh digerakkan. Cuma boleh minum air sesudu dua.
(Mungkin ada yang kata tak manis ambil gambar orang yang terlalu uzur seperti ini, tapi jari-jari ni memang asek nak snap je. Nak abadikan saat-saat ini yang mungkin menjadi detik-detik akhir pertemuan mereka.. Allah saja yang tahu).
Kami biarkan mak abah menginap di situ, saja biarkan mereka berlama-lama sikit. Kami pula mencari hotel di bandar Kulai. Tak mahu menyusahkan isteri Pak Lang.
Di masa yang sama, cucu mak yang baru berusia 6 bulan, anak buah kami, juga sedang nazak di Hospital KKH Singapura. Che Mid dan suami takde pasport (tak sempat nak perbaharui atau pun buat pasport berkumpulan) untuk bawa mak abah masuk Singapura. Cuma mengharapkan ayah baby Aaryan untuk ambil mak abah di JB esoknya.
Rabu pagi, 28hb Julai. Baby Aaryan semakin tenat. Ayah Aaryan keberatan untuk tinggalkan baby sebab doktor dah pesan untuk standby atas sebarang kemungkinan.
Jadi kami terpaksa bawa mak abah balik bersama kami. Hati masing-masing berkecamuk. Mak abah terpaksa tinggalkan abang yang tenat. Cucu pula nazak di Singapura, tapi tak dapat ke sana kerana keadaan mak abah yang juga uzur tidak memungkinkan mereka berduaan sahaja masuk Singapura. Masyaallah, tak teringat pulak untuk minta bantuan sedara mara kami di sana. Betul-betul tak terlintas difikiran masa tu.
Khamis pagi, 29hb Julai. Kami hantar mak abah balik ke Lipis. Pun dengan perasaan bercampur baur. Mak abah ada urusan yang penting juga di Lipis. Hati berbelah bagi, tapi kami hantar juga mak abah balik.
Jumaat lepas Asar, dapat berita Pak Lang Ali menghembuskan nafas terakhir. Akhirnya mak kehilangan seorang abang. Menangis mak bila Alang beritahu berita tu.
Ini gambar terakhir mak dan abangnya. Pak Lang Ali yang dah tak boleh buat apa-apa, hanya diam bila mak abah minta maaf. Tapi kami perasan air mata Pak Lang mengalir laju. Bagaikan mahu memberitahu yang dia akan 'pergi' tak lama lagi. Semua yang ada di situ ikut menangis. Deeja pun ikut menangis.
Untuk Pak Lang Ali bin Abdul Rahman, Allahummaghfirlahu, warhamhu, waafihi wafua'anhu. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang soleh. Aamiin.
Sementara itu, keadaan baby Aaryan juga tidak menunjukkan tanda-tanda positif. Kami semua risaukan mak. Baru kehilangan abang kandung, kuatkah mak bila terima berita kehilangan cucu pula.. Allahuakbar, besar sungguh ujian buat mak abah.
1 hb Ogos. Mak Abah akhirnya menaiki keretapi dari Lipis ke Singapura. Tiba di hospital, sempat jumpa baby. Dan pada malamnya, jam 9.18, baby Aaryan menghembuskan nafas terakhir. Sekali lagi kami bermuram dan bersedih. Kehilangan dua insan dalam beberapa hari.
Untuk baby Aaryan Harith Mohamd Lubis. Biarpun mak ngah tak pernah jumpa Aaryan, namun doa mak ngah sentiasa dititip untuk Aaryan dan keluarga, Jarak bukan penghalang untuk kita meluah kasih sayang. Damailah kau di alam sana. Buat umi Nita dan ayah Lubis, takziah dari pak ngah dan mak ngah sekeluarga. Aaryan menunggu di sana dan menjadi saham untuk ke syurga nanti.
INNALILLAH WAINNA ILAIHI ROJI'UN