Yahanana Events

Ini Iklan YAHANANA EVENTS - Sila ke bawah lagi untuk entri terbaru!!


Adakah anda sedang mencari pengacara yang boleh berselawat dan berqasidah
untuk majlis korporat atau persendirian seperti walimatul urus, cukur jambul,
perasmian atau pelancaran produk?

Atau anda sedang mencari Pengurus Acara Islamik untuk membantu anda
mengadakan acara sambutan hari kebesaran Islam seperti Sambutan Maulidurrasul, al-Maulid dsb?

Yahanana Events sedia berkhidmat dengan menyediakan pengacara, sistem PA,
kumpulan nasyid, marhaban, qasidah, penceramah, kompang dan
lain-lain yang anda mahukan.

Hubungi Che Mid di hmj_66@yahoo.com atau 013-3672459
dan layari facebook.com/Yahanana Events untuk info menarik!!

Saturday, 10 January 2015

Catatan Perjalanan Kelantan - Projek Telekung

Assalamualaikum sahabat-sahabat.

Sebelum Che Mid teruskan catatan ini, ingin kongsi info baru diterima. Konvoi sukarelawan dari Masjid Assyarif Meru terlibat dalam kemalangan di Karak malam tadi, Tiada kemalangan jiwa namun ada kenderaan yang teruk dalam 'bumper to bumper accident'. Mereka terpaksa membatalkan misi cuci dan berpatah balik. Kereta adik ipar Che Mid paling teruk hingga terpaksa ditunda ke balai polis Karak.  Semoga Allah merahmati mereka walaupun hajat tidak kesampaian, Allah Maha Tahu..


Orait! Kita teruskan sembang-sembang tentang perjalanan ke Kelantan.

Dari SACC Convention Centre Shah Alam, Che Mid tiba di rumah pukul 8 malam. Terus solat Maghrib dan siap pakaian dalam beg. Mak dan Farah sibuk siapkan bekal nasi, maklumlah kabarnya takde kedai buka dan susah nak makan atau mandi.






Jam 9.00 malam : Sesi menaikkan barang dalam Naza kami. Farhan punggah telekung yang dah dipek sederhana besar ke atas 'roof box'. Sebahagian lagi telekung dan set mandian di letak di but kereta. Kerusi paling belakang dilipat ke depan. Ada banyak baki lagi barangan...hmmm..

Rupanya, ada kawan dah minta tolong orang surau untuk bawa lori surau. Angkut ramai-ramai masuk dalam lori pula.

Siap!! Kalau boleh semua kawan-kawan nak ikut sekali tapi apa kan daya..kekangan transport dan urusan lain membantutkan cita-cita. Hanya semangat membara yang Che Mid bawa. Macam-macam pesan dan ingatan untuk kami sebelum kami bertolak.



Di saat-saat akhir pun, masih ada lagi yang beri sumbangan. Secara tunai atau bank in. Alhamdulillah..



Akhirnya kami bergerak membelah malam... depan Che Abang dan Farhan, belakang Che Mid dan Ruzzi serta amanah orang-orang yang pemurah hatinya di atas dan belakang kereta. Semangat lain macam tau!!

Tiba di tempat berhimpun konvoi, kami terus cari mana barang-barang yang lori bawa tadi. tak nampak la..terus jumpa Ust Haidar untuk beritahu yang kami bawa banyak telekung. Tiba-tiba, ada seorang abanng kat situ menyampuk, " Semua telekung dah masuk dalam kereta saya". Sambil tangan menunjuk kereta 4WD putihnya. Alhamdulillah...akhirnya semua barangan kami 'ikut' sekali ke Pantai Timur. 


Oleh kerana kami mengikuti misi bantuan 4x4 ..jadi kena la tampal stiker dan no kenderaan..syok jugak rupanya konvoi ramai-ramai ni..walaupun secara bidan terjun he he


Lihatlah dunia..satu Malaysia turun ke Kelantan!! Entah dari mana konvoi-konvoi ni datang..tengok lori besar tu..penuh barangan. Jeep putih ni bukan dari konvoi kami. 4x4 depan tu no 17, belakang dia no 18, teka kereta Che Mid no berapa? he he no 19 la kan..

Tetapi, oleh kerana kami tak pernah berkonvoi-konvoi dan tak reti ikut peraturan konvoi...kami dah terjauh ke depan. Kami berhenti solat subuh di Hentian Gua Musang, sedangkan yang lain-lain berhenti di masjid Sungai Mun...aduhai..


Subhanallah..suasana Hentian Gua Musang di subuh Maulidurrasul. Solat berjamaah silih berganti..doa qunut disambut dengan 'Aamiin' yang kuat dan bersemangat..syahdu dan sendu. Di luar, rata-rata penuh dengan kenderaan sukarelawan. Ada yang bawa tong air besar, hos paip, water jet..makanan tak usah sebutlah..inilah indahnya kemanusiaan..Kereta lagi banyak dari manusia...


Ini bas selebriti - Sebarkan kasih sayang..

Inilah muka-muka orang yang hampir tak tidur langsung sepanjang malam. Alhamdulillah tetap ceria dan semangat!!

Dari Gua Musang kami teruskan perjalanan sekadar berhenti minum secawan air panas.  Che Mid putuskan untuk ke Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh, tempat pengumpulan dan agihan bantuan kelolaan YM Raja Shamri. Hanya mengenali beliau di FB, pm pun tak berjawab..jadi kami redah je perjalanan mengikut waze. Insyaallah dipermudahkan.

Ahirnya tiba di Masjid Ibrahimi pada pukul 11 pagi. Jauh juga dari Gua Musang. Al maklum, kami tak pernah jejak kawasan selain Kota Bharu dan Rantau Panjang...main redah je ni..

Keadaan sibuk di masjid. Telah dibahagikan kepada beberapa bahagian. Makanan, pakaian, dan lain-lain. Ada yang baru sampai menurunkan barang, ada juga yang mengambil barang untuk dihantar ke tempat yang ditetapkan. Semua barang masuk dan keluar mesti direkodkan walaupun tak lah begitu detail.

Barangan yang datang secara 'bulk' akan dibuka dan dibungkus semula dengan saiz lebih kecil. Sukarelawan bertugas siang malam, ada yang tak tidur terutaman ajknya. Termasuklah Raja Shamri yang tidak kelihatan, kabarnya beliau balik ke rumah sebentar untuk tidur setelah berjaga sepanjang malam.


Mungkin bekalan beras tidak mencukupi, jadi petugas terpaksa membungkus semula untuk sekali masak..Allah..

Seperti biasa bahagian pakaian terpakai yang paling banyak dan paling memeningkan..

Yess!! Telekung, set mandian dari Helwa TDB sampai ke sasaran. Farhan sempat posing lagi tu..

Sementara kami menurunkan barang, terdengar suara meminta telekung dari petugas yang menjaga bahagian pakaian. " Kain semaye..kain semaye.." Allahuakbar..sebaknya rasa hati ni. Memang betul la yang kita buat ni.."Mintok kain semaye..ore hok Dabong dah sebule dok solat.."..Maka segeralah telekung kami beralih tangan..Masyaallah tabarakallah..

Selesai menurunkan barang, kami berjumpa dengan Ustaz Tarmizi, setiausaha ajk bantuan. Mohon pendapat beliau untuk ke tempat mangsa banjir. " Kalau boleh kami nak ke tempat mangsa ustaz, tapi kereta kami Naza ria, bukan 4x4.." Ustaz jawab, " Takpe..saya bagi puan tempat yang ada jalan tar..jalan lebih tinggi dari rumoh mangsa".


Che Abang dengan muka cuak...Ustaz Tarmizi tengah tunjuk arah tu.." Encik bawak kereta masuk dalam jalan tu..tapi jangan berhenti...terusss sampai mana kereta encik boleh pi..lepas tu encik u turn, barulah agihkan barang dari rumoh ke rumoh..sebab yang hok luar tu dah banyak dapat bantuan..yang dalam-dalam tu takut tak dapat lagi".

Ustaz tu minta kami bawa set telekung, mandian, makanan dan diapers/tuala wanita untuk 30 buah keluarga.

Troli penuh set makanan untuk dimasukkan dalam kereta

Tu diaa..kereta dah penuh semula..

Pakcik ni sangat tegas tapi peramah. Dapat tau dari FB Raja Shamri, dia ni bekas Pegawai Tentera dari Johor, berkampung di Masjid Ibrahimi menyemai bakti sebagai Ketua Sukarelawan.

Ustaz Tarmizi paksa kami makan tengahari sebelum balik. Katanya, " Kak, boleh tulong saya sikit tak...boleh tak akak makan tengahari dulu. Kalau tak makan saya tak bagi balik".  Begitulah berbudi bahasa Ustaz Tarmizi..di celah tugasan yang tak pernah berhenti, dengan tak tidur malamnya..masih tersenyum manis meraikan 'tetamu' dari jauh seperti kami. 

Makan di celah-celah barangan bantuan dengan dua adik beradik sukarelawan dari Terengganu. Rezeki hari itu; nasi putih, ikan selar masak kicap dan masak lemak kuning timun. Licin kami makan..Alhamdulillah..



Orang awam menyumbang nasi campur untuk sukarelawan dan petugas. Ada dua tiga pihak yang menyumbang jadi ada pilihan. Farhan tak makan ikan. Che Abang tak makan sayur..mujur ada nasi dan lauk daging. Masih boleh memilih makanan. Terfikir juga, kalaulah jadi mangsa banjir..pilihan apa mereka ada untuk sesuap nasi..

Lepas makan, kami bertolak ke Tanah Merah. Ingatkan dekat je Tanah Merah dari Pasir Puteh rupanya satu setengah jam baru sampai. Masuk ke dalam Mukim Paloh. Tapi untuk kisah bertemu mangsa, kita sambung kemudian ya..jumpa lagi!










Thursday, 8 January 2015

Projek Telekung - Dari 100 ke 500

Assalamualaikum sahabat semua..

Ingat tak lagi posting Che Mid hari tu berkenaan dengan Projek Telekung HELWA TDB..haa..hari ni kita sembang pasal tu ya.

Menyedari bahawa sesi persekolahan dah nak dibuka, ibu bapa pun sibuk buat persiapan sekolah anak-anak, Che Mid tak harap sangat dapat kutipan yang banyak untuk membuat kutipan telekung untuk mangsa banjir. Lagi pun pihak surau taman kami dah pun dua kali membuat kutipan bantuan ke Kelantan. Semasa melancarkan kempen, kami cuma menyasarkan 100 helai telekung sahaja ( 1 keluarga 1 telekung) yang kemudian akan diserahkan kepada mana-mana pihak yang akan ke Kelantan.

Benarlah kata salah seorang ajk HELWA, " Kita buat je kak..yang lain tu kerja Allah". Tak sangka, tak sampai seminggu kami dah sampai Kelantan.



Siangnya war-warkan di grup wasap dan fb, malamnya Che Mid terima panggilan telefon dari seorang wanita yang memang tukang jahit telekung. Dia kata boleh dapatkan harga murah dengan pembekal kain telekung yang selalu dia beli. " Takpe Mid, kita sama-sama usaha. Nanti akak carikan lagi duit sumbangan. Kita cuba mana yang termampu".  Memang terkejut bila terima berita macam ni dari orang yang kita tak kenal, tapi sangat bersyukur, Subhanallah..


Sahabat AJK sudah mula menerima sumbangan dari jiran-jiran, sedara mara dan rakan fb. Ada yang rajin mencuci semula telekung terpakai dan me'repair' mana yang tak berapa kemas. 

Yang baru pun di cuci juga. Katanya, " Kesian orang sana takde air nak cuci nanti..biar la bau wangi-wangi sikit."

Ada yang bagi siap satu set - telekung, kain pelekat, sejadah dan buku Yaasin.

Kumpulan marhaban kami memang selalu dapat hadiah surah Yaasin dan sejadah, jadi kami kumpulkan dan selitkan dalam bungkusan telekung. 

Hari Rabu : 31/1/14

Sumbangan semakin banyak diterima, baik wang ringgit atau telekung. Sekejap saja melepasi target 100 pasang. Che Mid tak decide lagi nak salurkan ke mana .. Muslim Care ke, Abim ke..Tengah memikir-mikir hendak hantar ke mana, tiba-tiba ada orang bagi sejumlah wang tunai. Katanya," Gunalah untuk logistik, isi minyak ke..apa-apalah..janji untuk mangsa banjir". Ya Allah..bagai orang mengantuk disorongkan bantal..

Hari Khamis : 1/1/15

Misi mencari kenderaan bermula. Target : Dua 4WD untuk barangan dan 1 kereta untuk orang. Che Mid mula bertanya sana sini. Tahun lepas Che Mid ke Kuantan untuk menghantar bantuan juga, tapi kedua-dua pemilik kereta sibuk tahun ini. Seorang anak nak kahwin, seorang lagi pula terlibat dengan misi sama di tempat lain. Bila pos di FB, respon sangat mengecewakan..tak dapat membantu kerana ada komitmen lain.

Sementara itu, Zainon, salah seorang orang kuat HELWA menawarkan diri untuk ke Mydin untuk membeli barangan mandian. RM1000 diperuntukkan untuk membeli tuala, sabun mandi, berus gigi dan ubat gigi. 

Balik dari surau, malam Jumaat tu..Che Mid termenung melihatkan barang hampir memenuhi ruang tamu rumah, tak termasuk telekung yang ditempah tapi belum diambil. Ramai lagi yang datang menyerahkan barangan. Baiti pulak baru balik dari kampung suami - bawak satu kereta penuh barang dari sana.. tak daya nak menolak katanya. Hampir buntu Che Mid dibuatnya..tapi bila melihat amanah orang di depan mata, naik semangat pula. 

Nampak gaya...kena bawa kereta sendiri ni..tapi mana cukup masukkan semua dalam satu kereta...( malam tu buat solat hajat dan istikharah..mohon petunjuk dan kekuatan)

Hari Jumaat : 2/1

Confirm pandu sendiri dengan kereta MPV Nazaria. Plan dengan Che Abang dan Farhan. Ajak Ruzzi sekali.

Pagi : Sesi packing memacking dan sorting bermula dari pukul 9 pagi di rumah Che Mid. Riuh rendah rumah dengan suara geng marhaban. 





Cik Jah  bawa keladi goreng cicah sambal kicap, Zehan tak dapat ikut membungkus tapi singgah kejap hantar buah rambutan, Kak Eda pun tak boleh tolong sebelah pagi tapi anak dia datang bawa apam balik dan  Kak Ita pulak datang bawa air teh susu panas jag besar. 


Meriah kan...ada sesi pagi petang, ada yang datang pagi, petang dan malam.

Tapi Che Mid terpaksa tinggal mereka semua untuk mengambil 500 pasang telekung di Pudu, KL.
Tu diaaaa...dah tersusun depan kedai..

Kami bergambar dengan tauke kedai..Terima kasih pada Kak Eton (baju biru) dan Hana (baju merah muda) yang tunjuk Che Mid tempat ni.

Itu dari depan kedai. Kat mana..Jalan Merbau off Jalan Kenanga, Pudu, KL

Deretan kodi-kodi kain untuk dijual


Dari belakang Naza Ria...

Dari dalam..penuh..


Dalam perjalanan balik ke Klang, kami singgah di Yayasan Restu untuk serahkan 100 pasang telekung kepada Nini dan sahabatnya. Khas untuk di hantar ke sekolah tahfiz Ustaz Ashari di Kerdau, Temerloh. Kabarnya, muslimat di sana bersolat menggunakan kain batik sebagai telekung..(pernah buat tak masa kecik-kecik dulu..) Kak Eton (baju biru) memang aktif dalam kerja kebajikan dan sangat bertenaga walaupun umur menjangkau 66 tahun. Alhamdulillah, kami semua baru je berkenalan semata-mata buat kerja amal ini dengan cara masing-masing, kecuali Nini (sebelah Che Mid) rupanya kawan lama yang dah bertahun tak jumpa. Allhuakbar..indahnya Allah mengatur perjalanan kita..

Sampai di rumah, geng marhaban sambung lagi tugasan sorting dan packing, masukkan kain pelikat dan lain-lain. Che Mid pulak ke bengkel kereta untuk servis, sebab nak jalan jauh.

Balik dari servis kereta, Che Mid mandi dan bersiap ke SACC Convention Centre..ada job di sana. Terpaksa tinggalkan lagi geng marhaban yang sedang membungkus barangan. Kumpulan Qasidah Raudhatul Jannah akan membuat persembahan di majlis Sambutan Maulidurrasul berama dengan Ustaz Kazem Alias dan beberapa artis lain. Sepatutnya Che Mid dan Soul Brothers hadir hingga akhir majlis, tapi apa kan daya..mangsa banjir menanti telekung kami.. 

 Sempat susunkan tempat duduk semasa persembahan dan buat uji suara

  "Three Old Buddies"..rindu suasana semasa kami di Taman Tamdun Islam dulu..

 Kenalkan grup qasidah Raudhatul Jannah pada Alwi Mustafa

 Kenalkan mereka juga pada Farihin Abdul Fattah...bukan senang nak tengok Farihin senyum..

 



Tak senyum kan...baru siap ambil wudhu' untuk solat Maghrib


Alwi ni suka senyum..tu tengah senyum sebab kelakar dengan kopiah kat kepala dia tu..

Masuk waktu Maghrib, Che Mid minta diri dan kelam kabut balik ke rumah. 

Sebelum balik, sempat Che Mid hubungi Ustaz Haidar, ketua rombongan 4x4 ke Kelantan malam ini. "Ustaz, saya nak ikut konvoi ustaz malam ni, tapi saya bawa kereta Naza Ria je. Minta tolong ustaz 'jaga' kami malam ni, maklumlah kita tak tau macamana keadaan jalan raya ke Kelantan. " Ustaz benarkan dan beritahu di mana berkumpul malam ni.

Ok dulu ya..esok Che Mid sambung saat-saat menarik dan mengharukan di Kelantan...


Tuesday, 30 December 2014

Derma Telekung - 1 telekung 1 keluarga

Assalamualaikum ya ukhti wa akhi..

Che Mid dan sahabat marhaban sedang mengutip sumbangan telekung untuk dihantar kepada mangsa banjir Pantai Timur.


Pada sahabat yang berminat menderma telekung terpakai dari kawasan Klang dan Shah Alam, boleh hubungi Che Mid dahulu. Nanti Che Mid boleh datang dan ambil. Bungkuskan telekung di dalam plastik lutsinar. Lebih molek jika boleh dipasangkan dengan kain pelikat dan sejadah. 

Lebih mudah jika hantar wang tunai melalui CIMB akaun Hamidah Mohd Jamil 1205139253520.

 Kami akan kumpul dan beli telekung baru terus dari pembuat telekung dengan harga yang sangat-sangat berpatutan. 

Pada awal perbincangan, kami tidak bercadang untuk ke tempat mangsa banjir. Tetapi semalam ada dermawan yang sudi memberi 'duit belanja pengangkutan'. Jadi kami mungkin ke pantai timur awal pagi Sabtu ini. 

Doakan projek ini berjalan lancar dan sampai kepada muslimah mangsa banjir. Sudi-sudikan menderma..telekung untuk mereka, pahala Allah untuk kita..Insyaallah!

Wednesday, 17 December 2014

Ubi Ungkep

Assalamualaikum sahabat-sahabat yang dikasihi

Kali ni Che Mid nak tulis resepi yang diminta oleh sahabat Che Mid dan juga blogger Ita Rossi. Ubi ungkep ini adalah sejenis masakan Jawa yang sesuai dijadikan sarapan atau minum petang. Sekarang makanan lama kan dah semakin fofular kembali dan mengimbau kenangan masa kecil kita dulu kan..




Bahan-bahan:-

1 kg ubi kayu di kopek dan potong ikut suka - rebus hingga empuk
4 biji bawang besar
3 biji bawang putih
satu sudu besar jintan manis (rendam)
satu sudu besar ketumbar (rendam)
satu sudu besar udang kering (rendam)
sedikit kunyit serbuk
minyak untuk menggoreng
Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1) Kopek ubi kayu, potong ikut suka dan rebus hingga empuk. Toskan
2) Tumbuk atau kisar KASAR bawang besar, bawang putih, jintan manis, ketumbar dan udang kering
3) Tumis bahan kisar dan masukkan serbuk kunyit hingga benar-benar masak.
4) Masukkan ubi dan kacau rata.
5) Perasakan secukupnya dengan garam dan gula
6) Masak dah...

Selamat mencuba..




Friday, 5 December 2014

Walimatul Urus Farhan & Leena




Assalamualaikum para sahabatku tercinta..

Allahuakbar..bersawang bersemut berlumut dah blog ni...aduhai... Apa pun jom layan video ni, Che Mid penat-penat buat tau. Foto dari pro punya tak dapat lagi, jadi tengok le gambar yang tak berapa pro ni ya..

Terima kasih tak terhingga pada rakan-rakan blogger yang sudi datang ke majlis Che Mid hari tu. Kalau teliti, boleh le nengok sape yang datang tu dalam video ni. Enjoy!






Tuesday, 14 October 2014

Momen Akhir Sebagai Anak Bujang Ibu

Assalamualaikum sahabat sekalian

Jumaat 10/10/2014

Hari ini Ayan akan bernikah. Saat-saat yang ditunggu tiba juga akhirnya, setelah lebih setahun bertunang. Tiada sebarang persiapan dibuat kecuali mencantikkan dulang mas kahwin dan rantai tangan membatal air sembahyang. Hanya satu dulang..2 in 1.


Tiada lagi barang hantaran dan deko mahal-mahal sebab telah dipersetujui kedua belah pihak, barang hantaran hanya pada majlis tunang sahaja. Duit hantaran telah pun di bank in dua bulan sebelum majlis kahwin dan disahkan semasa ibu dan abah berjumpa bakal besan untuk menetap tarikh kenduri. Alhamdulillah, pihak besan dan menantu juga jenis yang simple dan mudah.

Jam 10 pagi, ibu sibuk menyiapkan daging palembang dan pulut jagung untuk hidangan adik beradik yang datang tengahari ni, (nikah lepas Asar). Ayan menjenguk ke dapur. Ibu tanya, " Ayan tak stress ke nak nikah nanti?" Ayan jawab," Tak nak fikir pasal tu.." Oh, ok..psycho diri sendiri untuk nampak tenang he he..bagus anak ibu..

Tengahari.

Ibu pesan pada Ayan untuk buat solat taubat dan solat hajat supaya tenang dan bersih hati untuk memulakan hidup baru sebagai seorang suami. Itu juga yang ibu pesan pada Epa semasa call dia pagi tadi. 

Ayan kata, " Ibu, napa lutut Ayan ni lemah je.." Tu diaaaa... dah mula panik dah diaaaa!

Siap berbaju Melayu. "Ibu, nampak tak sampin Ayan?"..Tu dia haiii..sampin depan mata pun tak nampak.. Siap dan segak, Ayan bersolat sunat dalam bilik ibu. Ibu biarkan saja Ayan berlama-lama sendirian dengan Yang Maha Esa.

Oh ya, malam semalam kami sekeluarga keluar bersama. Yang terakhir sebelum status bertukar menjadi suami orang. Adik-adik pun dah balik dari kolej, kami keluar membeli kasut Ayan. (Ikutkan Ayan, tak mau berkasut baru..tapi ibu desak juga). Dah dapat kasut, kami minum malam..makan sate, tauhu bakar dan soto. Saja relaks dan santai hingga lupa bergambar... he he

Ahli keluarga ipar duai mula berkumpul di rumah dan bertolak ke masjid sejurus sebelum masuk waktu Asar. Alhamdulillah, bakal menantu juga tinggal sekampung jadi tak timbul soal jauh berjalan atau bermalam.

Usai solat Asar, majlis bermula. Ada sepasang mempelai lagi bakal mendirikan masjid. Sistem audio masjid sangat teruk hingga hadirin tak dengar pun apa buah butir bicara Tok Kadi. Hingga saat berakad nikah pun kami tak dengar, kecuali yang duduk dekat-dekat dengan Ayan apatah lagi jurufoto berkerumun di tepi pengantin. Tau-tau dah selesai ... apa pun Alhamdulillah, dengan sekali lafaz, anak ibu dah jadi suami orang.





Gambar sejurus sebelum khutbah nikah. Kain baju Melayu tu, mak nenek yang belikan, sekali dengan kain untuk cucu menantu. Songkok pulak, Atuk yang bagi. Sampin..guna yang sedia ada je...


Solat sunat selepas nikah








Ayan berpaling untuk keluar dari masjid. Terlihat dua susuk tubuh sedang memerhatinya. Farah dan Faris. Ayan mendepangkan tangan dan kedua adik meluru pada Ayan dan berpelukan erat tiga beradik. Airmata mengalir tak tertahan lagi, berbaur perasaan suka dan duka.


Tarikh 10/10 itu dipilih oleh pihak perempuan sebenarnya bertepatan dengan tarikh arwah abang Firdaus meninggal genap sepuluh tahun yang lalu. Farah," Ingat tak hari ini hari apa?" Allah..bertambah laju airmata rindu pada arwah abang.

 
Gambar adik beradik dengan kakak baru. Di rumah pengantin perempuan

Malam selepas nikah, Ayan tidur di rumah. Satu bilik dengan ibu tapi atas tilam Deeja. Ibu pun tak sampai hati nak kejut. Agaknya, teringin tidur dekat ibu buat kali terakhir sebelum tidur di 'rumah' baru.



 
Inilah anak manja pengarang jantung ibu yang dah pun bergelar suami. Ibu sentiasa doakan yang baik-baik sahaja untuk Ayan dan anak ibu yang baru, Norshalina Osman. Selamat datang ke dalam keluarga kami sayang! 

Barakallah hulakuma wabaroka 'alaikuma wa jama bainakuma fikhoir

Untuk sahabat blogger sekalian, dengan penuh rendah hati Che Mid teringin sekali menjemput para sahabat semua untuk hadir di majlis menyambut menantu pada 1 November 2014 bersamaan hari  Sabtu di Meru, Klang. Majlis sederhana sahaja tapi tinggi harapan Che Mid jika para sahabat sudi hadir terutama yang tinggal berdekatan. Mohon sangat hubungi Che Mid di 013-3672459 melalui sms atau whatsapp. Setakat ini Che Mid dah ada nombor hp Anim, Bunda, Sudip V Senduk, Aziela, Aizamia, Zaitun, Acik Erna, Aduka Tirana dan beberapa yang lain. Thanks in advance everyone!!

Wednesday, 1 October 2014

Tersadai di Pasir Gudang

Sebaik habis program di rumah Tan Sri Rozali Ismail, Che Mid bergegas ke Pasir Gudang, Johor untuk hantar Farah ke Uitm Pasir Gudang sebab esoknya (Ahad) dah mula kelas. Untuk naik bas tak sempat sebab masa tu dah petang dan Uitm Pasir Gudang agak sunyi dan jauh ke dalam, untuk Farah cari teksi sorang-sorang tengah malam memang tak masuk akal.


Deeja dan kakak happy je travel sama-sama. Atuk nak jumpa sedara dan mak nenek nak soping ...

Kami dah tempah homestay, satu malam RM140.  Cadangnya balik nanti nak singgah ke Parit Yaani untuk ziarah sedara abah yang baru kematian isteri. Kalau sempat, mau juga singgah ke Air Hitam mencari-cari bunga pahar untuk kawen Ayan November ini. Plan punya lah santekk!



Sebelum bertolak, kereta dah siap cuci berkilat. Tapi dapat hadiah free di RnR Pagoh sebab letak kereta bawah pokok, di saat-saat burung layang-layang bertenggek untuk beradu. Kami redah jugalah dengan corak-corak abstrak tu..mujur dah tengah malam.


Hari Ahad tengahari,

Sebaik keluar dari Kolej Farah, kereta rasa lain macam..bergerak terhentak-hentak. Akhirnya, tiba je di simpang lampu isyarat, kereta terus mati enjin. Tepat pukul 12 tengahari.



Inilah rupanya kereta kami. Tersadai di tengah panas. Mati kutu jugak bila kereta rosak di tempat orang. Pada sapa nak minta tolong.. Tu yang warna kuning dan hijau tu tuala mandi lembab ha ha..saja je buat macam tu, dari jauh orang dah nampak ..tanda amaran dan jemur biar cepat kering!

Che Mid google worksyop di Pasir Gudang, Alhamdulillah, cepat dapat maklumbalas. Tapi kami terpaksa menunggu hampir 30 minit juga la. 

Mujur dalam kereta ada tikar piknik, mak nenek pulak bawa bekal dan buah-buahan. Maka berpiknik lah kami di tepi jalan bawah pokok nan rendang.. mak nenek ok je..abah atuk yang nampak risau. Maklumlah jauh di selatan tuu...dah janji dengan sedara nak makan tengahari di Parit Yaani..kesian kat tuan rumah tu menunggu kami.

Tow truck sampai, Dah agak dah, bila kereta 'luar' yang rosak..tentu kena paw kaw kaw... walaupun Che Abang hubungi kereta tunda melalui syarikat insurans, tapi dia tetap cuba belit supaya kami setuju ditunda ke KL. Hamboii! Ingat kita mau bayar you ratus-ratus kaaa...time-time macam ni, memang syiok ada hasben muka garang macam polis kih kih..

Kemudian, kereta ditunda dengan kami-kami sekali naik tow truck. Pertama kali merasa naik kereta tinggi terjongket. Panas terik takdak aircond...sabar je la banyak-banyak. 

Tauke bengkel di Serting kata alternator rosak, bateri kong langsung, Ganti alternator sekejap je, tapi recaj bateri kena tunggu 5 jam. Harga RM750... Che Abang google di Mudah.my cuma RM350.. Allahuakbar! Sah-sah kena paw.

Mujur sebelah bengkel tu ada restoran Melayu. Kami makan tengahari di situ. Lepas tu nak buat pulak..5 jam lagi tu. Kami cadang nak ke hotel berdekatan, boleh la nak solat atau baring-baring. Kesian atuk dan mak nenek. Cuba kereta tauke bengkel tu, tak dapat la pulak...takut kita bawak lari ke apa. Geram pun ada!

Ndak tak ndak, Che Mid, Deeja, Atuk dan mak nenek berjalan kaki ke hotel. Che Abang tinggal di bengkel. Kena lalu kaki lima kedai dan melintas jalan dalam 1/2 batu juga la. Sedih nak nangis tengok abah dan mak berjalan tengah panas. 

Sampai kaunter tetamu, staf kat situ kata bilik penuh. Allahuakbar! Cubaan sungguh. Terpaksa suruh staf tu panggilkan teksi untuk ke masjid. Kami naik teksi dan tiba di pintu pagar kecil tepi masjid. You know what? Pintu pagar berkunci!!...Kalau setakat Che Mid dan Deeja je, boleh tahan lagi. Tapi tak suka tengok mak ayah kita berjemur tengah panas ke sana ke mari... 

Alhamdulillah, Allah Maha Pengabul doa..tetiba Che Abang call kata kereta dah siap. Baru 2 jam lebih sikit. Terus kami bertolak balik sebab tauke tu pesan tak boleh matikan enjin. Takut mati terus kat tengah-tengah hiway. 

Terpaksa hubungi sedara abah untuk batalkan ziarah kami. Kami nak tiba di Klang sebelum hari gelap. 

Tu lah dia kisah kereta rosak di Johor. Dah dua kali kereta tu rosak. Dulu masa balik dari job di JB, tayar pancit di hiway dekat Ayer Keroh waktu maghrib. Ada entri pasal tu, yang ini pasal alternator pulak. 



Deeja sempat posing di kedai urut sebelah hotel sementara kami tunggu teksi.

Boleh matching kale tu kan..Deeja kata. " Tu adik Deeja".

Di RnR..abah jadi mangsa buli Deeja, Walaupun penat, si abah tetap layan si kecik..

Dah dulu ya..sibuk yang amat sekarang ni..anak bujang I dah nak nikah lepas raya Haji ni. Tak sempat blogwalking dan borak dengan teman maya..rinduuuuu!