Lepas solat subuh pagi tadi, kedengaran pengumuman dari surau berdekatan, Hj Ihsan suami kepada Cik Siti telah pulang ke rohmatullah. Agak heran, tak dengar berita sakit pun, tiba-tiba dapat tahu dah meninggal. Disusuli tidak lama kemudian dengan satu sms dari setiausaha surau yang memaklumkan perkara serupa.
Rupanya, arwah sakit-sakit dada pada sebelah siang. Malamnya dibawa ke klinik tetapi meninggal dalam perjalanan ke hospital kira-kira jam 2 pagi. Ketika itu, cuma isteri dan anak bujang berada di sisi di detik-detik akhir nafasnya.
Pukul 8.30, Che Mid dan suami berziarah ke rumah arwah. Jenazah sedang dimandikan dan dikafan tidak lama kemudian. Jam 9 pagi, sudah pun dibawa ke surau untuk disembahyangkan. Kubur pun sudah siap digali. Sebelum pukul sepuluh, jenazah selamat dikebumikan.
Sewaktu memeluk Cik Siti, beliau teresak-esak berkata, " Time macam ni (8.30 pagi lebih kurang), Wak selalu duduk-duduk kat kerusi tu.." sambil tangannya menunjuk ke arah kerusi yang dimaksudkan. Che Mid tak tau nak respon macamana, cuma memeluk sambil mengusap belakang Cik Siti. Ya, Cuma Allah sahaja yang tahu sebenarnya perasaan Cik Siti waktu itu. Pukul 2 pagi tadi, suami hidup lagi, tapi sekejap lagi suami akan hilang di mata, buat selama-lamanya.
Arwah Hj Ihsan dan Cik Siti memang rapat. Pasangan ini tidak banyak cakap tetapi selalu ke mana-mana berdua, menunggang motosikal lama mereka. Akhirnya, mati memisahkan mereka juga setelah puluhan tahun bersama.
Alhamdulillah, anak-anak arwah semuanya tinggal berdekatan. Kerja-kerja pengebumian juga cepat dan mudah. Insyaallah, semoga itu tanda-tanda rohnya diterima Allah dan ditempatkan bersama orang-orang beriman, Amin. AL FATIHAH khususon ila ruhil marhum Hj Ihsan bin Halil.